Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan bahawa kes kanser telah meningkat kepada 15.2 ribu kes pada tahun 2022, iaitu penyumbang ketiga bagi keseluruhan jumlah kematian di Malaysia berbanding kedudukan keempat pada tahun 2021. Kes kanser juga dijangka akan berlipat kali ganda menjelang tahun 2040.
Kemoterapi Sebagai Salah Satu Kaedah Rawatan Kanser
Salah satu kaedah rawatan penyakit kanser ialah kemoterapi. Ubat yang digunakan semasa sesi kemoterapi berfungsi untuk membunuh atau menghentikan pertumbuhan sel kanser yang cepat berkembang.
Kemoterapi juga bertujuan untuk mengecilkan saiz tumor dan seterusnya dapat mengurangkan gejala yang disebabkan oleh kanser.
Bergantung kepada jenis kanser yang dihidapi, sesetengah pesakit mungkin hanya memerlukan kemoterapi sebagai rawatan, namun terdapat juga pesakit yang memerlukan gabungan kemoterapi dengan terapi kanser yang lain untuk membolehkan sel kanser dapat dihapuskan dengan lebih berkesan.
Sebagai contoh, rawatan kanser limfoma Hodgkin biasanya melibatkan kemoterapi sahaja tetapi pesakit limfoma Hodgkin dengan tumor bersaiz besar akan menjalani rawatan kemoterapi dan diikuti dengan radioterapi bagi meningkatkan peluang untuk sembuh.
Salah Faham Tentang Kemoterapi
Keberkesanan rawatan kanser dipengaruhi oleh beberapa faktor dan salah satu daripadanya ialah kepatuhan terhadap sesi kemoterapi.
Antara perkara yang menyebabkan kegagalan pesakit untuk kekal patuh dan meneruskan kemoterapi ialah salah faham tentang kemoterapi.
Pesakit berpendapat bahawa kemoterapi boleh menyebabkan kesan sampingan yang memudaratkan kesihatan.
Antara kesan sampingan kemoterapi yang mungkin berlaku termasuklah letih, loya, muntah, sakit mulut dan tekak, ulser mulut, hilang selera makan, cirit- birit, sembelit, perubahan deria rasa dan deria bau serta keguguran rambut.
Sebilangan pesakit juga percaya bahawa ubat-ubatan yang digunakan untuk kemoterapi akan meningkatkan risiko jangkitan kuman yang serius kerana sistem imun badan mereka menjadi lemah akibat sel darah putih yang berkurangan.
Kemoterapi memberi kesan kepada sel yang sedang aktif berkembang. Hal ini bermakna kemoterapi bukan sahaja menghapuskan sel kanser, malah turut menjejaskan sel lain di dalam badan yang sihat dan normal.
Kesan sampingan kemoterapi boleh berlaku sejurus selepas setiap sesi kemoterapi atau boleh juga dialami beberapa hari atau minggu selepas pesakit menjalani kemoterapi.
Bahkan, sebilangan pesakit juga dilaporkan mengalami kesan sampingan setelah berbulan-bulan hingga bertahun-tahun selesai menjalani sesi kemoterapi.
Dari segi tahap keseriusan, kesan sampingan kemoterapi boleh dikategorikan kepada kesan sampingan yang ringan hingga serius.
Kebanyakan kesan sampingan hanya bersifat sementara dan keadaan pesakit akan bertambah baik apabila sel yang normal mulai pulih semula.
Kesan sampingan kemoterapi adalah berbeza mengikut jenis ubat-ubatan yang digunakan dan bergantung kepada tahap kesihatan pesakit yang menjalani kemoterapi tersebut.
Oleh sebab itu, kesan sampingan yang dialami adalah berlainan daripada seorang pesakit kepada pesakit yang lain.
Nasihat Kepada Pesakit
Kepatuhan pesakit terhadap regimen kemoterapi adalah penting untuk memastikan keberkesanan rawatan kanser yang dijalani.
Sebelum kemoterapi dimulakan, doktor atau ahli farmasi akan menerangkan kesan sampingan yang mungkin dialami oleh pesakit dan cara untuk menangani kesan sampingan tersebut.
Pesakit digalakkan untuk melakukan pengubahsuaian gaya hidup, seperti mengambil diet yang seimbang dan berkhasiat untuk meningkatkan ketahanan tubuh dalam menghadapi kesan sampingan.
Namun begitu, sekiranya kesan sampingan yang dialami memerlukan rawatan lanjut, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan.
Beberapa kesan sampingan boleh dirawat secara simptomatik dengan ubat-ubatan selepas pemeriksaan dan penilaian oleh doktor yang merawat.
Misalnya, pesakit yang mengalami loya, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan boleh diberikan ubat-ubatan yang bersesuaian untuk merawat gejala tersebut.
Doktor juga akan memulakan pesakit yang berisiko dengan ubat antibiotik semasa dan selepas kemoterapi dijalankan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan.
Pesakit dinasihatkan untuk makan dalam kuantiti yang kecil secara lebih kerap dan minum air yang mencukupi iaitu 8-10 gelas air setiap hari untuk mengelakkan dehidrasi.
Penjagaan kebersihan mulut pula dapat menangani ulser mulut atau sakit tekak. Pesakit boleh berkumur setiap 4-6 jam dengan air garam atau ubat kumur mulut yang tidak mengandungi alkohol.
Pesakit juga disaran untuk menggunakan berus gigi yang lembut untuk mengelakkan kecederaan pada gusi.
Bukan semua ubat-ubatan yang digunakan untuk kemoterapi akan menyebabkan keguguran rambut. Sebahagiannya pula hanya menyebabkan penipisan rambut.
Kesan sampingan keguguran atau penipisan rambut hanya berlaku secara sementara dan rambut baru akan mulai tumbuh semula selepas pesakit selesai menjalani kemoterapi.
Sekiranya mengalami keguguran atau penipisan rambut, pesakit boleh mempertimbangkan untuk menggunakan topi atau selendang untuk sementara waktu.
Pesakit disaran untuk mencatat sejarah kesan sampingan yang pernah dialami termasuklah masa dan tempoh kesan sampingan tersebut berlaku.
Dengan maklumat tersebut, pesakit dapat berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum menjalani sesi kemoterapi yang seterusnya.
Seterusnya, doktor boleh mempertimbangkan untuk meminda jadual rawatan kemoterapi atau mencadangkan langkah yang bersesuaian untuk menangani kesan sampingan.
Tindakan ini membolehkan pesakit melalui fasa kemoterapi dengan lebih bersedia tanpa menjejaskan kualiti hidup mereka.
Sebagai kesimpulannya, kesedaran dan kefahaman yang tepat tentang kemoterapi adalah penting bagi memastikan pesakit kanser tidak terpengaruh dengan salah faham yang boleh menjejaskan kepatuhan mereka terhadap rawatan.
Meskipun kemoterapi mempunyai kesan sampingan, kebanyakannya dapat dikawal dan dirawat dengan sokongan penjagaan kesihatan yang menyeluruh.
Oleh sebab itu, pesakit digalakkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berbincang dengan ahli profesional kesihatan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Rujukan
- Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia: Penerbitan Summary of the Malaysia National Cancer Registry Report 2017-2021. 19 July 2024, page 1
- National Cancer Institute. (2025). Chemotherapy to Treat Cancer.
- American Cancer Society. (2025). Chemotherapy Side Effects.
- Cancer Research UK. (2023). About Side Effects of Chemotherapy