Gagap ialah keadaan di mana pertuturan menjadi tidak lancar atau tersekat-sekat. Masalah ini boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa. Ia bukanlah penyakit tetapi ia boleh mengganggu proses komunikasi.
Gagap adalah biasa bagi kanak-kanak kecil yang baru belajar untuk bercakap. Kanak-kanak kecil mungkin mengalami kegagapan apabila kebolehan pertuturan dan bahasa mereka tidak cukup berkembang untuk mengikuti apa yang mereka ingin katakan. Kebanyakan kanak-kanak mengatasi kegagapan tersebut apabila mereka meningkat dewasa.
Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes, gagap adalah keadaan kronik yang berterusan sehingga dewasa. Masalah ini boleh memberi kesan terhadap keyakinan diri dan interaksi dengan orang lain.
Ciri-ciri Gagap
Masalah gagap boleh dikenal pasti melalui dua ciri utama iaitu primer dan sekunder.
Gagap Primer
Gagap jenis ini terjadi apabila pertuturan individu mengalami pengulangan (repetition), pemanjangan (prolongation), sekatan (blocking) atau sisipan (interjection).
- Pengulangan: Individu atau penutur mengulangi bunyi, suku kata, sebahagian atau keseluruhan perkataan beberapa kali dalam percakapan mereka. Contohnya, “Nak pa..pa..pa..pa..pakai kasut.” Pengulangan biasanya berlaku pada suku kata awal dan tidak pada suku kata akhir perkataan.
- Pemanjangan: Individu atau penutur akan menyebut satu-satu perkataan dengan bunyi yang panjang. Contohnya, “Sssssaya nak maaakan.”
- Sekatan: Individu atau penutur menyebut sesuatu perkataan dengan tersangkut-sangkut. Contohnya, ketika ingin menyebut perkataan ‘cantik’, bibir individu tersebut mungkin tertutup dengan sangat rapat dan sukar digerakkan untuk menyebut perkataan tersebut.
- Sisipan: Individu atau penutur sering kali menambah bunyi yang tidak bermakna dalam percakapan mereka. Contohnya, menambah bunyi ‘aaa’ atau ‘hmmm’ semasa bercakap. “aaa.. saya suka aaa… makan hmmm.. donut.”
Gagap Sekunder
Gagap sekunder adalah keadaan di mana anggota badan turut bergerak berulang-ulang kali semasa gagap primer berlaku. Contohnya, mata berkelip-kelip berulang kali semasa berlakunya kegagapan.
Selain itu, gerakan-gerakan lain yang mungkin turut dilakukan adalah seperti:
- Menghentak kaki
- Hidung bergerak-gerak atau kembang
- Kepala bergerak-gerak
- Menepuk meja
Punca Berlakunya Gagap
Punca sebenar yang menyebabkan kegagapan tidak diketahui dengan jelas. Para pengkaji percaya beberapa faktor berikut mempunyai kaitan dengan kegagapan:
- Genetik: Sekiranya terdapat ahli keluarga atau keturunan yang mempunyai masalah gagap, kemungkinan besar untuk anda atau anak anda turut mengalaminya adalah tinggi.
- Keabnormalan kawalan motor pertuturan: Keabnormalan dalam kawalan motor pertuturan, seperti masa, koordinasi deria dan motor mungkin menjadi penyebabnya.
- Kerosakan saraf: Kecederaan atau kerosakan sistem saraf akibat strok atau kemalangan boleh menjadi punca.
- Persekitaran: Individu terutamanya kanak-kanak yang terdedah kepada persekitaran individu gagap (ahli keluarga), cenderung untuk mengikut gaya percakapan mereka.
- Tekanan: Individu dalam tekanan untuk bercakap cenderung untuk menjadi gagap. Sebagai contoh, kanak-kanak sering menjadi gagap apabila ibu bapa menekan anak untuk menyebut perkataan dengan betul dan tepat.
Gagap dalam Kalangan Kanak-kanak
Kebiasaannya, kanak-kanak berusia 2 hingga 5 tahun mengalami tempoh kegagapan dalam proses perkembangan bahasa mereka. Semasa bercakap mereka sering tersekat-sekat, mengulangi suku kata, perkataan atau ayat, pemanjangan sesuatu bunyi perkataan atau berhenti ketika bercakap.
Ini bukanlah fenomena luar biasa. Hampir 5% kanak-kanak mengalami kegagapan normal pada usia ini.
Ciri-ciri Masalah Kegagapan Dalam Kalangan Kanak-kanak
Terdapat beberapa ciri yang boleh diperhatikan sekiranya kanak-kanak mengalami masalah kegagapan iaitu:
- Mengulangi suku kata dan perkataan lebih daripada 2 kali seperti sa..sa..sa..saya.
- Pengulangan melibatkan kepayahan dan ketegangan otot-otot yang ketara di kawasan muka dan mulut.
- Bermula dan berterusan selepas usia 3 tahun setengah.
- Kanak-kanak mengelak daripada menggunakan perkataan yang menyebabkan kegagapan.
- Tempoh kemunculan dan hilang gagap semakin bertambah. Boleh berlanjutan 6 hingga 12 bulan dan ada yang kekal.
- Mengalami kegagapan lebih 10 perkataan daripada 100 perkataan.
Apa yang Boleh Anda Lakukan?
Masalah kegagapan boleh dibantu atau dirawat melalui rawatan terapi pertuturan. Terapi ini boleh membantu mereka yang mengalami kegagapan untuk bertutur dengan lebih mudah dan lancar.
Selain terapi pertuturan, terdapat alat elektronik yang boleh membantu meningkatkan kelancaran pertuturan.
Sekiranya anda, anak atau ahli keluarga anda mengalami masalah ini, anda boleh mendapatkan rujukan dan temujanji untuk berjumpa dengan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan-Bahasa) di hospital-hospital yang berhampiran.
Perbezaan Gagap dengan Pertuturan Tidak Lancar Tetapi Normal
Gagap | Pertuturan Tidak Lancar Tetapi Normal | |
---|---|---|
Umur | Masalah bermula selepas umur 3 tahun enam bulan | Masalah berlaku dalam lingkungan 2-5 tahun |
Kekerapan | Kerap dan semakin teruk | Sekali sekala |
Tempoh masa | Berterusan sehingga 6 atau 12 bulan atau lebih | Beberapa minggu |
Pengulangan suku kata atau perkataan | Mengukangi lebih daripada dua kali “Sa..sa..sa..saya.” | Mengulangi sekali atau dua kali sahaja “Nak bu..bu..buka pintu.” |
Nada suara | Nada suara semakin meninggi dengan lebih banyak pengulangan | Tiada perubahan pada nada suara |
Perbuatan sekunder | Kelihatan susah untuk bercakap, seperti memejam mata atau mengherotkan mulut | Tidak mengalami kesukaran untuk bercakap |
Rujukan
- Rusly, R. (2020). Gagap. MyHealth KKM. http://www.myhealth.gov.my/gagap/
- Mayo Clinic Staff. (2021). Stuttering. MayoClinic.