Anggur adalah buah yang mempunyai pelbagai kebaikan dan kegunaan. Khasiat anggur banyak dipengaruhi oleh kandungan antioksidan dan nutriennya.
Nama saintifik bagi anggur ialah Vitis vinifera. Terdapat pelbagai jenis dan warna anggur yang boleh didapati di seluruh dunia. Contohnya seperti anggur hijau (putih), merah, hitam, kuning atau merah jambu.
Menjejaki sejarahnya, anggur telah ditanam sejak 8 000 tahun dahulu lagi di Timur Tengah. Kini anggur telah ditanam di serata dunia termasuklah di Malaysia.
Berikut adalah beberapa khasiat anggur yang menjadikan buah ini mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan.
1. Kaya dengan Nutrisi Penting
Bagi 100 gram buah anggur segar, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (USDA):
- Tenaga: 69 kcal
- Protein: 0.72 gram
- Lemak: 0.16 gram
- Karbohidrat: 18.1 gram
- Serat: 0.9 gram
- Kalsium: 10 miligram
- Zat besi: 0.36 miligram
- Magnesium: 7 miligram
- Fosforus: 20 miligram
- Kalium: 191 miligram
- Vitamin C: 3.2 miligram
- Folat: 2 mikrogram
- Vitamin E: 0.19 miligram
- Vitamin K: 14.6 mikrogram
Selain itu, buah anggur turut mengandungi gabungan vitamin B1, B2, B3 dan B6. Mineral seperti zink, tembaga dan selenium juga turut boleh didapati melalui pengambilan buah anggur.
Secara ringkasnya, buah anggur tinggi dengan vitamin C dan K iaitu masing-masing 4.6% dan 22.5% daripada jumlah RNI (recommended nutrient intake) Malaysia bagi 100 gram buah ini.
2. Tinggi dengan Antioksidan
Sebatian antioksidan sangat diperlukan oleh badan bagi mencegah daripada berlaku tekanan pengoksidaan.
Tekanan pengoksidaan boleh menyebabkan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser dan juga kencing manis (diabetes).
Buah anggur sangat tinggi dengan sebatian antioksidan. Antioksidan banyak di bahagian kulit dan bijinya. Oleh itu, jangan kupas kulit buah ini ketika memakannya.
Antara sebatian antioksidan yang terkandung dalam buah anggur adalah vitamin C, beta-karotin, lutein dan zeaxantin, resveratrol, kuersetin, antosianin, likopena, dan proanthocyanidins.
3. Boleh Melawan Kanser
Sebatian antioksidan seperti resveratrol adalah antara sebatian yang banyak dikaji akan kesannya terhadap perawatan dan pencegahan kanser.
Sebatian bioaktif ini boleh mencegah pertumbuhan sel-sel kanser, membunuh sel-sel kanser dan mengurangkan keradangan. Kajian-kajian yang telah dijalankan menunjukkan sebatian ini mempunyai kesan antikanser terhadap kanser kolon (usus), prostat, paru-paru, payu dara dan rahim. [1]
Resveratrol ini boleh didapati pada kuantiti yang lebih tinggi di bahagian biji dan kulit buah anggur.
4. Baik untuk Kesihatan Kulit
Sinaran UV sama ada daripada sinaran matahari atau sumber buatan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kulit seperti kedutan, selaran matahari (sunburn), kanser kulit, penuaan kulit dan perubahan pigmen.
Terdapat 2 jenis sinaran UV iaitu UV-A dan UV-B. Sinaran UV-A boleh menyebabkan penuaan kulit dan sinaran UV-B boleh menyebabkan selaran kulit (skin burning).
Kajian di peringkat makmal mendapati ekstrak biji anggur merah mempunyai kesan perlindungan terhadap sinaran UV-B pada kulit. Selain itu, ekstrak ini turut mengurangkan pembentukan sel-sel selaran matahari dalam kulit. Ini menunjukkan ekstrak biji anggur ini boleh bertindak sebagai pelindung matahari. [2]
Ekstrak anggur yang digunakan dalam krim penuaan juga menunjukkan kesan positif terhadap kesemua peserta wanita yang mengambil bahagian dalam satu ujian klinikal. [3]
5. Baik untuk Kesihatan Mata
Khasiat anggur turut meliputi kesannya terhadap kesihatan mata. Sebatian-sebatian aktif dalam buah ini didapati boleh mencegah daripada penyakit mata.
Sebatian aktif seperti resveratrol didapati boleh melindungi sel retina daripada rosak akibat sinaran UV-A. Keadaan ini boleh mengurangkan risiko pembentukan penyakit degenerasi makular berkaitan usia. [4]
Terdapat juga kajian yang mendapati resveratrol ini boleh melindungi mata daripada penyakit seperti glaukoma, katarak dan penyakit mata akibat diabetes. [5]
Di samping itu juga, kandungan sebatian seperti lutein dan zeaxantin juga boleh melindungi mata daripada rosak akibat penyakit degenerasi makular berkaitan usia dan katarak. [6]
6. Boleh Membantu Mengawal Kadar Gula Darah
Walaupun anggur agak tinggi dari segi kandungan gulanya iaitu 15.5 gram bagi setiap 100 gram, tetapi buah ini mempunyai indeks glisemik yang rendah iaitu 53.
Menariknya lagi, sebatian polifenol dan serat dalam buah anggur ini boleh menurunkan kadar gula dalam darah. Ini berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap 38 individu lelaki yang mengambil ekstrak anggur sebanyak 20 gram sehari selama 4 bulan. [7]
Selain itu, resveratrol juga boleh meningkatkan kepekaan insulin yang membolehkan badan menggunakan glukosa dengan lebih baik. Seterusnya merendahkan gula dalam darah. [8]
7. Membantu Meningkatkan Fungsi Otak
Peningkatan usia akan turut menyebabkan peningkatan kemerosotan fungsi motor dan kognitif yang menyebabkan badan seseorang itu terdedah kepada tekanan pengoksidaan dan keradangan.
Pengambilan jus anggur selama 3 bulan menunjukkan perkembangan positif dari segi percakapan dan ingatan bagi golongan berumur yang mempunyai masalah kemerosotan ingatan. [9]
Kajian terhadap golongan muda yang sihat pula mendapati pengambilan jus anggur sebanyak 230 mililiter berjaya menambah baik memori dan emosi selepas 20 minit meminum jus tersebut. [10]
8. Meningkatkan Sistem Imun
Selain baik untuk kulit, kandungan vitamin C dalam buah anggur juga turut membantu meningkatkan sistem pertahanan badan (sistem imun).
Vitamin C berperanan untuk mengalakkan penghasilan sel-sel darah putih yang boleh melindungi badan daripada jangkitan.
Tambahan lagi, dalam kajian klinikal terhadap 85 individu mendapati pengambilan jus anggur selama 9 minggu meningkatkan bilangan sel-sel darah putih dan kadar serum vitamin C. Ini menunjukkan kebaikan buah anggur terhadap sistem imun badan manusia. [11]
9. Boleh Membantu Menguatkan Tulang
Buah anggur juga mengandungi mineral dan vitamin yang penting untuk kesihatan tulang seperti kalsium, magnesium, fosforus, kalium dan vitamin K.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan resveratrol boleh meningkatkan ketumpatan tulang, namun tiada sokongan daripada kajian terhadap manusia. [12]
10. Boleh Membantu Mengurangkan Kadar Kolesterol
Sebatian aktif dalam buah anggur turut menyumbang kepada pengurangan kadar kolesterol terhadap pemakannya.
Kajian yang dijalankan terhadap 69 orang pesakit kolesterol tinggi menunjukkan pengambilan anggur merah sebanyak 500 gram sehari selama 2 bulan boleh merendahkan jumlah kolesterol dan kolesterol-LDL (kolesterol jahat). Namun, anggur putih tidak mempunyai kesan yang sama. [13]
Perbezaan khasiat pada warna anggur
Pada asasnya, anggur mempunyai khasiat yang hampir sama tidak kira apa sahaja warnanya.
Perbezaannya hanyalah dari segi aktiviti antioksidan serta aktiviti antiproliferasi – mencegah pengembangbiakan sel-sel tumor atau kanser.
Pada umumnya, berdasarkan kajian-kajian perbandingan yang dijalan, anggur hitam dan anggur merah mengandungi kandungan antioksidan yang lebih kuat atau mujarab berbanding anggur hijau atau anggur kuning.
Kajian juga turut mendapati bahawa anggur hitam dan anggur merah mempunyai keupayaan melawan sel-sel kanser lebih tinggi berbanding anggur hijau dan kuning. [14,15]
Rumusan
Buah anggur sangat enak dan mudah untuk dimakan. Boleh dijadikan kudapan yang sihat. Kaya dengan nutrien dan sebatian bioaktif yang sangat bermanfaat untuk kesihatan.
Walaupun agak tinggi dengan gula, tetapi buah ini mempunyai indeks glisemik yang rendah menandakan buah ini tidak menaikkan kadar gula dalam darah dengan cepat.
Kajian-kajian telah membuktikan khasiat anggur dalam membantu mencegah kanser, melindungi kulit, mata, otak serta baik untuk penghidap kencing manis dan kolesterol tinggi.
Jika dilakukan pembandingan, anggur merah dan anggur hitam mempunyai kelebihan dari segi kandungan antioksidan dan keupayaan untuk melawan sel-sel kanser berbanding anggur hijau atau anggur kuning.
Anggur juga mudah untuk dimakan sama ada dimakan segar, sejuk atau dibuat jus.
Rujukan
- Dybkowska, E., et al. (2018). The occurrence of resveratrol in foodstuffs and its potential for supporting cancer prevention and treatment. A review. Roczniki Panstwowego Zakladu Higieny.
- Filip, A., et al. (2011). The effects of grape seeds polyphenols on SKH-1 mice skin irradiated with multiple doses of UV-B. Journal of photochemistry and photobiology.
- Moyano-Mendez, J. R., et al. (2014). Enhanced antioxidant effect of trans-resveratrol: potential of binary systems with polyethylene glycol and cyclodextrin. Drug development and industrial pharmacy.
- Chan, C. M., et al. (2015). Protective effects of resveratrol against UVA-induced damage in ARPE19 cells. International journal of molecular sciences.
- Abu-Amero, K. K., et al. (2016). Resveratrol and Ophthalmic Diseases. Nutrients.
- Mares J. (2016). Lutein and Zeaxanthin Isomers in Eye Health and Disease. Annual review of nutrition.
- Urquiaga, I., et al. (2015). Wine grape pomace flour improves blood pressure, fasting glucose and protein damage in humans: a randomized controlled trial. Biological research.
- Sin, T. K., et al. (2015). Modulation of SIRT1-Foxo1 signaling axis by resveratrol: implications in skeletal muscle aging and insulin resistance. Cellular physiology and biochemistry.
- Krikorian, R., et al. (2010). Concord grape juice supplementation improves memory function in older adults with mild cognitive impairment. The British journal of nutrition.
- Haskell-Ramsay, C. F., et al. (2017). Cognitive and mood improvements following acute supplementation with purple grape juice in healthy young adults. European journal of nutrition.
- Cheryl A. Rowe, et al. (2011).Regular Consumption of Concord Grape Juice Benefits Human Immunity. Journal of Medicinal Food 2 14:1-2, 69-78.
- Lin, Q., et al. (2005). Effects of resveratrol on bone mineral density in ovarectomized rats. International journal of biomedical science : IJBS.
- Rahbar, A. R., et al. (2015). Comparative effects of red and white grapes on oxidative markers and lipidemic parameters in adult hypercholesterolemic humans. Food & function.
- Liang, Z., et al. (2014). Antioxidant and antiproliferative activities of twenty-four Vitis vinifera grapes. PloS one.
- Jun Yang, et al. (2009). Phytochemical profiles and antioxidant activities of wine grapes. Food Chemistry.