Apa itu Terapi Pertuturan?
Terapi pertuturan ialah rawatan yang membantu meningkatkan kemahiran pertuturan dan bahasa anda. Ia membantu dengan kemahiran bahasa awal, pengeluaran suara dan bunyi, kefahaman, kelancaran, kejelasan dan ekspresi.
Rawatan dan penilaian dilakukan oleh ahli patologi bahasa pertuturan (SLP), yang sering dirujuk sebagai ahli terapi pertuturan.
Terapi pertuturan mungkin diperlukan untuk kecelaruan pertuturan yang berkembang pada zaman kanak-kanak atau kecacatan pertuturan pada orang dewasa yang disebabkan oleh kecederaan atau penyakit, seperti strok atau kecederaan otak.

Siapakah yang Memerlukan Terapi Pertuturan Ini?
Terapi pertuturan bermanfaat untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami gangguan komunikasi.
Mereka yang disarankan untuk mendapatkan terapi ini adalah:
- Penghidap penyakit afasia: Penghidap afasia boleh mengalami kesukaran membaca, menulis, bercakap dan memahami bahasa.
- Penghidap apraksia: Penghidap apraksia tahu apa yang mereka ingin katakan, tetapi menghadapi masalah untuk membentuk perkataan.
- Penghidap gangguan artikulasi: Kanak-kanak yang mengalami gangguan artikulasi tidak dapat menghasilkan bunyi perkataan tertentu.
- Penghidap gangguan kefasihan: Gangguan kefasihan mengganggu kelajuan, aliran dan irama pertuturan. Contohnya seperti gagap.
- Penghidap gangguan ekspresif: Penghidap gangguan ekspresif mungkin mengalami kesukaran untuk mengeluarkan kata-kata atau menyampaikan fikiran mereka.
- Penghidap gangguan kognitif-komunikasi: Orang yang mengalami gangguan kognitif-komunikasi mungkin mempunyai masalah dengan mendengar, bercakap, ingatan dan penyelesaian masalah.
- Penghidap disartria: Gangguan pertuturan yang disebabkan oleh kehilangan kawalan otot yang berkenaan akibat kerosakan sistem saraf atau otot pertuturan.
- Penghidap gangguan reseptif: Orang yang mengalami gangguan reseptif mengalami kesukaran untuk memahami atau memproses apa yang orang lain katakan.
- Penghidap gangguan resonans: Keadaan yang menjejaskan rongga mulut atau hidung yang mungkin menyekat aliran udara dan mengubah getaran yang bertanggungjawab untuk bunyi.
Apakah yang Berlaku Semasa Terapi Pertuturan?
Apa yang berlaku semasa terapi pertuturan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk umur dan jenis gangguan pertuturan yang anda alami.
Bagi kanak-kanak, ia biasanya melibatkan permainan, seperti aktiviti urutan atau permainan papan berasaskan bahasa. Bagi orang dewasa, ia tertumpu pada menambah baik atau membina semula set kemahiran tertentu.
Terapi Pertuturan untuk Kanak-kanak
Bagi kanak-kanak, terapi pertuturan mungkin berlaku di dalam bilik darjah atau kumpulan kecil, atau bersemuka, bergantung pada gangguan pertuturan. Latihan dan aktiviti terapi pertuturan berbeza-beza bergantung pada gangguan, umur dan keperluan anak anda.
Semasa terapi ini, ahli terapi mungkin:
- Berinteraksi melalui bercakap, bermain, dan menggunakan buku, gambar objek lain sebagai sebahagian daripada intervensi bahasa untuk membantu merangsang perkembangan bahasa.
- Menyediakan strategi dan kerja rumah untuk anak dan ibu bapa atau penjaga tentang cara melakukan terapi pertuturan di rumah.
- Menunjukkan contoh bunyi dan suku kata yang betul untuk kanak-kanak semasa permainan yang sesuai dengan umur mereka bagi tujuan untuk mengajar kanak-kanak itu cara membuat bunyi tertentu.
Terapi Pertuturan untuk Dewasa
Terapi pertuturan untuk orang dewasa juga bermula dengan penilaian untuk menentukan keperluan anda dan rawatan terbaik.
Latihan yang melibatkan terapi ini termasuklah:
- Penyelesaian masalah, memori, penyusunan dan aktiviti lain yang menjurus kepada peningkatan komunikasi kognitif.
- Taktik perbualan untuk meningkatkan komunikasi sosial.
- Senaman pernafasan untuk gangguan resonans.
- Senaman untuk menguatkan otot mulut.
Adakah Terapi Ini Berkesan?
Jawapannya, ya. Meskipun begitu perlu diingat juga kadar kejayaan turut berbeza-beza bagi setiap individu.
Kajian turut melaporkan bahawa terapi pertuturan bagi kanak-kanak paling berjaya apabila dimulakan lebih awal dan diamalkan di rumah dengan penglibatan ibu bapa atau penjaga.
Selain itu, terapi ini juga turut mendatangkan kebaikan-kebaikan lain seperti:
- Meningkatkan kualiti hidup
- Meningkatkan keyakinan diri
- Meningkatkan kualiti vokal
- Bersedia untuk ke sekolah
- Meningkatkan kebebasan
- Meningkatkan keupayaan untuk memahami dan menyatakan idea, fikiran dan perasaan
Berapa Lama Anda Memerlukan Terapi Ini?
Jawapan kepada soalan ini adalah berbeza untuk setiap orang. Ia bergantung kepada beberapa faktor, termasuklah:
- Usia
- Jenis gangguan pertuturan
- Keterukan gangguan pertuturan
- Kekerapan terapi
- Masalah kesihatan
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Speech Therapy. Cleveland Clinic