Apa itu Alahan Kacang Tanah?
Alahan kacang tanah ialah keadaan yang berlaku apabila badan anda bertindak balas berlebihan terhadap kacang tanah. Ia berlaku apabila badan tersilap menyangka kacang tanah sebagai bahan yang berbahaya.
Alahan kacang tanah adalah salah satu daripada alahan makanan yang lazim berlaku.
Alahan kacang tanah juga adalah jenis alahan yang sering menyebabkan serangan alahan yang teruk. Malah, bagi sesetengah orang, tindak balas alahan ini boleh mengancam nyawa.
Alahan jenis ini juga banyak berlaku kepada kanak-kanak. Biasanya, kanak-kanak yang menghidap alahan ini akan terus mempunyai alahan sehingga mereka dewasa.
Namun, ia tidak mustahil bagi sesetengah kanak-kanak untuk mengatasi alahan yang mereka alami apabila sudah meningkat dewasa.
Sekiranya anda mendapati anak anda menunjukkan tindak balas yang ringin terhadap kacang tanah, adalah penting untuk berbincang dengan doktor untuk mengesahkan alahan yang anak anda alami.
Ini kerana masih terdapat risiko tindak balas pada masa depan yang lebih serius.
Gejala-gejala dan Tanda Alahan Kacang Tanah
Tindak balas alahan terhadap kacang tanah biasanya berlaku dalam beberapa minit selepas pendedahan.
Tanda dan gejala alahan kacang tanah adalah seperti berikut:
- Gatal-gatal
- Kulit kemerahan
- Ruam kulit
- Gatal-gatak sekitar mulut atau tekak
- Cirit-birit
- Loya atau muntah
- Kekejangan perut
- Hidung berair
- Sesak nafas
- Berdehit
- Bengkak di bibir atau lidah
Tindak balas Anafilaksis
Alahan kacang tanah adalah penyebab paling biasa yang menyebabkan tindak balas alahan yang teruk, dikenali seabagai anafilaksis.
Anafilaksis memerlukan memerlukan rawatan kecemasan dengan suntikan epinefrin (adrenalin) (EpiPen, Auvi-Q) dan perjalanan ke unit kecemasan.
Antara gejala-gejala atau tanda anafilaksis adalah seperti berikut:
- Saluran udara tersekat
- Bengkak di tekak yang menyebabkan kesukaran bernafas
- Tekanan darah menurun
- Denyutan nadi laju
- Pening atau hilang kesedaran
Punca
Alahan kacang tanah berlaku apabila sistem imun badan tersilap mengenal pasti protein kacang tanah sebagai sesuatu yang berbahaya.
Sentuhan langsung atau tidak langsung dengan kacang tanah boleh menyebabkan sistem imun melepaskan bahan kimia (histamin) yang menyebabkan gejala-gejala alahan.
Alahan terhadap kacang tanah boleh berlaku melalui beberapa cara iaitu:
- Sentuhan langsung: Penyebab alahan yang paling biasa ialah memakan kacang tanah atau makanan yang mengandungi kacang. Kadangkala, sentuhan kulit secara langsung dengan kacang tanah boleh mencetuskan tindak balas alahan.
- Sentuhan silang: Ia biasanya hasil daripada makanan yang terdedah kepada kacang tanah semasa pemprosesan atau pengendalian.
- Penarikan nafas (penyedutan): Tindak balas alahan mungkin berlaku jika anda menyedut habuk atau aerosol yang mengandungi kacang tanah. Contohnya seperti tepung kacang tanah atau penyembur minyak kacang tanah.
Kacang tanah sering disalah anggap sebagai kacang walaupun ia adalah legum. Terdapat kemungkinan bahawa seseorang itu mempunyai alahan kacang tetapi tidak mempunyai alahan kacang tanah. Begitu juga sebaliknya.
Golongan Berisiko
Terdapat beberapa fakor risiko yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami alahan kacang tanah. Antaranya adalah:
- Usia: Kanak-kanak terutamanya bayi adalah golongan paling lazim mengalami alahan jenis ini.
- Pernah mengalami alahan terhadap kacang tanah: Sesetengah kanak-kanak yang mengalami alahan kacang tanah berjaya mengatasinya apabila meningkat dewasa. Walau bagaimanapun, ia mungkin berulang.
- Keturunan: Anda berisiko tinggi untuk mengalami alahan kacang tanah atau alahan lain sekiranya terdapat ahli keluarga lain yang turut mempunyai alahan sama.
- Mempunyai alahan lain: Sekiranya anda tersedia mempunyai alahan terhadap satu makanan, anda berisiko untuk turut menghadapi alahan terhadap makanan lain.
- Dermatitis atopi: Sesetengah orang yang menghidap penyakit kulit seperti dermatitis atopik (ekzema) juga boleh mempunyai alahan makanan.
Diagnosis
Doktor mungkin akan menjalankan ujian darah untuk mendiagnosis alahan kacang tanah.
Ujian darah yang dipanggil immunocap radioallergosorbent (RAST) memeriksa bilangan antibodi (sel tindak balas imun) dalam darah anda. Bilangan jenis antibodi tertentu yang lebih tinggi boleh menunjukkan alahan.
Doktor juga mungkin menggunakan ujian kulit untuk mengenal pasti atau mengasingkan pelbagai jenis alahan.
Anda atau anak anda juga mungkin diminta untuk melakukan cabaran makanan oral. Semasa cabaran makanan oral, anda makan sedikit, meningkatkan jumlah produk berasaskan kacang tanah di klinik atau hospital.
Doktor anda mempunyai ubat kecemasan dan peralatan di tangan sekiranya anda atau anak anda mengalami tindak balas alahan.
Rawatan
Mengelak daripada memakan kacang tanah atau produk yang mengandungi kacang tanah adalah kaedah terbaik untuk mengelakkan tindak balas alahan.
Selain itu, pastikan juga anda membaca dengan teliti label makanan atau produk makanan sebelum membelinya.
Elakkan produk yang mempunyai istilah “mungkin mengandungi kacang tanah” atau “dihasilkan di kilang yang turut memproses kacang tanah.”
Ubat-ubatan
Jika anda atau anak anda mempunyai alahan kacang tanah, doktor mungkin menetapkan ubat untuk mengurangkan gejala-gejala tindak balas alahan.
Antaranya adalah:
- Antihistamin: Ini adalah ubat-ubatan yang mengurangkan kesesakan atau kegatalan.
- Kortikosteroid: Ubat-ubatan ini mengurangkan bengkak jika anda tindak balas alahan.
- Epinefrin: Ini adalah ubat kecemasan yang menyelamatkan nyawa yang serta-merta menterbalikkan gejala-gejala anafilaksis.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Peanut allergy. MayoClinic
- Patel R, Koterba AP. Peanut Allergy. [Updated 2022 Jul 5]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI