Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa biji anggur mempunyai banyak khasiat dan kebaikannya. Kebiasaannya, ramai yang suka membeli buah anggur tanpa biji. Mungkin kerana biji anggur ini menganggu semasa kita makan atau kerana rasa pahit kelat jika termakan atau tergigitnya.
Ekstrak dari biji anggur pula telah dihasilkan sejak tahun 1970-an lagi. Kini, ekstrak biji anggur dijadikan sebagai suplemen dengan membuang rasa pahit, mengeringkan dan mendebukan biji anggur tersebut.
Biji anggur ini mengandungi sebatian antioksidan, oligomeric proanthocyanidin (OPC) bersama-sama dengan antioksidan yang lain iaitu asid fenolik, flavonoid, dan anthocyanins.
Berikut merupakan khasiat biji anggur atau ekstrak biji anggur berdasarkan kajian-kajian sains:
1. Boleh Membantu Melancarkan Aliran Darah
Biji anggur mempunyai keupayaan untuk membantu melancarkan aliran darah.
Ekstrak biji anggur dipercayai mampu memulihkan mereka yang mempunyai masalah salur darah. Contohnya seperti masalah salur darah yang tidak dapat menyalurkan darah daripada kaki kembali ke jantung.
Dalam satu kajian di Jepun mendapati, ekstrak biji anggur membantu mengurangkan bengkak pada kaki wanita sihat akibat duduk yang terlalu lama. Kandungan proanthocyanidin dipercayai memainkan peranan penting dalam penyembuhan ini. [1]
2. Boleh Membantu Merendahkan Tekanan Darah
Satu kajian mendapati ekstrak biji anggur mempunyai kesan baik kepada tekanan darah. Keseluruhan analisis mendapati penurunan pada tekanan darah sistolik dan tekanan darah diastolik selepas rawatan dengan ekstrak biji anggur. Kesan ini lebih jelas terhadap subjek kajian yang muda dan obes. [2]
Satu kajian lain terhadap 29 orang dewasa mendapati pengambilan ekstrak biji anggur sebanyak 300 mg sehari menunjukkan penurunan signifikan terhadap tekanan darah sistolik dan diastolik. Tekanan darah sistolik menunjukkan penurunan sebanyak 5.6% dan tekanan darah diastolik menurun sebanyak 4.7% selepas 6 minggu pengambilan ekstrak biji anggur.[3]
3. Boleh Melindungi Badan daripada Kerosakan Akibat Radikal Bebas
Ekstrak biji anggur kaya dengan antioksidan. Antioksidan diketahui mempunyai kebolehan untuk mencegah atau melewatnya kerosakan sel-sel badan akibat radikal bebas.
Radikal bebas ini turut menyebabkan tekanan oksidatif yang membawa kepada kerosakan sel.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak biji anggur mampu mengurangkan kesan kerosakan oksidatif dan keradangan pada jantung yang disebabkan oleh Litium (Li). Litium ini digunakan dalam rawatan depresi dan kecelaruan bipolar. [4]
Satu kajian terhadap tikus makmal yang diberikan arsenik trioksida (ketoksidan pembiakan) mendapati ekstrak biji anggur bersama proanthocyanidin mampu mengurangkan kerosakan tekanan pengoksidaan pada testis tikus jantan tersebut. [5]
Dalam satu kajian lain, satu kumpulan terdiri daripada 87 orang pesakit yang bakal menjalani pembedahan jantung diberikan ekstrak biji anggur sebanyak 400mg, 24 jam sebelum pembedahan.
Hasil kajian mendapati tahap penanda tekanan oksidatif adalah rendah dengan ketara dalam kumpulan ini. Ini menunjukkan ekstrak biji anggur boleh melindungi jantung. [6]
4. Mempercepat Penyembuhan Luka
Ekstrak biji anggur juga mempamerkan ciri-ciri penyembuhan luka pada haiwan dan juga manusia.
Satu kajian yang dijalankan di Iran mendapati, rawatan luka menggunakan krim 2% ekstrak biji anggur menunjukkan penyembuhan seawal 8 hari berbanding pesakit yang dirawat menggunakan ubat biasa. Mereka menyimpulkan bahawa kandungan proanthocyanidins dalam EBA ini yang mengalakkan pertumbuhan dalam kulit. [7]
5. Baik untuk Penyakit Alzheimer
Penyakit Alzheimer ialah sejenis penyakit demensia progresif yang berlaku apabila sebahagian sel otak tidak berfungsi.
Keadaan ini akan mempengaruhi ingatan, fungsi kognitif dan personaliti seseorang sehingga mengganggu aktiviti harian.
Beberapa kajian mendapati sebatian polifenol dalam ekstrak biji anggur boleh mencegah, merawat atau melambatkan penyakit Alzheimer. [8, 9]
6. Boleh Mengurangkan Risiko Kerosakan Buah Pinggang
Buah pinggang adalah organ yang senang terdedah kepada kerosakan akibat tekanan oksidatif.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan ekstrak biji anggur boleh mengurangkan kerosakan buah pinggang dan meningkatkan fungsinya dengan mengurangkan tekanan oksidatif. [10]
Kajian terhadap pesakit buah pinggang kronik pula mendapati pengambilan ekstrak biji anggur sebanyak 2 gram sehari selama 6 bulan meningkatkan fungsi buah pinggang melalui pengurangan protein dalam air kencing dan penambahbaikkan kepada penapisan buah pinggang. [11]
7. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat
Khasiat ekstrak biji anggur turut melibatkan ciri-ciri antibakteria dan antikulatnya.
Dalam satu kajian makmal, ekstrak biji anggur pada kepekatan tinggi bertindak sebagai antibiotik semula jadi terhadap bakteria yang menyebabkan karies gigi iaitu Streptococcus mutans. [12]
Kajian makmal yang lain turut menunjukkan ekstrak biji anggur boleh mencegah 43 strain bakteria jenis Staphylococcus Aureus yang rintang kepada antibiotik. [13]
Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan sifat antibakteria ekstrak biji anggur terhadap bakteria yang menyebabkan kaviti dan penyakit Periodontal (penyakit gusi). [14]
Walau bagaimanapun, percubaan klinikal terhadap manusia masih terhad.
Dimanakah Boleh Didapati Ekstrak Biji Anggur ini?
Ekstrak biji anggur dalam bentuk makanan tambahan (suplemen) boleh didapati di farmasi-farmasi atau atas talian.
Kesan Sampingan dan Dos Selamat
Secara amnya, ekstrak biji anggur selamat digunakan atau dimakan. Dos sekitar 300-800mg sehari selama 8-16 minggu didapati masih selamat.
Walau bagaimanapun, bagi yang mengalami masalah pendarahan atau mengambil ubat pencair darah adalah tidak dinasihatkan mengambil ekstrak biji anggur.
Kesan sampingan yang diketahui adalah seperti:
- Cirit-birit
- Loya atau muntah
- Mulut kering
- Batuk
- Sakit kepala
- Sakit otot
Elakkan menggabungkan pengambilan vitamin C bersama-sama ekstrak biji anggur ini. Gabungan ini boleh meningkatkan tekanan darah.
Elakkan juga mengambil biji anggur sekiranya anda turut mengambil lactobacillus (probiotik). Ekstrak biji anggur boleh mengurangkan manfaat probiotik ini.
Tindak Balas dengan Ubat-ubatan
Sekiranya anda mengambil ubat-ubat seperti dibawah, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ekstrak biji anggur ini.
- Sesetengah ubat antikemurungan – amitriptyline, clomipramine, desipramine, fluvoxamine (Luvox), imipramine, nortriptyline.
- Sesetengah ubat asma – theophylline zileuton.
- Sesetengah ubat untuk jantung dan darah tinggi – mexiletine, propafenone, propranolol, verapamil
- Sesetengah ubat untuk merawat keresahan dan penyakit mental – chlordiazepoxide, clozapine, diazepam (Valium), haloperidol, mirtazapine, olanzapine.
Rumusan
Selain buah anggur, biji anggur juga sebenarnya mempunyai banyak khasiat terutamanya dalam bentuk ekstrak yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan kita.
Kandungan antioksidannya iaitu proanthocyanidin memainkan peranan penting kepada banyak khasiatnya terhadap kesihatan.
Ekstrak biji anggur menunjukkan peranan yang sangat besar dalam menangani tekanan oksidatif yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit kepada manusia.
Ekstrak biji anggur juga baik untuk aliran darah, tekanan darah, buah pinggang, kulit , jantung dan otak kita.
Rujukan
- Sano, A. et al. (2013). Proanthocyanidin-rich grape seed extract reduces leg swelling in healthy women during prolonged sitting. Journal of the science of food and agriculture.
- Zhang, H. et al. (2016). The impact of grape seed extract treatment on blood pressure changes: A meta-analysis of 16 randomized controlled trials. Medicine.
- Park, E. et al. (2016). Effects of grape seed extract beverage on blood pressure and metabolic indices in individuals with pre-hypertension: a randomised, double-blinded, two-arm, parallel, placebo-controlled trial. The British journal of nutrition.
- Mezni, A. et al. (2017). Lithium induced oxidative damage and inflammation in the rat’s heart: Protective effect of grape seed and skin extract. Biomedicine & Pharmacotherapy.
- Li, S. G. et al. (2015). Grape Seed Proanthocyanidin Extract Alleviates Arsenic-induced Oxidative Reproductive Toxicity in Male Mice. Biomedical and environmental sciences.
- Safaei, N. et al. (2017). Comparative effect of grape seed extract (Vitis vinifera) and ascorbic acid in oxidative stress induced by on-pump coronary artery bypass surgery. Annals of cardiac anaesthesia.
- Hemmati, A. A. et al. (2014). The topical effect of grape seed extract 2% cream on surgery wound healing. Global journal of health science.
- Pasinetti, G. M., & Ho, L. (2010). Role of grape seed polyphenols in Alzheimer’s disease neuropathology. Nutrition and dietary supplements.
- Wang, Y. J. et al. (2009). Consumption of grape seed extract prevents amyloid-beta deposition and attenuates inflammation in brain of an Alzheimer’s disease mouse. Neurotoxicity research.
- Ashtiyani, S. C. et al. (2013). Grape seed extract for reduction of renal disturbances following reperfusion in rats. Iranian journal of kidney diseases.
- Turki, K. et al. (2016). Grape seed powder improves renal failure of chronic kidney disease patients. EXCLI journal.
- Swadas, M. et al. (2016). Evaluation and Comparison of the Antibacterial Activity against Streptococcus mutans of Grape Seed Extract at Different Concentrations with Chlorhexidine Gluconate: An in vitro Study. International journal of clinical pediatric dentistry.
- Al-Habib, A. et al. (2010). Bactericidal effect of grape seed extract on methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA). The Journal of toxicological sciences.
- Ci, X. K. et al. (2015). [Grape seed proanthocyanidin extracts inhibit lipopolysaccharide of Porphyromonas gingivalis]. Shanghai journal of stomatology.