Kecelaruan makan mungkin selalu disalah erti sebagai salah satu pilihan gaya hidup. Sebaliknya, kecelaruan makan adalah satu penyakit mental yang serius. Ia boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan atau yang lebih teruk adalah kematian.
Selain melibatkan makanan, kecelaruan makan turut melibatkan emosi dan pemikiran. Mereka yang terlampau taksub dengan makanan, berat badan dan bentuk badan mungkin berisiko tinggi mengalami kecelaruan makan.
Anoreksia nervosa, bulimia nervosa dan gangguan makan gelojoh adalah antara kecelaruan makan yang paling kerap berlaku.
Jenis dan Gejala-gejala Kecelaruan Makan
Terdapat 4 jenis kecelaruan makan yang biasa berlaku. Kenalpasti gejala-gejala ini untuk mengetahui jika ada dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan terdekat anda menghidapi kecelaruan makan.
1. Anoreksia Nervosa
Anoreksia nervosa ialah keadaan yang mengakibatkan seseorang itu tidak berselera makan atau tidak mahu makan sehingga menjadi kurus kering dan boleh membawa maut.
Mereka sentiasa merasakan mereka gemuk walaupun mereka sangat kurus.
Penghidap anoreksia nervosa ini juga mempunyai tingkah laku yang agak pelik seperti:
- Kerap kali menimbang berat badannya.
- Makan dengan jumlah yang amat sedikit.
- Kerap bersenam secara melampau.
- Memaksa diri untuk muntah atau menggunakan laksatif untuk menurunkan berat badan.
Kecelaruan makan jenis anoreksia nervosa ini mengakibatkan kematian yang tertinggi berbanding penyakit mental yang lain.
Gejala-gejala
- Terlalu menghadkan makan.
- Terlampau kurus (kurus kering).
- Keengganan untuk mengekalkan berat badan yang sihat dan normal.
- Amat takut jika berat badan naik.
Sekiranya kecelaruan ini berlarutan, gejala-gejala berikut mungkin akan berlaku:
- Kerosakan otak.
- Kegagalan pelbagai organ dalaman.
- Tulang mereput (osteoporosis).
- Jantung menjadi rosak.
- Kuku dan rambut menjadi rapuh.
- Berasa letih sepanjang masa.
- Tidak subur.
- Tekanan darah rendah.
- Sembelit yang teruk.
- Tumbuh bulu-bulu halus diseluruh tubuh.
- Suhu badan menjadi rendah.
2. Bulimia Nervosa
Bulimia nervosa pula adalah gangguan makan yang dikaitkan dengan pengambilan jumlah makanan yang banyak pada satu-satu masa.
Gangguan ini turut diikuti oleh kelakuan menyingkirkan makanan dengan memuntahkannya secara sengaja, menggunakan laksatif atau bersenam secara berlebihan.
Terdapat penghidap bulimia nervosa yang kekurangan berat badan, mempunyai berat yang normal atau berat badan berlebihan.
Seperti anoreksia, bulimia nervosa mula terbentuk semasa usia remaja dan awal dewasa. Ia lebih sering terjadi dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
Gejala-gejala
- Sakit tekak (kerongkong) atau radang yang kronik pada kerongkong.
- Bengkak kelenjar air liur di bahagian leher dan rahang.
- Masalah asid refluks dan usus.
- Dehidrasi akibat penyingkiran cecair.
- Ketidakseimbangan elektrolit (boleh membawa kepada strok atau serangan jantung).
- Episod makan gelojoh yang berulang-ulang dan kurang mampu untuk mengawalnya.
- Keyakinan diri yang terlampau dipengaruhi oleh bentuk badan dan berat badan.
- Rasa takut jika berat badan naik walaupun hakikatnya berat badan adalah normal.
3. Gangguan Makan Gelojoh (binge-eating disorder)
Gangguan makan gelojoh ini adalah gangguan makan yang mempunyai ciri yang hampir sama dengan bulimia nervosa, tetapi tanpa penyingkiran makanan secara paksa atau tingkah laku tambahan yang lain.
Mereka yang mempunyai gangguan makan gelojoh ini biasanya kerap makan dengan banyak dan gagal untuk mengawalnya. Golongan ini juga biasanya makan dengan cepat atau makan walaupun telah terlampau kenyang.
Selepas makan terlalu banyak, mereka akan berasa bersalah, malu atau meluat dengan kelakuan tersebut. Rasa malu ini juga menyebabkan golongan ini memilih untuk makan seorang diri.
Kesannya, golongan makan gelojoh ini biasanya terlebih berat badan atau obes.
Gejala-gejala
- Makan pada kuantiti yang banyak pada sela masa tertentu.
- Makan walaupun telah kenyang atau tidak lapar.
- Makan laju semasa episod makan gelojoh.
- Makan sehingga terlampau kenyang.
- Makan seorang diri bagi mengelakkan rasa malu.
- Rasa bersalah, malu dan tertekan akibat tabiat makan tersebut.
- Selalu berdiet tetapi berkemungkinan tanpa kehilangan berat badan.
- Tidak bertingkahlaku seperti muntah secara paksa, bersenam secara berlebihan, atau menggunakan laksatif untuk mengimbangi kegelojohan makan tersebut.
4. Gangguan Ruminasi
Gangguan ruminasi adalah kecelaruan makan yang baru dikenalpasti.
Ia melibatkan seseorang itu mengeluarkan semula makanan yang telah ditelan kemudian mengunyahnya semula atau menelan semula atau membuangnya.
Ruminasi ini biasanya berlaku 30 minit selepas makan. Berbeza dengan keadaan asid refluks yang berlaku dengan sendirinya.
Gangguan ini boleh berlaku pada semua peringkat umur. Bagi bayi atau anak kecil, ruminasi ini boleh terjadi antara umur 3 hingga 12 bulan dan biasanya pulih dengan sendirinya.
Bagi golongan dewasa yang menghidap gangguan ini, mereka akan mengurangkan pengambilan makanan sehingga menyebabkan mereka kurang berat badan dan malnutrisi.
Terapi dan Rawatan
Adalah penting bagi mereka yang mengalami kecelaruan makan untuk mendapatkan rawatan. Golongan ini berisiko tinggi untuk bertindak membunuh diri atau menghadapi masalah kesihatan.
Golongan ini juga selalunya turut mengalami gangguan mental yang lain seperti kemurungan dan keresahan.
Antara pilihan rawatan atau terapi yang boleh didapati adalah seperti berikut:
Psikoterapi
Psikoterapi boleh membantu anda dan ahli keluarga menukar gaya hidup lama kepada gaya hidup yang lebih sihat.
- Terapi berasaskan keluarga: Terapi ini sesuai untuk kanak-kanak dan remaja yang mengalami kecelaruan makan. Ia melibatkan ahli keluarga bagi memastikan mereka mematuhi pemakanan yang sihat dan mengekalkan berat badan yang sihat.
- Terapi tingkahlaku kognitif: Terapi ini biasanya digunakan untuk merawat mereka yang menghadapi bulimia dan gengguan makan gelojoh. Kaedah ini akan mendidik anda untuk menambah baik emosi dan mengawal tabiat makan. Selain itu, ia turut melatih anda dalam menyelesaikan masalah dan berhadapan dengan situasi yang tegang atau stres.
Ubat-ubatan
Beberapa jenis ubat yang boleh membantu mengawal keinginan untuk makan gelojoh atau menyingkirkan makanan adalah seperti ubat antidepresi, antikeresahan dan penstabil emosi.
Kaunseling Nutrisi
Kaunseling nutrisi boleh membantu pesakit dalam menguruskan pengambilan nutrisi yang bersesuai dengan mereka disamping membentuk tabiat pemakanan yang sihat.
Rujukan
- National Institute of Mental Health. (2016). Eating Disorders. NIMH [diakses pada 4 September 2020].
- Nagl, M. et al. (2016). Prevalence, incidence, and natural course of anorexia and bulimia nervosa among adolescents and young adults. European child & adolescent psychiatry.
- Talley N. J. (2011). Rumination syndrome. Gastroenterology & hepatology, 7(2), 117–118.
- Mayo Clinic Staff. (2018). Eating disorders. MayoClinic [diakses pada 5 September 2020].
- Aline Petre. (2019). 6 Common Types of Eating Disorders (and Their Symptoms). Healthline [diakses pada 5 September 2020].