Bradikardia sinus boleh menjadi tanda kepada kesihatan kardiovaskular bagi orang muda, dewasa dan atlet. Tetapi, ia juga boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan yang tersembunyi yang memerlukan perhatian perubatan.
Apa itu Bradikardia Sinus?
Bradikardia sinus ialah denyutan jantung yang perlahan daripada biasa. Denyutan jantung yang normal biasanya antara 60 hingga 100 denyut seminit.
Bagi penghidap bradikardia sinus, denyutan jantung mereka adalah lebih perlahan daripada 60 denyut seminit.

Ia kadangkala merupakan gejala keadaan atau masalah jantung tertentu, tetapi ia juga boleh menjadi tanda bahawa seseorang berada dalam keadaan yang sangat baik kerana senaman yang kerap.
Kebanyakan orang tidak mempunyai gejala-gejala, tetapi apabila gejala-gejala berlaku, biasanya kerana jantung anda mengepam terlalu perlahan untuk membekalkan badan dengan darah yang mencukupi.
Kenapa Dipanggil Bradikardia Sinus?
Bradikardia sinus bermaksud jantung anda berdenyut dengan perlahan tetapi masih menggunakan ritma sinus.
Semasa ritma sinus, setiap denyutan jantung bermula dalam nodus sinoatrial (SA) iaitu sekumpulan sel-sel aktif elektrik berhampiran bahagian atas jantung anda.
Nodus sinoatrial (SA) ialah perentak jantung semula jadi bagi jantung anda dan menjana arus elektrik yang membuatkan otot jantung anda menghimpit.
Ritma sinus bermakna nodus sinus menetapkan tempo untuk denyutan jantung yang normal.
Istilah “bradikardia” digunakan untuk menerangkan kadar denyutan jantung yang lebih perlahan daripada biasa.
Siapakah yang Boleh Mengalami Bradikardia Sinus?
Bradikardia sinus lebih cenderung berlaku pada orang dewasa, terutamanya mereka yang berumur lebih dari 65 tahun kerana deyutan jantung secara semula jadi menjadi semakin perlahan selari dengan peningkatan usia.
Bradikardia jenis ini jarang-jarang berlaku kepada kanak-kanak melainkan ia berlaku kerana keadaan kesihatan yang dialami oleh kanak-kanak semasa dilahirkan (kongenital).
Bradikardia sinus juga biasa berlaku kepada individu yang kerap bersenam dan berada dalam keadaan fizikal yang sangat baik.
Senaman dan latihan yang kerap mempunyai kesan positif pada saraf vagus anda. Saraf vagus adalah sebahagian daripada sistem saraf autonomi anda.
Semakin baik saraf vagus anda berfungsi, semakin rendah kadar denyutan jantung anda semasa berehat.
Adakah Ia Serius?
Bradikardia sinus tidak selalu menunjukkan masalah kesihatan. Bagi sesetengah orang, jantung masih boleh mengepam darah dengan cekap dengan lebih denyutan yang lebih perlahan.
Sebagai contoh, orang dewasa muda yang sihat atau atlet ketahanan boleh mengalami bradikardia sinus.
Ia juga boleh berlaku semasa tidur, terutamanya apabila anda sedang tidur nyenyak. Walaupun ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, ia lebih biasa berlaku pada orang dewasa yang lebih tua.
Bradikardia sinus boleh menyebabkan masalah jika jantung tidak cekap mengepam darah ke seluruh badan. Beberapa kemungkinan komplikasi daripada ini adalah seperti:
- Kegagalan jantung
- Serangan jantung secara tiba-tiba
- Episod pengsan yang kronik
Gejala-gejala Bradikardia Sinus
Ramai orang yang mempunyai bradikardia sinus tidak mempunyai sebarang gejala selain daripada kadar denyutan jantung yang lebih perlahan.
Tetapi jika darah yang tidak mencukupi dipam ke organ badan, anda mungkin mula mengalami gejala-gejala seperti:
- Berasa pening atau pening-pening lalat
- Kelesuan
- Mudah menjadi penat apabila anda aktif secara fizikal
- Sesak nafas
- Sakit dada
- Kekeliruan atau mempunyai masalah dengan ingatan
- Pengsan
Punca
Sinus bradikardia boleh berlaku berpunca daripada beberapa faktor seperti:
- Kekurangan elektrolit: Kekurangan elektrolit seperti kalium, magnesium dan kalsium boleh menjejaskan denyutan jantung.
- Keradangan: Keradangan pelapik dalam jantung atau otot jantung boleh menjejaskan denyutan jantung.
- Jangkitan: Bakteria yang menyebabkan sakit tekak juga boleh menyebabkan kerosakan pada jantung, terutamanya injap jantung anda, tanpa rawatan yang tepat pada masanya.
- Anoreksia nervosa: Kecelaruan makan ini berpotensi menyebabkan bradikardia sinus.
- Penyakit Lyme: Ini adalah penyakit yang anda perolehi daripada bakteria yang menjangkiti anda melalui gigitan kutu. Keadaan ini boleh menjejaskan jantung anda tanpa rawatan.
- Demam reumatik: Demam reumatik boleh berlaku apabila jangkitan kuman seperti sakit tekak tidak dirawat terlalu lama.
- Penyakit Chagas: Seperti penyakit Lyme, keadaan ini berlaku kerana parasit daripada serangga penghisap darah yang dipanggil “kepinding cium.”
- Sindrom sinus sakit: Ini adalah apabila perentak jantung semula jadi jantung anda iaitu nodus sinoatrial (SA) tidak berfungsi.
- Halangan jantung: Ini ialah istilah yang merujuk kepada sebarang gangguan dalam sistem elektrik jantung anda. Gangguan ini menyekat atau memperlahankan arus elektrik semasa ia bergerak, mengganggu proses deyutan jantung anda.
- Pembedahan jantung: Pembaikan keadaan jantung kongenital (keadaan yang anda alami sejak lahir), pembaikan injap dan penggantian injap semuanya boleh menyebabkan bradikardia jenis ini.
- Terapi radiasi: Rawatan ini boleh menyebabkan kesan toksik yang membawa kepada penyakit jantung radiasi.
- Ubat-ubatan: Ini termasuk ubat-ubat preskripsi seperti beta-blockers, ubat antiaritmia, lithium dan lain-lain.
Diagnosis
Untuk mendiagnosis bradikardia sinus, doktor biasanya menjalankan pemeriksaan fizikal terlebih dahulu. Ia boleh melibatkan perkara seperti:
- Mendengar denyutan jantung
- Mengukur denyutan jantung
- Mengambil bacaan tekanan darah
Selain itu, beberapa ujian lain mungkin dilakukan sebagai sebahagian daripada proses diagnosis. Ini termasuklah:
- Ujian darah
- Ujian tekanan (stres)
- Pemantauan tidur
- Penapisan toksikologi
- Cardiac troponin testing
- Transthoracic echocardiography
Rawatan
Anda mungkin tidak memerlukan rawatan jika anda mempunyai bradikardia sinus tetapi ia tidak menyebabkan gejala-gejala.
Bagi mereka yang mengalami gejala-geja;a memerlukan rawatan, cara merawat penyakit bergantung pada puncanya. Beberapa pilihan rawatan adalah seperti:
- Merawat penyakit sebenar yang tersembunyi
- Mengambil ubat-ubatan
- Mengimplan perentak jantung
Tambahan itu, doktor juga mungkin menasihatkan anda untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti:
- Makan makanan yang sihat
- Kekal aktif dan kerap bersenam
- Mengekalkan berat badan yang ideal
- Mengurangkan tekanan darah dan paras kolesterol
- Melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala
Rujukan
- Hafeez Y, Grossman SA. Sinus Bradycardia. [Updated 2023 Feb 5]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Schulman, J.S. (2023). What to Know About Sinus Bradycardia. Healthline