Adakah anda mengalami simptom-simptom seperti sukar bernafas, batuk, berdehit atau sesak nafas? Simptom-simptom ini mungkin menunjukkan anda menghidap asma.
Simptom-simptom asma boleh berbeza-beza antara satu individu dengan individu yang lain dan ia juga boleh berlaku secara ringan hingga teruk.
Dalam artikel ini, kita membincangkan simptom-simptom asma pada orang dewasa, orang tua, kanak-kanak dan wanita hamil.
Simptom-simptom Asma bagi Orang Dewasa
Orang dewasa yang menghidap asma biasanya mengalami keadaan ini pada zaman kanak-kanak. Namun, bagi kes-kes tertentu ada juga yang mungkin memperolehnya semasa dewasa.
Dalam kes ini, doktor memanggilnya sebagai asma dewasa atau asma bermula dewasa.
Simptom-simptom utama asma bagi orang dewasa adalah seperti berikut:
- Sukar bernafas
- Batuk terutamanya pada waktu malam atau semasa ketawa
- Kesesakan dada
- Masalah tidur akibat masalah pernafasan
- Berdehit
Simptom-simptom ini selalunya menjadi lebih teruk apabila anda mengalami selesema atau jangkitan pernafasan lain.
Pencetus asma tertentu seperti bau yang kuat, hama habuk dan asap juga boleh memburukkan lagi masalah pernafasan.
Menyedari simptom-simptom asma adalah penting. Intervensi segera boleh mencegah serangan asma atau mengurangkan keterukannya.
Apa itu Serangan Asma?
Serangan asma berlaku apabila simptom-simptom asma menjadi lebih teruk untuk tempoh yang singkat.
Anda boleh mengalami serangan apabila saluran pernafasan anda menjadi lebih sempit daripada biasa kerana kehadiran keradangan dan mukus.
Serangan asma boleh menyebabkan:
- Pernafasan sangat laju
- Sukar bercakap
- Kebimbangan dan panik
- Kulit menjadi pucat
- Simptom-simptom menjadi semakin teruk
- Simptom-simptom tidak hilang selepas menggunakan alat sedut (inhaler)
Mujurlah, terdapat tanda-tanda amaran awal serangan asma yang boleh dikenalpasti seperti:
- Batuk atau berdehit selepas senaman
- Selesema atau simptom-simptom alahan seperti sakit kepala, hidung berair atau sakit tekak.
- Sukar untuk tidur
- Berasa beremosi atau kerengsaan
- Keletihan atau kelemahan semasa aktiviti fizikal
Serangan ringan sering bertindak balas dengan baik kepada rawatan di rumah, manakala serangan teruk memerlukan rawatan perubatan segera.
Intervensi perubatan untuk serangan teruk adalah perlu kerana kesukaran bernafas yang ditimbulkannya boleh mengancam nyawa.
Simptom-simptom Asma Bagi Orang Tua
Asma juga boleh berlaku kepada golongan tua yang berusia 65 tahun ke atas.
Simptom-simptom asma bagi golongan tua ini adalah sama seperti yang berlaku pada orang dewasa yang lebih muda, tetapi mereka mungkin mempunyai akibat yang lebih serius tanpa rawatan.
Malah episod simptom yang kelihatan ringan boleh menyebabkan kegagalan pernafasan terhadap orang yang lebih tua.
Diagnosis penyakit asma bagi orang tua lebih sukar kerana simptom-simptom mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain seperti:
- Bronkitis kronik
- Kegagalan jantung
- Penyakit jantung
- Emfisema
Simptom-simptom Asma Bagi Kanak-kanak
Kanak-kanak adalah golongan yang paling banyak menghidap asma. Kanak-kanak boleh mengalami simptom-simptom asma sebelum mereka berumur 6 tahun.
Mengenalpasti simptom-simptom bagi kanak-kanak kecil mungkin sukar. Sebagai contoh, berdehit adalah simptom yang paling lazim berlaku bagi kanak-kanak, namun tidak semua kanak-kanak yang menghidap asma, berdehit.
Sebaliknya, mereka mungkin mengalami batuk kronik atau masalah pernafasan yang dikaitkan oleh doktor dan ibu bapa kepada keadaan pernafasan biasa yang lain.
Tanda yang paling jelas menunjukkan seseorang kanak-kanak itu menghidap asma adalah mereka menunjukkan simptom-simptom pernafasan yang berulang-ulang.
Contohnya seperti:
- Batuk terutamanya pada waktu malam
- Berdehit semasa bernafas
- Sukar bernafas atau bernafas laju
- Kerap selesema
Simptom-simptom mungkin menjadi lebih teruk sebagai tindak balas kepada pencetus seperti habuk, asap dan bulu haiwan peliharaan.
Simptom-simptom Asma Semasa Kehamilan
Asma merupakan salah satu penyakit yang sering dihidapi oleh ibu hamil.
Sesetengah ibu hamil mengalami peningkatan atau keburukan simptom-simptom asma semasa kehamilan, manakala yang lain mengalami simptom untuk kali pertama.
Semasa hamil, adalah penting untuk anda berbincang dengan doktor untuk mengenalpasti, mengurus dan merawat simptom-simptom asma.
Tanpa rawatan, asma boleh meningkatkan risiko kepada:
- Kelahiran pramatang
- Janin terbantut
- Berat lahir rendah
- Preeklampsia
Simptom-simptom Asma yang Luar Biasa
Batuk, sesak nafas, dan berdehit adalah simptom-simptom asma yang paling biasa berlaku. Walau bagaimanapun, ia tidak berlaku pada semua orang dengan penyakit ini.
Sesetengah orang mungkin mengalami simptom-simptom yang luar biasa seperti:
- Batuk kronik tanpa berdehit
- Kepenatan yang teruk
- Kebimbangan atau keresahan
- Mengeluh
Rujukan
- de Nijs, S. B. et al. (2013). Adult-onset asthma: is it really different?. European respiratory review.
- Asthma and Allergy Foundation of America. Asthma in Older Adults.
- American College of Allergy, Asthma & Immunology. Asthma Symptoms.
- American College of Allergy, Asthma & Immunology. Pregnancy and Asthma.