Jaundis dewasa atau penyakit kuning dewasa adalah keadaan yang menyebabkan mata putih, kulit muka dan badan serta membran mukus bertukar menjadi warna kuning. Perubahan warna kuning ini disebabkan oleh paras bilirubin yang berlebihan dalam darah.
Bilirubin ialah pigmen hempedu yang berwarna kuning kemerahan yang terhasil akibat pemecahan sel-sel darah merah.
Jaundis dewasa ini akan berlaku sekiranya paras bilirubin dalam darah melebihi 3 mg/dL (miligram per deciliter).

Kredit imej: James Heilman, MD, CC BY 3.0, melalui Wikimedia Commons
Pada kelazimnya, kebanyakan kes yang melibatkan jaundis berlaku kepada bayi baru lahir. Namun, penyakit kuning ini tetap boleh berlaku kepada orang dewasa mahupun warga emas.
Walaupun kejadian jaundis dewasa ini adalah amat jarang berlaku, tetapi jika ia berlaku jaundis adalah petanda bahawa kemungkinan ada penyakit yang lebih serius sedang menyerang pesakit.
Ujian atau saringan perubatan adalah penting bagi orang dewasa yang mengalami jaundis ini bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan penyakit kuning ini.
Simptom-simptom Jaundis Dewasa
Tahap keterukan atau keseriusan jaundis yang berlaku banyak bergantung kepada punca yang menyebabkannya.
Walaupun jaundis turut diistilahkan sebagai penyakit kuning atau sakit kuning, namun sebenarnya ia bukanlah sejenis penyakit tetapi ia lebih kepada gejala atau petanda kepada penyakit lain.
Gejala atau simptom-simptom jaundis yang mungkin turut berlaku adalah:
- Sakit perut
- Demam
- Sejuk mengigil
- Demam selesema
- Gatal yang teruk
- Air kencing berwarna gelap
- Perubahan warna kulit
- Badan berasa lemah
- Hilang selera makan
- Berat badan menurun
- Najis berwarna pucat
- Bengkak di kaki
- Bengkak atau kembung di bahagian perut
Punca yang Menyebabkan Jaundis Dewasa
Jaundis dewasa boleh disebabkan oleh banyak punca dan permasalahan kesihatan yang serius.
Jaundis ini boleh berlaku ketika fasa-fasa penghasilan bilirubin.
Fasa 1: Sebelum penghasilan bilirubin
Ketika fasa sebelum penghasilan bilirubin, seseorang itu mungkin mengalami jaundis tak berkonjugat akibat daripada peningkatan paras bilirubin yang berpunca daripada:
- Penyerapan semula hematoma besar (kumpulan darah beku atau separa beku di bawah kulit).
- Anemia hemolisis (sel-sel darah yang musnah dan disingkirkan daripada salur darah sebelum tamat jangka hayat yang normal).
Fasa 2: Semasa penghasilan bilirubin
Semasa fasa penghasilan bilirubin, jaundis boleh disebabkan oleh:
- Hepatitis: Hepatitis A, Hepatitis B atau Hepatitis C, dalam kebanyakan kes ia disebabkan oleh jangkitan virus.
- Autoimun hepatitis. Penyakit autoimun.
- Pengambilan alkohol yang kronik.
- Sindrom Dubin-Johnson dan sindrom Rotor. Penyakit kecacatan metabolik keturunan yang jarang berlaku yang boleh mengganggu pengangkutan bilirubin.
- Ubat-ubatan. Ubat-ubatan yang boleh menyebabkan penyakit hati atau kerosakan hati seperti acetaminophen (paracetamol), penicillin, pil perancang, ubat penyakit mental – chlorpromazine dan steroid.
Fasa 3: Selepas penghasilan bilirubin
Selepas bilirubin dihasilkan, jaundis boleh disebabkan oleh halangan pada sistem saluran hempedu. Antara penyakit yang boleh menyebabkan halangan pada sistem hempedu termasuklah:
- Kanser hempedu.
- Batu karang. Batu karang dalam hempedu boleh menyebabkan halangan pada saluran hempedu yang boleh menyebabkan keradangan hempedu, jangkitan dan kolangitis. Kolangitis ini akan menyebabkan gejala seperti jaundis.
- Pankreatitis. Keradangan akut atau kronik pada pankreas. Pankreatitis boleh menyebabkan pemampatan pada saluran hempedu akibat daripada pembengkakkan pankreas.
Komplikasi
Jenis dan keterukan komplikasi bergantung kepada penyebab sebenar jaundis ini dan mungkin berbeza-beza bagi setiap individu. Sesetengah individu mungkin tidak mengalami kesan pada jangka masa panjang dan sesetengah individu mungkin mengalami komplikasi yang boleh mengancam nyawa.
Antara komplikasi yang boleh berlaku:
- Anemia
- Pendarahan
- Jangkitan
- Keabnromalan elektrolit
- Kanser
- Hepatitis kronik
- Kegagalan hati
- Kegagalan buah pinggang
- Kegagalan otak
- Kematian
Rawatan Jaundis Dewasa
Rawatan terhadap jaundis dewasa ini adalah berdasarkan punca yang menyebabkannya.
- Sekiranya hepatitis akut akibat virus menjadi penyebabnya, biasanya jaundis akan hilang dengan sendirinya apabila hati mula sembuh.
- Sekiranya jaundis ini berlaku akibat pengambilan alkohol, perlu berhenti pengambilan alkohol.
- Pembedahan mungkin diperlukan sekiranya jaundis disebabkan oleh saluran hempedu yang tersekat.
- Sekiranya ubat-ubatan menjadi punca kepada jaundis ini, ubat-ubat jenis ini harus dihentikan atau diganti dengan jenis yang lain.
- Sekiranya jaundis ini disebabkan oleh jangkitan bakteria, antibiotik mungkin boleh membantu.
- Sekiranya jaundis ini berlaku dalam kalangan pesakit kanser, pembincangan dengan pakar diperlukan untuk rawatan yang sesuai.
Langkah Pencegahan
Beberapa langkah pencegahan boleh diambil bagi mengurangkan risiko terkena jaundis ini. Walaupun sesetengah daripadanya agak sukar untuk dibendung.
Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil adalah:
- Mengekalkan berat badan yang ideal atau sihat.
- Berhenti minum arak (alkohol) atau hadkan pengambilannya.
- Elakkan daripada terkena jangkitan hepatitis melalui pengamalan seks selamat dan tidak berkongsi jarum suntikan.
- Mengambil vaksin hepatitis A dan hepatitis B.
- Makan ubat seperti yang diarahkan bagi mengelak daripada kerosakan hati.
- Elakkan makan makanan dan air yang kotor bagi mengurangkan risiko terkena hepatitis A.
- Berhenti merokok bagi mengurangkan risiko terkena kanser pankreas.
Rujukan
- Roche, S. P., & Kobos, R. (2004). Jaundice in the adult patient. American family physician.
- Robinson, J. (2020). Jaundice: Why It Happens in Adults. WebMD.
- Doerr, S. (2020). Jaundice in Adults (Hyperbilirubinemia). MedicineNet.