Alahan kacang adalah antara alahan yang biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak. Sesetengah kanak-kanak akan beransur-ansur hilang alahannya apabila meningkat dewasa, manakala ada yang terus mengalami alahan sepanjang hidupnya.
Alahan kacang dalam konteks ini merujuk kepada alahan terhadap kacang yang berasal dari pokok seperti kacang badam, kacang walnut, kacang pekan, kacang hazel, kacang pistasio dan lain-lain.
Ramai yang beranggapan bahawa sesiapa yang mempunyai alahan kacang tanah (peanut) turut mempunyai alahan kacang. Namun, sebenarnya tanggapan ini kurang tepat.
Kacang tanah sebenarnya tidak dikategorikan sebagai kacang, kacang tanah adalah legum yang sama seperti kacang soya atau kacang mata hitam.
Dalam artikel ini, kita akan melihat tanda-tanda atau gejala, punca dan rawatan terhadap alahan kacang.
Tanda-tanda Awal atau Ringan Alahan Kacang
Dalam kebanyakan kes, reaksi alahan akan kelihatan jelas dalam beberapa minit selepas makan atau sentuhan dengan kacang.
Tanda-tanda tersebut adalah seperti:
- Gatal-gatal dan kemerahan
- Kulit berbintat
- Gatal dan rasa semut-semut sekitar mulut atau kerongkong
- Hidung berair
- Loya
- Sakit perut
- Mata berair
Sesetengah kes, tanda-tanda ringan ini hanyalah tindak balas permulaan. Tindak balas ini boleh menjadi lebih serius jika rawatan awal tidak dilakukan.
Tanda-tanda dan Gejala Alahan Kacang yang Lebih Serius
Terdapat juga tanda-tanda atau gejala tindak balas alahan yang lebih serius, jelas dan tidak menyenangkan.
Antaranya ialah:
- Bengkak bibir atau lidah
- Bengkak muka
- Sukar bernafas
- Nafas berbunyi atau berdehit (wheezing)
- Kejang perut
- Loya
- Muntah
- Cirit-birit
- Keresahan
Tindak Balas Alahan yang Boleh Membahayakan Nyawa
Terdapat juga kanak-kanak yang mendapat tindak balas alahan yang serius yang boleh membahayakan nyawa mereka. Tindak balas seperti ini dikenali sebagai anafilaksis.
Tanda-tanda anafilaksis adalah seperti berikut:
- Bengkak kerongkong (tekak menjadi sempit)
- Sukar bernafas
- Tekanan darah rendah
- Denyutan jantung pantas
- Keliru
- Pening kepala
- Tidak sedarkan diri
Tindak balas anafilaksis boleh menyebabkan koma dan kematian jika tidak diberikan rawatan kecemasan.
Punca
Seperti tindak balas alahan lain, alahan kacang berlaku akibat sistem imun bertindak balas terhadap protein dalam kacang seolah-olah ia adalah bahan berbahaya.
Para saintis tidak tahu dengan tepat mengapa sesetengah badan bertindak balas dengan cara ini terhadap protein kacang, tetapi kerana alahan makanan cenderung berlaku dalam keluarga, genetik mungkin menjadi faktor.
Individu yang mempunyai alahan lain, seperti rinitis alergi juga lebih cenderung untuk mengalami alahan kacang.
Bagaimana untuk Merawat Alahan yang Teruk atau Serius?
Sekiranya anak anda atau kanak-kanak mengalami tindak balas alahan melebihi dua sistem badan seperti sistem pernafasan dan sistem penghadaman atau anafilaksis, segera dapatkan rawatan di hospital kerana alahan ini boleh meragut nyawa.
Selain itu, sekiranya anda mengetahui anak anda mempunyai alahan kacang, rawatan awal seperti suntikan epinephrine dapat membantu.
Selepas itu, anak anda masih perlu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Bagaimana untuk Merawat Alahan Kacang yang Ringan?
Bagi tanda-tanda alahan ringan yang muncul selepas memakan kacang, langkah yang terbaik ialah dapatkan rawatan daripada doktor secepat mungkin.
Ubat seperti antihistamin, adrenalina dan steroid boleh membantu sekiranya alahan yang dialami tidak teruk.
Namun begitu, harus diingat bahawa tanda-tanda ringan ini boleh menjadi permulaan kepada tanda-tanda alahan yang teruk.
Langkah Pencegahan
Sekiranya anak anda atau anda didapati mempunyai alahan kacang, cuba elakkan dari semua makanan yang mengandungi kacang.
Contohnya seperti:
- Kek mengandungi kacang
- Coklat mengandungi kacang
- Kuih yang mengandungi kacang
- Sos
- Pencuci mulut
- Salad
- Sabun
- Losyen kulit
- Produk penjagaan rambut
Pastikan anda membaca label ramuan dengan teliti sebelum membelinya.
Rujukan
- Dresden, D. (2019). What to know about nut allergies. MedicalNewsToday.