Ensefalitis adalah kecemasan perubatan yang sering berlaku tanpa amaran jelas. Ia adalah keradangan pada tisu otak, biasanya disebabkan oleh jangkitan atau tindak balas autoimun.
Walaupun ia bukan keadaan biasa, ensefalitis boleh menyebabkan kerosakan neurologi yang teruk, kecacatan atau kematian jika tidak dirawat dengan segera.
Apa Itu Ensefalitis?
Ensefalitis bermaksud “keradangan otak”. Ia berlaku apabila otak mengalami iritasi, bengkak atau rosak akibat pencetus tertentu, biasanya jangkitan.

Dalam kebanyakan kes, ensefalitis berlaku secara tiba-tiba dan berkembang dengan pantas, menjejaskan cara seseorang berfikir, bergerak atau kekal sedar.
Sesiapa sahaja boleh menghidap ensefalitis, tetapi bayi, kanak-kanak kecil, warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun lemah adalah paling berisiko.
Terdapat dua jenis ensefalitis yang utama iaitu:
- Ensefalitis primer: Di mana jangkitan terus menyerang otak.
- Ensefalitis sekunder (atau pasca-jangkitan): Ia berlaku apabila sistem imun secara tidak sengaja menyerang sel otak yang sihat selepas melawan jangkitan di bahagian badan yang lain.
Gejala-gejala
Gejala-gejala awal ensefalitis sering menyerupai selesema:
- Demam
- Sakit kepala
- Keletihan atau rasa tidak sihat
Apabila ia bertambah teruk, gejala-gejala neurologi yang lebih serius muncul:
- Keliru atau disorientasi
- Sawan
- Perubahan personaliti atau tingkah laku
- Sensitiviti terhadap cahaya (fotofobia)
- Leher kaku
- Masalah bercakap atau memahami pertuturan
- Lemah atau lumpuh
Pada bayi, tanda-tanda dan gejala mungkin termasuk ubun-ubun yang menonjol (fontanel), kurang menyusu, menangis berterusan atau badan kaku.
Punca Ensefalitis
Punca paling biasa ensefalitis ialah jangkitan virus. Beberapa virus berikut lebih cenderung menjangkiti otak:
- Virus Herpes Simpleks (HSV): Terutamanya HSV-1, merupakan penyebab utama. Ia terkenal menyebabkan kudis mulut tetapi juga boleh menyebabkan keradangan otak yang mengancam nyawa.
- Arbovirus: Virus ini disebarkan oleh serangga seperti nyamuk dan kutu. Ini termasuk virus West Nile, ensefalitis Jepun (JE) dan ensefalitis bawaan kutu.
- Enterovirus: Virus seperti echovirus atau coxsackievirus biasanya menyebabkan penyakit ringan tetapi kadang-kadang boleh membawa kepada ensefalitis.
- Virus lain seperti campak, beguk, rubela, dan varisela (cacar air) juga boleh mencetuskan ensefalitis, terutamanya dalam individu yang tidak divaksin.
Kadangkala, ensefalitis tidak berpunca daripada jangkitan langsung.
Ensefalitis autoimun berlaku apabila sistem imun tubuh menyerang otak sendiri. Ini sering dikaitkan dengan antibodi yang menyerang protein otak, kadangkala dicetuskan oleh ketumbuhan atau jangkitan lain dalam badan.
Diagnosis
Disebabkan gejala-gejala ensefalitis boleh menyerupai keadaan lain seperti strok, meningitis atau gangguan psikiatri, diagnosis yang cepat dan tepat amat penting.
Doktor biasanya akan menggunakan kombinasi ujian berikut:
- Lumbar puncture (cairan tulang belakang) untuk mengesan jangkitan dalam cecair serebrospinal.
- Imbasan MRI atau CT untuk mengesan pembengkakan atau kelainan dalam otak.
- EEG (Electroencephalogram) untuk memantau aktiviti otak.
- Ujian darah dan air kencing untuk mengenal pasti virus atau antibodi.
- Kadang-kadang, biopsi otak diperlukan jika ujian lain tidak memberikan hasil yang jelas.
Diagnosis awal amat penting. Semakin lama otak mengalami keradangan, semakin tinggi risiko kerosakan kekal.
Rawatan Ensefalitis
Tiada rawatan tunggal untuk ensefalitis dan kaedah rawatan bergantung kepada puncanya.
Untuk ensefalitis virus, terutamanya yang disebabkan oleh HSV, ubat antivirus seperti acyclovir boleh menyelamatkan nyawa jika diberikan awal.
Jika disebabkan oleh virus nyamuk, rawatan adalah berbentuk sokongan seperti rehidrasi, ubat antiradang, kawalan sawan. Hal ini demikian kerana kebanyakan jangkitan ini tiada rawatan khusus.
Untuk ensefalitis autoimun, rawatan memberi tumpuan kepada mengawal sistem imun. Ia mungkin melibatkan steroid, imunoglobulin intravena (IVIG) atau plasmaferesis (prosedur yang menapis antibodi berbahaya dari darah).
Kes yang teruk memerlukan rawatan di hospital. Pesakit mungkin memerlukan bantuan pernafasan, rawatan sawan, atau pembedahan untuk mengurangkan tekanan dalam tengkorak.
Selepas fasa akut, pemulihan melalui fisioterapi, terapi pertuturan dan terapi cara kerja amat penting.
Prognosis dan Pemulihan
Hasil pemulihan sangat bergantung kepada punca dan sejauh mana kerosakan berlaku. Sesetengah pesakit pulih sepenuhnya, terutamanya jika rawatan dimulakan awal.
Manakala yang lain mungkin mengalami kesan kekal seperti:
- Masalah ingatan
- Kesukaran bertutur atau memahami
- Perubahan personaliti
- Epilepsi
- Ketidakupayaan fizikal
Kanak-kanak dan warga emas lebih cenderung mengalami komplikasi jangka panjang.
Pemulihan boleh mengambil masa berminggu, berbulan atau bertahun lamanya. Sokongan emosi dan psikologi juga penting sepanjang proses ini.
Pencegahan
Walaupun tidak semua kes ensefalitis boleh dicegah, beberapa langkah berikut boleh mengurangkan risikonya:
- Vaksinasi: Vaksin untuk campak, beguk, rubela, dan cacar air sangat berkesan dalam mengurangkan kes ensefalitis.
- Kawalan nyamuk: Gunakan ubat nyamuk, kelambu dan hapuskan tempat pembiakan nyamuk.
- Rawatan awal jangkitan: Terutama untuk HSV, rawatan antivirus awal boleh menghalang virus daripada menyerang otak.
- Pantau gangguan imun: Individu dengan penyakit autoimun perlu berhati-hati dan peka terhadap gejala-gejala awal ensefalitis.
Kesimpulan
Ensefalitis adalah peringatan betapa rapuh dan pentingnya otak kita. Ia adalah kecemasan perubatan yang merentasi batas antara jangkitan dan gangguan imun.
Usaha kesihatan awam terutamanya melalui vaksin telah banyak mengurangkan kes-kes yang boleh dicegah.
Namun, ancaman baharu seperti virus baharu dan perubahan iklim yang mempengaruhi habitat nyamuk menjadikan ensefalitis kekal sebagai isu penting.
Di peringkat individu, kesedaran adalah kunci. Mengenali gejala awal dan mendapatkan rawatan segera boleh menyelamatkan nyawa dan mencegah kecacatan kekal.
Bagi mereka yang terselamat, pemulihan adalah perjalanan panjang yang memerlukan sokongan menyeluruh.
Dalam dunia moden yang penuh cabaran kesihatan, ensefalitis mengingatkan kita: otak adalah aset paling berharga dan ia perlu dilindungi sepenuhnya.
Rujukan
- Granerod, J., & Crowcroft, N. S. (2007). The epidemiology of acute encephalitis. Neuropsychological rehabilitation.
- Allan R. T. (2008). The Management of Encephalitis: Clinical Practice Guidelines by the Infectious Diseases Society of America. Clinical Infectious Diseases.
- Mayo Clinic Staff. (2024). Encephalitis. MayoClinic