Sakit gusi boleh terjadi kepada semua orang. Sakit gusi kebiasaannya bersifat sementara tetapi boleh menjadi serius bergantung kepada puncanya. Artikel kali ini berkongsi mengenai beberapa petua hilangkan sakit gusi yang boleh diamalkan dan punca kepada sakit gusi.
Gusi ialah tisu yang lembut yang menyokong dan melindungi gigi. Kesakitan pada gusi boleh menjadi petunjuk kepada kecederaan, jangkitan, atau radang pada gusi dan gigi.
Berikut adalah beberapa punca yang menyebabkan kesakitan pada gigi dan cara merawatnya.

Punca Sakit Gusi
Sakit gusi boleh disebabkan oleh banyak perkara sama ada akibat memberus terlalu kuat sehinggalah penyakit gusi. Berikut adalah beberapa punca yang mungkin menyebabkan kesakitan pada gusi anda:
1. Kanker
Kanker ialah ulser kecil dan menyakitkan yang boleh terbentuk pada gusi. Penyebab kanker ini boleh terdiri daripada kecederaan mulut, sistem imun yang terjejas, tekanan perasaan, makanan kurang berzat, alahan atau masalah kesihatan yang tersembunyi. [1]
2. Luka
Makanan atau objek yang dimasukkan ke dalam mulut boleh mencederakan atau melukakan gusi. Ini boleh menyebabkan kesakitan, pendarahan dan ulser.
3. Penyakit Gusi
Gingivitis adalah penyakit gusi yang berlaku akibat pembentukan bakteria pada gusi dan gigi. Penyakit gusi ini akan menyebabkan keradangan dan pendarahan. Gingivitis yang tidak dirawat boleh melarat ke tahap periodontitis.
4. Perubahan Hormon
Hormon yang turun naik terutamanya semasa mengandung boleh menyebabkan kesakitan, bengkak dan pendarahan pada gusi.
5. Cara flos atau Berus Secara Kasar
Memberus atau flos secara kasar juga boleh menyebabkan pendarahan dan bengkak pada gusi.
6. Sinusitis
Jangkitan bakteria atau virus pada bahagian hidung boleh menyebabkan bengkak pada rongga hidung. Sesetengah orang yang menghidap sinusitis ini turut mengalami kesakitan pada gusi dan gigi.
7. Abses Gigi atau Gigi Bernanah
Abses atau nanah pada gigi terjadi apabila berlaku jangkitan bakteria pada akar gigi. Abses gigi ini boleh menyebabkan kesakitan dan bengkak pada gusi. Sakit ini boleh menjadi serius dan merebak kebahagian badan yang lain.
Sila dapatkan rawatan dari doktor gigi dengan segera jika mengalami masalah ini.
Rawatan Perubatan
Rawatan kepada kesakitan gusi bergantung kepada penyebabnya.
Bagi penyakit gusi, rawatan yang boleh dilakukan ialah mencuci atau menyingkirkan plak dan tartar daripada gusi.
Selepas pencucian plak dilakukan, pembersih mulut antibakteria juga disarankan untuk digunakan untuk membunuh saki baki bakteria yang ada bagi mengelakkan pembentukan plak yang baru.
Bagi kes-kes yang teruk, pembedahan mungkin diperlukan untuk membaiki tulang atau gusi yang rosak.
Untuk abses gigi, rawatan akar diperlukan untuk membuang tisu yang dijangkiti dan membuang nanah pada akar gigi.
Bagi kes sinusitis, sakit atau bengkak pada gusi akan berkurangan selepas jangkitan dibersihkan.
Manakala bagi kes jangkitan bakteria, doktor mungkin akan memberikan ubat antibiotik.
Petua atau Rawatan Dirumah
Selain rawatan konvensional, terdapat beberapa petua hilangkan sakit gusi yang boleh dilakukan di rumah terutamnya bagi kes-kes yang ringan.
Petua ini boleh diamalkan untuk hilangkan sakit gusi terutamanya ketika anda sukar untuk mendapatkan rawatan di klinik gigi.
1. Berkumur dengan Air Garam
Berkumur dengan air garam atau air garam bukit boleh mengurangkan jumlah bakteria berbahaya yang tinggal di gusi.
Kaedah ini boleh mengurangkan bengkak pada gusi.
2. Minyak Bunga Cengkih
Bunga cengkih mempunyai ciri-ciri antiradang dan mengurangkan kesakitan. [2]
Meletakkan minyak bunga cengkih pada gusi yang sakit dapat mengurangkan kesakitan dan bengkak.
3. Memberus dengan Betul
Menggunakan berus yang berbulu lembut dan memberus dengan cara yang betul dapat mengelakkan kecederaan pada gusi.
4. Uncang Teh
Celupkan uncang teh yang baru ke dalam air panas selama lebih kurang 5 minit. Kemudian, sejukkan uncang tersebut sehingga boleh dipegang dengan tangan. Seterusnya, letakkan uncang teh tersebut di kawasan gusi yang sakit selama 5 minit dan ke atas.
Gunakan uncang teh yang tinggi dengan kandungan tannin seperti teh hitam, teh hijau atau teh bunga raya. Teh halia atau teh bunga kamomil juga boleh digunakan. [3]
5. Ubat Menghilangkan Kesakitan
Ubat yang boleh dibeli di kaunter seperti aspirin, paracetamol (Panadol), dan ibuprofen boleh digunakan untuk menghilangkan kesakitan sekiranya kaedah-kaedah lain tidak berjaya.
Bila Perlu Berjumpa Doktor Gigi?
Sekiranya sakit gusi ini berterusan, sakit yang teruk, bengkak dan menyebabkan demam, dapatkan rawatan daripada doktor gigi.
Gejala-gejala seperti ini boleh menjadi petunjuk kepada penyakit gusi atau sakit yang lain yang memerlukan rawatan daripada doktor.
Rujukan
- Akintoye, S. O., & Greenberg, M. S. (2014). Recurrent aphthous stomatitis. Dental clinics of North America.
- Moon, S. E., Kim, H. Y., & Cha, J. D. (2011). Synergistic effect between clove oil and its major compounds and antibiotics against oral bacteria. Archives of oral biology.
- Radafshar, G. et al. (2017). Effects of green tea (Camellia sinensis) mouthwash containing 1% tannin on dental plaque and chronic gingivitis: a double-blinded, randomized, controlled trial. Journal of investigative and clinical dentistry.