Anda mungkin tertanya-tanya adakah warna keputihan anda normal atau tidak? Anda juga mungkin berasa malu untuk bertanya. Keputihan boleh mempunyai banyak warna, sesetengah daripadanya adalah tidak normal dan mungkin menandakan masalah kesihatan.
Artikel ini akan memberikan panduan warna keputihan yang normal dan tidak normal sebagai rujukan anda untuk mengambil tindakan seterusnya.
Apa itu Keputihan?
Keputihan adalah istilah yang merujuk kepada lelehan faraj yang keluar daripada kelenjar kecil di dalam faraj dan serviks. Bendalir ini keluar daripada faraj setiap hari untuk membuang sel-sel lama dan puing, seterusnya memastikan saluran reproduktif bersih dan sihat.
Jumlah keputihan boleh berbeza-beza dengan ketara bagi setiap orang. Warna, konsistensi dan jumlah juga boleh berubah dari hari ke hari, bergantung kepada hari dalam kitaran haid anda:
- Hari 1-5: Permulaan kitaran, lelehan biasanya berwarna merah atau berdarah, semasa badan meluruhkan lapisan rahim.
- Hari 6-14: Selepas haid, anda mungkin melihat keputihan kurang daripada biasa. Apabila telur mula berkembang dan matang, lendir serviks akan menjadi keruh dan putih atau kuning. Ia mungkin terasa melekit.
- Hari 14-25: Beberapa hari sebelum ovulasi, lendir akan menjadi nipis dan licin, sama seperti putih telur. Selepas ovulasi, lendir akan kembali menjadi keruh, putih atau kuning, dan mungkin melekit atau melekat.
- Hari 25-28: Lendir serviks akan menjadi nipis dan anda akan melihat ia berkurang, sebelum mendapat haid yang lain.
Keputihan yang normal adalah keputihan yang berwarna jernih, putih atau kuning cerah. Keputihan yang tidak normal mempunyai warna selain daripada warna tersebut dan turut mempunyai ciri-ciri lain.
Berikut adalah penjelasan dengan lebih lanjut mengenai keputihan yang tidak normal:
Keputihan Warna Merah
Lelehan berwarna merah biasanya disebabkan perdarahan semasa haid. Warna merah ini boleh berbeza-beza dari warna cerah hingga warna karat gelap.
Pendarahan haid berlaku, secara purata, sekitar setiap 28 hari, walaupun dalam julat normal antara 21 dan 35 hari. Satu tempoh biasanya berlangsung selama 3-5 hari.
Jika anda mengalami perdarahan di antara haid, anda disarankan untuk berjumpa doktor. Ia mungkin menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang serius.
Bagi anda yang telah menopuas dan tidak datang selama sekurang-kurang 1 tahun, perdarahan faraj boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan yang serius seperti kanser endometrium.
Sila berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Keputihan Warna Merah Jambu
Keputihan jenis ini biasanya berwarna merah jambu lembut atau merah jambu terang, biasanya mengandungi sedikit darah.
Keputihan merah jambu selalunya berlaku dengan tompok sebelum haid. Walau bagaimanapun, ia juga boleh menjadi tanda perdarahan implantasi pada awal kehamilan.
Sesetengah orang mengalami sedikit tompok selepas ovulasi, ini juga menyebabkan keputihan berwarna merah jambu.
Selain itu, hubungan intim (seksual) juga boleh menyebabkan keputihan warna ini sekiranya berlaku koyakan kecil atau iritasi di dalam faraj atau serviks.
Keputihan Warna Kuning-Hijau
Keputihan yang mempunyai rona warna kuning yang sangat sedikit mungkin tidak menunjukkan sebarang masalah.
Jika benar, ia berkemungkinan besar berlaku semasa anda melakukan perubahan dalam diet atau makanan tambahan (suplemen).
Keputihan yang berwarna kuning, hijau kekuningan atau hijau yang lebih gelap biasanya menandakan jangkitan bakteria atau jangkitan akibat hubungan kelamin seperti trikomoniasis.
Sila dapatkan rawatan segera sekiranya keputihan yang keluar tebal, berketul atau berbau busuk.
Keputihan Warna Kelabu
Keputihan warna kelabu adalah keputihan tidak normal dan menunjukkan berlakunya jangkitan bakteria yang dipanggil bacterial vaginosis (BV).
Jangkitan ini akan turut menyebabkan beberapa gejala lain pada faraj seperti:
- Gatal-gatal
- Bau yang kuat
- Iritasi
- Kemerahan di sekeliling vulva atau pembukaan faraj
Sekiranya anda mengalami keputihan warna ini, sila dapatkan rawatan segera. Selepas diagnosis, doktor biasanya akan mempreskripsi antibiotik untuk merawat jangkitan bakteria ini.
Keputihan Warna Putih
Keputihan berwarna putih krim hingga kuning cair biasanya adalah sihat dan normal jika anda tidak mengalami gejala-gejala lain.
Walau bagaimanapun, sekiranya lelehan putih mempunyai konsistensi seperti keju kotej atau disertai dengan bau yang kuat, ia boleh menunjukkan jangkitan. Anda perlu membuat pemeriksaan lanjut di hospital.
Lelehan putih, tebal, berbau kuat biasanya dikaitkan dengan jangkitan yis (kulat), yang juga boleh menyebabkan kegatalan atau kerengsaan.
Keputihan Warna Jernih
Kebanyakan lelehan faraj yang biasa adalah jernih atau keputihan. Ia mungkin licin atau mempunyai konsistensi seperti putih telur.
Seseorang berkemungkinan mengalami lelehan yang lebih jernih dan licin sejurus sebelum ovulasi, semasa rangsangan seksual dan semasa mengandung.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Anda disarankan untuk berjumpa doktor sekiranya anda mengalami keputihan yang mempunyai warna dan bau yang luar biasa.
Selain itu, anda juga perlu berjumpa doktor sekiranya mengalami gejala-gejala faraj seperti berikut:
- Sakit atau tidak selesa
- Gatal-gatal
- Keputihan yang berbuih atau seperti keju kotej
- Keputihan berwarna kuning, hijau atau kelabu
- Rasa seperti sensasi terbakar semasa membuang air kecil
- Mempunyai bau yang kuat
- Perdarahan diantara haid atau selepas menopaus
- Tompok darah selepas hubungan seks yang kerap
Doktor akan melakukan pemeriksaan pelvis dan mungkin turut mengambil sampel lelahan faraj untuk ujian.
Rujukan
- Galan, N. (2020). A color-coded guide to vaginal discharge. MedicalNewsToday.