Kebanyakan daripada kita pastikan akan sedaya upaya untuk memilih makanan yang lebih sihat untuk dimakan. Begitu juga dengan pemilihan roti. Kenapa roti wholemeal (mil penuh) lebih sihat daripada roti putih biasa?
Untuk menjawab persoalan ini, artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai perbezaan antara roti wholemeal dan roti putih serta apa yang membuatkan roti wholemeal lebih sihat.
Sebenarnya, terdapat banyak jenis roti yang melibatkan perbezaan bahan yang digunakan. Tetapi fokus utama artikel kali ini adalah membandingkan roti wholemeal dengan roti putih yang mudah didapati di pasaran Malaysia.
Sebelum berbincang dengan lebih lanjut mengenai kelebihan, khasiat atau kekurangan roti-roti ini, harus diketahui dahulu perbezaan antara roti wholemeal dan roti putih.
Roti wholemeal adalah roti yang dihasilkan daripada bijian penuh yang dikisar halus iaitu termasuklah bahagian yang dipanggil bran, endosperma dan benih (germa). Ini membolehkan roti jenis ini mengekalkan kebanyakan daripada serat, lemak sihat, vitamin dan mineralnya.
Manakala, roti putih pula adalah roti yang dihasilkan daripada tepung yang bertapis. Ini bermakna tepung ini telah melalui proses pengisaran untuk membuang bahagian bran dan germa. Ini menjadikan roti ini kehilangan sebahagian besar serat, lemak sihat, vitamin dan mineralnya.
Adakah Roti Wholemeal atau Roti Putih Lebih Sihat?
Umumnya, roti wholemeal adalah pilihan yang lebih sihat berbanding roti putih. Hal ini kerana, roti wholemeal mengandungi lebih banyak nutrien berbanding roti putih. Roti wholemeal boleh dikategorikan sebagai sumber kepada karbohidrat penuh.
Contohnya, bran merupakan lapisan paling luar bijian (gandum) yang mengandungi:
- Serat
- Vitamin B
- Zat besi
- Tembaga
- Zink
- Magnesium
- Antioksidan
- Fitokimia
Manakala, benih atau germa adalah teras kepada bijian (gandum) yang mengandungi:
- Vitamin B
- Vitamin E
- Lemak sihat
- Antioksidan
- Fitokimia
Fitokimia adalah sebatian yang dihasilkan oleh tumbuhan yang dipercayai boleh melindungi sel-sel badan daripada kerosakan yang boleh membawa kepada kanser.
Roti putih yang tidak mengandungi bran dan germa akan kekurangan dengan nutrien-nutrien ini.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai pilihan untuk mendapatkan roti yang dinyatakan 100% whole-grain (100% bijian penuh) atau 100% whole-wheat (100% gandum lengkap), roti jenis ini adalah lebih baik berbanding roti wholemeal.
Ini kerana roti wholemeal biasanya mengandungi campuran antara tepung gandum bertapis dengan tepung gandum lengkap kecuali dinyatakan sebaliknya.
Kenapa Perlu Memilih Roti Wholemeal atau 100% Whole-grain?
Khasiat dan kebaikan roti wholemeal atau roti 100% whole-grain adalah lebih baik daripada rasanya. Makan makanan yang mengandungi bijian penuh boleh mengurangkan risiko kepada pelbagai penyakit seperti:
- Penyakit jantung
- Strok
- Kanser
- Penyakit kencing manis (diabetes)
- Asma
Satu analisis yang melibatkan 14 kajian menunjukkan pengambilan bijian penuh boleh mengurangkan risiko kematian akibat daripada penyakit kardiovaskular dan kanser. [1]
Satu kajian kohort yang melibatkan 489 000 peserta lelaki dan wanita melaporkan bahawa pengambilan makanan daripada bijian penuh boleh mengurangkan risiko kepada penyakit kanser kolon (kanser usus). [2]
Selain itu, kandungan serat yang lebih tinggi dalam roti wholemeal baik untuk sistem penghadaman yang boleh mencegah sembelit dan melancarkan pembuangan air besar.
Kenapa Perlu Elakkan Roti Putih?
Roti putih boleh dikategorikan sebagai makanan yang berasaskan kepada karbohidrat bertapis. Roti putih lazimnya tinggi dengan kalori dan kurang dengan nutrien. Meskipun sesetengahnya diperkaya dengan vitamin tertentu.
Pemakanan makanan yang terdiri daripada karbohidrat bertapis seperti roti putih boleh menyebabkan seseorang itu terlebih makan dan meningkatkan risiko kepada obesiti.
Roti putih juga lazimnya mempunyai indeks glisemik (GI) yang tinggi.
Kajian klinikal terhadap makanan yang tinggi indeks glisemik (GI) mendapati makanan yang tinggi indeks glisemik menyebabkan penyerapan glukosa (gula) yang cepat dan mendorong kepada pengambilan makanan berlebihan dalam kalangan mereka yang obes. [3]
Di samping itu, kajian turut melaporkan bahawa diet yang tinggi dengan karbohidrat bertapis, makanan berproses dan tinggi gula boleh meningkatkan risiko atau membawa kepada penyakit kardiovaskular dan penyakit kencing manis (diabetes jenis 2). [4]
Rumusan
Secara ringkasnya, roti wholemeal adalah pilihan yang lebih sihat jika dibandingkan dengan roti putih atas faktor kandungan nutrien-nutriennya.
Tambahan daripada itu juga, kajian-kajian turut mendapati pengambilan makanan seperti roti wholemeal ini boleh mengurangkan risiko kepada penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser, obesiti dan penyakit diabetes.
Rujukan
- Zong, G. et al. (2016). Whole Grain Intake and Mortality From All Causes, Cardiovascular Disease, and Cancer: A Meta-Analysis of Prospective Cohort Studies. Circulation.
- Schatzkin, A. et al. (2007). Dietary fiber and whole-grain consumption in relation to colorectal cancer in the NIH-AARP Diet and Health Study. The American journal of clinical nutrition.
- Ludwig, D. S. et al. (1999). High glycemic index foods, overeating, and obesity. Pediatrics.
- Bhardwaj, B. et al. (2016). Death by Carbs: Added Sugars and Refined Carbohydrates Cause Diabetes and Cardiovascular Disease in Asian Indians. Missouri medicine.