Peningkatan usia adalah salah satu faktor risiko yang boleh menjadi penyebab anda mengalami sakit sendi atau keradangan pada sendi. Keadaan ini turut dikenali sebagai artritis.
Selain itu, terdapat beberapa penyebab lain yang boleh menyebabkan anda mengalami sakit sendi atau artritis ini.
Artikel ini akan menjelaskan bagaimana anda boleh mengalami sakit sendi serta punca yang menyebabkannya.

Apa itu Artritis?
Artritis adalah istilah umum yang digunakan untuk menggambarkan keradangan dan kesakitan pada sendi. Ia merangkumi lebih 100 keadaan berbeza yang menjejaskan sendi, tisu di sekeliling sendi, dan tisu penghubung lain.
Pada awalnya, anda mungkin hanya mengalami ketidakselesaan ringan. Tetapi, gejala boleh menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa.
Akhirnya, ia boleh menjadi penghalang untuk anda melakukan aktiviti harian atau menjejaskan kerja anda.
Walaupun risiko artritis boleh meningkat dengan usia, ia tidak terhad kepada orang tua sahaja. Tambahan pula, terdapat faktor risiko yang berbeza yang dikaitkan dengan pelbagai jenis artritis.
Bagaimana Anda Boleh Mengalami Sakit Sendi atau Artritis?
Terdapat banyak jenis artritis dan setiap satunya mempunyai penyebab yang tersendiri.
Terdapat tiga jenis atau kategori artritis yang sering berlaku kepada masyarakat umum iaitu osteoartritis, gout dan artritis reumatoid.
Osteoartritis
Sekiranya anda didiagnosis dengan osteoartritis, sakit sendi yang dialami boleh disebabkan oleh:
- Haus dan Lusuh: Osteoartritis biasanya disebabkan oleh haus dan lusuh pada sendi. Penggunaan sendi dari semasa ke semasa boleh menyumbang kepada kemusnahan rawan pelindung pada sendi anda. Ini menyebabkan tulang bergesel dengan tulang. Perasaan itu boleh menjadi sangat menyakitkan dan mengehadkan pergerakan.
Gout
Sekiranya anda didiagnosis dengan gout, sakit sendi yang dialami boleh disebabkan oleh:
- Metabolik: Apabila badan memecah purin, bahan yang terdapat dalam sel dan makanan, ia membentuk asid urik. Sesetengah orang mempunyai tahap asid urik yang tinggi. Apabila badan tidak dapat menyingkirkannya, asid urik terkumpul dan membentuk kristal seperti jarum di sendi. Ini menyebabkan sakit sendi yang melampau dan tiba-tiba, atau dikenali sebagai serangan gout. Gout datang dan pergi, tetapi jika tidak dirawat ia boleh menjadi kronik.
Artritis Reumatoid
Sekirany anda didiagnosis dengan artritis reumatoid, sakit sendi yang dialami boleh disebabkan oleh:
- Keradangan: Artritis reumatoid berlaku apabila sistem imun badan menyerang dirinya sendiri. Khususnya badan menyerang membran yang mengelilingi bahagian sendi. Ini boleh mengakibatkan sendi meradang atau bengkak, kemusnahan rawan dan tulang, dan akhirnya kesakitan. Anda juga mungkin mengalami gejala keradangan lain seperti demam dan hilang selera makan.
Jangkitan
Jangkitan juga boleh menjadi penyebab kepada sakit sendi atau artritis. Kecederaan atau jangkitan pada sendi boleh berkembang menjadi artritis.
Sebagai contoh, artritis reaktif adalah sejenis artritis yang boleh berlaku akibat jangkitan. Ini termasuk jangkitan seperti chlamydia, jangkitan kulat dan penyakit bawaan makanan.
Faktor Risiko yang Meningkatkan Kebarangkalian Anda Mengalami Sakit Sendi
Kadangkala, sakit sendi boleh berlaku tanpa sebab yang diketahui. Meskipun begitu, terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami sakit sendi atau artritis.
Antaranya adalah:
- Usia: Usia yang meningkat boleh meningkatkan risiko anda mengalami sakit sendi seperti gout, osteoartritis dan artritis reumatoid.
- Jantina: Wanita lebih cenderung untuk mengalami artritis reumatoid berbanding lelaki. Manakala, lelaki lebih cenderung mengalami gout.
- Keturunan: Jika ada ahli keluarga yang menghidap artritis, anda juga turut berisiko mengalaminya.
- Obesiti: Berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko osteoartritis kepada anda kerana ia memberikan tekanan yang lebih pada sendi.
- Kecederaan lampau: Kecederaan pada masa lampau akibat daripada bersukan, kemalangan kereta atau sebab lain meningkatkan risiko anda terhadap artritis di kemudian hari.





