Meskipun ubat tahan sakit sangat membantu ketika anda mengalami kesakitan, namun penggunaan yang tidak betul atau salah boleh mengundang kepada mudarat yang lain.
Justeru itu, adalah penting untuk setiap daripada kita mengetahui fungsi dan dos maksimum ubat tahan sakit yang boleh diambil dalam sehari.
Artikel ini membantu anda lebih memahami mengenai ubat tahan sakit, mengelakkan daripada penyalahgunaan serta risiko yang boleh berlaku sekiranya anda menyalahgunakan ubat tahan sakit tersebut.

Menurut Laporan Indeks Kesakitan Global 2020, satu pertiga daripada penduduk dunia mengalami kesakitan setiap hari.
International Association for the Study of Pain mentakrifkan kesakitan sebagai pengalaman deria dan emosi tidak menyenangkan yang berkaitan kecederaan tisu sebenar atau yang menyerupai kecederaan tersebut atau sekadar berpotensi untuk kecederaan terjadi.
Kategori Kesakitan
Kesakitan boleh dikategorikan mengikut tempoh, punca ataupun mekanisme kesakitan tersebut berlaku.
Secara amnya, kesakitan boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:
- Kesakitan akut: Berkaitan dengan kecederaan tisu seperti sakit selepas pembedahan, patah tulang, terbakar, keradangan dan lain-lain.
- Kesakitan kronik: Kesakitan melebihi tiga bulan, seperti sakit saraf (neuropathic pain) dan sakit kanser, atau kesakitan yang berterusan selepas sesuatu kecederaan pulih, contohnya seperti kecederaan tulang belakang.
Kesakitan boleh dinilai sebelum dan selepas rawatan diberikan dengan menggunakan skala kesakitan untuk menilai keberkesanan rawatan tersebut.
Skala kesakitan yang lazim digunakan untuk kanak-kanak berumur lebih 7 tahun dan orang dewasa terdiri daripada skala sifar (0) hingga sepuluh (10) yang menggambarkan tahap kesakitan yang sedang dialami oleh pesakit.
Skala sifar (0) menunjukkan pesakit tidak mengalami sebarang kesakitan manakala skala sepuluh (10) pula ialah tahap tertinggi kesakitan yang sedang dialami oleh pesakit.
Ubat Tahan Sakit
Kesakitan boleh dirawat dengan kumpulan ubat tahan sakit (analgesik). Secara amnya, analgesik dibahagikan kepada 2 kumpulan utama iaitu opioid dan bukan opioid.
1. Opioid
Opioid terbahagi kepada opioid lemah (seperti tramadol, codeine dan dihydrocodeine) serta opioid kuat (seperti morfin, oxycodone, pethidine dan fentanyl).
Opioid bertindak pada beberapa reseptor di otak dan saraf tunjang. Ubat ini bukan sahaja bertindak pada reseptor sakit tetapi mampu merangsang mekanisme yang memberikan rasa euforia (gembira).
Risiko: Penggunaan ubat opioid berisiko menyebabkan kebergantungan dan ketagihan.
2. Bukan Opioid
Ubat analgesik bukan opioid merangkumi ubat paracetamol, non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) seperti mefenamic acid, diclofenac, ibuprofen, naproxen serta perencat cyclooxygenase (COX)-2 seperti celecoxib dan etoricoxib.
Paracetamol merupakan analgesik dalam kategori ubat am yang turut berfungsi sebagai ubat antipiretik (dapat menyembuhkan demam).
Namun begitu, paracetamol tidak melegakan keradangan. Dos maksimum paracetamol untuk individu dewasa ialah 4 gram sehari.
Walaupun penggunaan paracetamol boleh dikatakan selamat, namun perlu diingatkan bahawa paracetamol tidak boleh diambil melebihi dos maksimum tersebut.
Ubat tahan sakit daripada kumpulan NSAIDs pula berfungsi untuk melegakan kesakitan, mengurangkan demam dan mengurangkan keradangan.
NSAIDs bertindak dengan merencat penghasilan prostaglandin iaitu sejenis bahan yang terlibat dalam keradangan, kesakitan dan demam serta perlindungan kepada perut, usus dan buah pinggang.
Risiko: Ubat NSAIDs berisiko menyebabkan kesan sampingan kepada perut dan usus serta perlu diambil selepas makan.
Ubat perencat COX-2 pula lebih spesifik dan hanya bertindak kepada enzim COX-2 iaitu sejenis enzim yang terlibat dalam penghasilan prostaglandin.
Kesan yang spesifik ini bukan sahaja mengurangkan kesakitan malahan juga risiko kesan sampingan kepada perut
Selain tiga kumpulan ubat tersebut, terdapat juga ubat tambahan (adjuvant) yang digunakan terutamanya dalam pengurusan sakit berkaitan saraf seperti kumpulan ubat antikemurungan (seperti amitriptyline dan kumpulan ubat antiepilepsi (seperti gabapentin dan carbamazepine).
Pemilihan Ubat Tahan Sakit
Pemilihan ubat tahan sakit adalah berdasarkan kategori kesakitan yang dialami. WHO analgesic ladder of pain mengesyorkan penggunaan paracetamol, NSAIDs atau perencat COX-2 untuk sakit kategori ringan dan sederhana.
Penambahan opioid lemah (seperti tramadol atau dihydrocodeine) boleh dipertimbangkan bagi kesakitan sederhana, sekiranya perlu.
Pesakit yang mengalami kesakitan kategori sederhana dan kuat pula boleh dipertimbangkan untuk diberi opioid kuat seperti morfin dan oxycodone.
Ubat tahan sakit seharusnya diambil pada dos terendah yang berkesan bagi melegakan kesakitan untuk tempoh yang singkat sahaja.
Namun demikian, untuk melegakan kesakitan yang berpanjangan seperti artritis, sakit belakang kronik serta sakit kanser, doktor perlu menilai sejarah kesihatan dan melakukan ujian makmal seperti ujian fungsi buah pinggang untuk menentukan pilihan ubat yang selamat dan bersesuaian.
Nasihat untuk Orang Awam
Sesetengah pesakit akan mengalami ulser perut selepas pengambilan ubat NSAIDs. Pesakit dinasihatkan untuk sentiasa mengambil ubat NSAIDs bersama-sama makanan (sebaik-baiknya, hidangan penuh) bagi mengurangkan risiko ulser perut.
Elakkan daripada mengambil ubat tersebut ketika perut kosong. Pengambilan NSAIDs dalam jangka masa panjang tanpa pengawasan doktor boleh meningkatkan risiko ulser dan pendarahan perut.
Perencat COX-2 merupakan alternatif bagi NSAIDS, khususnya bagi pesakit yang mempunyai sejarah pendarahan perut atau usus.
Penggunaan opioid dengan kerap pula berisiko menyebabkan keadaan yang dipanggil tolerans. Ubat opioid perlu diambil secara lebih kerap atau pada dos lebih tinggi untuk melegakan kesakitan.
Selain itu, penggunaan berpanjangan atau penyalahgunaan opioid boleh mengakibatkan kebergantungan secara psikologi dan fizikal.
Pesakit yang perlu mengambil ubat opioid hendaklah mengambilnya mengikut arahan yang diberikan dan tidak seharusnya mengambil sebarang dos tambahan tanpa kebenaran doktor.
Pesakit harus berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sekiranya dos ubat yang telah ditetapkan tidak membantu mengatasi kesakitan yang dialami.
Pesakit juga tidak seharusnya memandu atau menggunakan sebarang jentera kerana ubat opioid boleh menyebabkan rasa mengantuk.
Semua ubat tahan sakit yang ingin diambil perlulah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan ubat tahan sakit dan ubat-ubatan lain hanya daripada sumber yang sahih dan boleh dipercayai.
Pesakit yang mengalami kesakitan yang berterusan atau bertambah teruk, dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan.
Pemeriksaan lanjut oleh doktor diperlukan untuk mengenal pasti punca kesakitan tersebut. Setiap kesakitan mungkin memerlukan rawatan yang berbeza.
Penggunaan ubat tahan sakit tanpa kawalan dan pemantauan ahli profesional kesihatan berisiko mengakibatkan kesan yang tidak diingini.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Rujukan
- Ministry of Health Malaysia. Pain Pharmacotherapy Services: Guideline For Pharmacy. 3rd edition 2023.
- Ministry of Health Malaysia. Pain as The 5th Vital Sign Guideline: 3rd Edition.
- Abdullah, K. H. et al. (2023). Insights Into The State Of Pain Management Research : A Bibliometric Analysis. Malaysian Journal of Public Health Medicine.
- Cleveland Clinic. (2022). COX-2 Inhibitors.
- Cleveland Clinic.(2023). NSAIDs (Nonsteroidal Anti-Inflammatory Drugs).

Zanariah Abu Bakar
Puan Zanariah Binti Abu Bakar merupakan seorang pegawai farmasi yang sedang berkhidmat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.