Apa itu Anemia Hemolisis?
Anemia hemolisis (hemolytic anemia) adalah gangguan di mana sel-sel darah merah dimusnahkan lebih cepat daripada ia digantikan. Pemusnahan sel-sel darah merah ini dipanggil hemolisis.
Anda mungkin mengalami anemia hemolisis disebabkan oleh keadaan genetik yang menyebabkan anemia.
Kadang-kadang, anda boleh mengalami gejala anemia hemolisis ringan yang hilang selepas rawatan. Jika tidak dirawat, anemia hemolisis yang teruk boleh menyebabkan masalah jantung yang serius.
Sel-sel darah merah membawa oksigen ke semua bahagian badan anda. Jika anda mempunyai jumlah sel darah merah yang lebih rendah daripada biasa, anda mempunyai anemia.
Apabila anda mengalami anemia, darah anda tidak dapat membawa oksigen yang mencukupi ke semua tisu dan organ anda. Tanpa oksigen yang mencukupi, badan anda tidak boleh berfungsi dengan baik.
Anemia hemolisis boleh terjadi sama ada melalui warisan (keturunan) atau diperolehi (terbentuk kemudian).
Gejala-gejala Anemia Hemolisis
Gejala-gejala anemia jenis ini boleh jadi ringan atau lebih teruk. Ia juga boleh berlaku secara tiba-tiba atau terbentuk dalam jangka masa yang lama.
Antara gejala-gejala yang lazim berlaku adalah:
- Keletihan
- Pening
- Jaundis (penyakit kuning)
- Sesak nafas
- Tekanan darah rendah
- Denyutan jantung laju (takikardia)
- Darah dalam air kencing (hematuria)
- Hati dan limpa membesar
Punca yang Menyebabkan Anemia Hemolisis
Anemia hemolisis mungkin disebabkan oleh keadaan yang diwarisi yang menjejaskan sel-sel darah merah.
Ia juga disebabkan oleh jangkitan tertentu atau jika seseorang menerima pemindahan darah daripada penderma yang jenis darahnya tidak sepadan.
Penyakit Warisan yang Boleh Menyebabkan Anemia Hemolisis
Beberapa penyakit warisan tersebut adalah:
- Anemia Sel Sabit: Bagi penyakit ini, badan anda menghasilkan sel darah merah berbentuk tidak normal yang terperangkap dalam saluran darah kecil, limpa atau hati anda.
- Talasemia: Talasemia ialah satu gangguan darah yang diwarisi yang menyebabkan badan anda membuat sel darah merah yang tidak normal yang mudah dimusnahkan.
- Kekurangan G6PD: Gangguan genetik ini menjejaskan enzim yang melindungi sel darah merah. Apabila tahap enzim ini menurun, sel darah yang terdedah kepada jangkitan atau ubat tertentu mungkin akan pecah.
Jangkitan yang Boleh Menyebabkan Anemia Hemolisis
Antara jangkitan yang dikaitkan dengan anemia jenis ini adalah:
- Human immunodeficiency virus (HIV): Virus ini menyebabkan acquired immune deficiency syndrome (AIDS).
- Penyakit influenza Haemophilus: Penyakit ini disebabkan oleh jangkitan bakteria H. influenza.
- Malaria: Penyakit ini berlaku apabila nyamuk yang dijangkiti parasit malaria menggigit orang, meninggalkan parasit dalam aliran darah manusia.
Ubat-ubatan yang Boleh Menyebabkan Anemia Hemolisis
Sesetengah orang mengalami anemia hemolisis akibat mengambil ubat tertentu. Tidak semua orang yang mengambil ubat ini akan mengalaminya.
- Penicillin: Antibiotik ini digunakan untuk merawat jangkitan dan masalah perubatan serius yang lain.
- Quinine: Ubat ini digunakan untuk merawat malaria.
- Sulfonamides: Ubat antibakteria.
- Methyldopa: Ubat ini digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi.
Diagnosis
Doktor akan menjalankan diagnosis berdasarkan gejala-gejala, sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal.
Doktor juga mungkin mengarahkan ujian-ujian berikut:
- Kiraan darah lengkap
- Ujian darah yang lain
- Ujian air kencing
- Biopsi atau pengambilan sampel cecair tulang sumsum
Rawatan
Jika anda menghidap anemia hemolisis ringan, anda mungkin tidak mempunyai sebarang gejala atau memerlukan rawatan.
Bagi yang lain, anemia hemolisis selalunya boleh dirawat atau diuruskan. Rawatan bergantung kepada punca yang menyebabkan kesakitan tersebut.
Antaranya adalah:
- Transfusi darah
- Ubat-ubatan kortikosteroid
- Rawatan untuk menguatkan sistem imun
- Rituximab
Bagi kes-kes yang teruk, rawatan berikut mungkin diperlukan:
- Pembedahan untuk membuang limpa
- Ubat untuk mengurangkan kekuatan sistem imun
Rujukan
- National Heart, Lung, and Bloog Institute. Hemolytic Anemia.
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Hemolytic Anemia. Cleveland Clinic