Bagi anda atau anak anda yang mempunyai alahan (alergi) telur, anda harus berhati-hati dengan 3 vaksin ini iaitu vaksin influenza, rabies dan demam kuning.
Ketiga-tiga vaksin ini mengandungi sedikit protein telur kerana vaksin tersebut dikulturkan di dalam telur atau di dalam embrio anak ayam.
Walau bagaimanapun, setiap vaksin ini mempunyai paras atau jumlah protein telur yang berbeza-beza. Vaksin campak, beguk dan rubella (MMR) boleh dianggap tidak berisiko kepada penghidap alahan telur.
Meskipun vaksin ini dihasilkan di dalam sel-sel fibroblas ayam, vaksin tersebut tidak mengandungi kesan atau protein telur.
Berikut adalah perincian berkenaan vaksin yang mengandungi sedikit protein telur.
1. Vaksin Influenza
Influenza adalah penyakit bermusim yang berlaku pada musim sejuk di Hemisfera Utara dan Selatan. Di kawasan Tropika seperti Malaysia, influenza boleh berlaku pada bila-bila masa.
Virus influenza boleh menyebabkan gejala atau simptom-simptom seperti demam secara tiba-tiba, sakit tekak, batuk, berasa seram sejuk, keletihan dan sakit pada otot.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), kanak-kanak berumur 6 tahun ke atas disarankan untuk mengambil vaksin influenza setiap tahun. Kanak-kanak yang menghidap alahan telur perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang khusus.
Bagi mereka yang mempunyai alahan yang teruk, yang boleh mengancam nyawa tidak disarankan untuk mengambil vaksin ini.
Terdapat satu alternatif kepada vaksin influenza iaitu vaksin Flublok. Vaksin ini tidak menggunakan telur ayam dalam penghasilannya. Vaksin ini diluluskan kepada penggunaan individu yang berumur 18 tahun ke atas. [1]
Di Malaysia, vaksin influenza tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan. Tetapi, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil dos vaksin ini di hospital atau klinik swasta dan kerajaan (atas nasihat doktor).
Satu (1) dos untuk individu berusia lebih 9 tahun dan dua (2) dos sekurang-kurangnya 4 minggu selepas dos pertama untuk bayi berumur 6 bulan hingga 9 tahun. [2]
2. Vaksin Rabies
Rabies atau penyakit anjing gila adalah penyakit berjangkit yang tersebar melalui gigitan haiwan yang telah dijangkiti dengan virus tersebut. Apabila simptom telah muncul, penyakit ini boleh membawa maut.
Vaksin rabies adalah salah satu cara pencegahan. Biasanya, vaksin ini diberikan apabila seseorang itu terdedah kepada virus tersebut.
Walau bagaimanapun, terdapat banyak vaksin rabies yang dikulturkan di dalam embrio ayam dan dianggap tidak selamat bagi mereka yang mempunyai alahan telur yang teruk.
Mujurlah, terdapat terdapat satu vaksin rabies yang tidak dikulturkan di dalam embrio ayam iaitu vaksin Imovax Rabies. [3]
3. Vaksin Demam Kuning
Demam kuning ialah penyakit perdarahan akut yang disebarkan oleh nyamuk yang dijangkiti dengan virus Flavivirus.
Demam kuning boleh menyebabkan simptom-simptom seperti demam, sakit kepala, jaundis, sakit otot, loya, muntah-muntah dan kelesuan.
Penyakit ini mempunyai kadar kematian yang tinggi. Oleh itu, sebagai salah satu langkah pencegahan, seseorang yang ingin ke negara-negara seperti Afrika atau Amerika Tengah dan Selatan disarankan untuk mendapatkan vaksin.
Walau bagaimanapun, kesemua vaksin demam kuning dikulturkan di dalam telur. Mereka yang mempunyai tindak balas alahan yang teruk dinasihatkan untuk mengelak daripada mengambil vaksin ini.
Manakala, bagi mereka yang mempunyai alahan yang lebih ringan, melakukan ujian kulit menggunakan vaksin tersebut terlebih dahulu sebelum suntikan disarankan.
Rumusan
Terdapat 3 jenis vaksin yang berisiko kepada mereka yang mempunyai alahan telur. Vaksin-vaksin ini mengandungi alergen iaitu protein telur yang mungkin memberikan tindak balas terhadap mereka yang mempunyai alahan telur.
Bagi mereka yang mempunyai alahan telur yang teruk, golongan ini tidak disarankan untuk mendapatkan vaksin ini.
Manakala, bagi mereka yang mempunyai alahan telur yang lebih ringan, ujian kulit boleh membantu doktor atau ahli profesional kesihatan untuk melihat sama ada terdapat tindak balas atau tidak.
Mujurlah bagi vaksin Rabies dan vaksin Influenza, terdapat vaksin alternatif yang boleh digunakan oleh penghidap alahan telur. Vaksin-vaksin tersebut tidak dikulturkan di dalam telur ayam atau mengandungi protein telur.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. Recombinant Influenza (Flu) Vaccine.
- Norhayati Rusli. (2014). Influenza. MyHealth KKM.
- IMOVAX [package insert]. Swiftwater, PA: Sanofi Pasteur SA.