Apa itu Vaksin Influenza?
Vaksin influenza atau turut juga dikenali sebagai vaksin selesema adalah vaksin yang diberikan bertujuan untuk melindungi seseorang daripada virus influenza.
Virus influenza boleh menyebabkan epidemik bermusim atau pandemik secara tahunan kepada manusia.
Di Malaysia, vaksin influenza diberikan kepada sesiapa yang ingin mengurangkan risiko influenza atau kumpulan yang berisiko tinggi.
Apa itu Influenza?
Influenza atau selesema adalah jangkitan biasa terhadap saluran pernafasan seperti hidung, tekak dan paru-paru.
Kebanyakan orang mengalami selesema akan baik dengan sendirinya. Tetapi, kadangkala influenza boleh menyebabkan komplikasi yang serius dan boleh membawa maut.
Virus influenza dibahagikan kepada 3 jenis iaitu influenza A, influenza B dan influenza C.
Influenza A dan B boleh menyebabkan wabak secara bermusim yang boleh mengakibatkan kematian di seluruh dunia.
Virus influenza A akan menyebabkan epidemik dan pandemik kerana penyebarannya daripada burung, babi, kuda, dan manusia yang berhijrah.
Penularan boleh berlaku dari manusia kepada manusia daripada objek tercemar, batuk, dan bersin.
Virus influenza B hanya menyebabkan penyebaran manusia ke manusia. Manakala, influenza C adalah penyakit yang ringan.
Apakah Gejala-gejala Influenza?
Pada kebiasaannya, gejala-gejala influenza akan bermula satu atau dua hari selepas seseorang itu dijangkiti.
Antara gejala-gejala yang lazim berlaku adalah:
- Demam
- Selesema
- Sakit tekak
- Batuk
- Sakit kepala
- Sakit badan
- Sukar bernafas
- Cirit-birit dan sakit perut (terutamanya bagi kanak-kanak)
Siapakah yang Berisiko Tinggi Mendapat Influenza?
Beberapa golongan ini berisiko tinggi untuk mendapat influenza:
- Kanak-kanak berumur kurang daripada 5 tahun
- Wanita hamil
- Warga emas berumur 65 tahun ke atas
- Penghidap penyakit kronik
- Individu obes
- Individu yang mempunyai imun badan yang rendah
Mengapa Vaksin Influenza Perlu Diambil Secara Tahunan?
Vaksin influenza perlu diambil secara tahunan kerana formulasi vaksin ini perlu dikemaskini berdasarkan saranan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ini bertujuan bagi memastikan kandungannya sepadan dengan virus influenza yang diunjurkan menular pada setiap musim.
Struktur virus influenza berubah secara berterusan, maka vaksin juga perlu bersesuaian dengan perubahan tersebut.
Vaksin-vaksin Influenza yang Terdapat di Malaysia
Vaksin influenza di Malaysia terdiri daripada dua jenis yang utama iaitu berasaskan telur dan sel.
Antara contoh vaksin influenza berasaskan telur adalah:
- Influvac (inactivated): Abbott Laboratories (M) Sdn Bhd/Abbott Biologicals B.V., Netherlands
- Fluarix Tetra (inactivated): GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd/GlaxoSmithKline Biologicals, Germany
- Vaxigrip Tetra: Sanofi Aventis (M) Sdn Bhd/ Sanofi Pasteur inc., France
- FluQuadri Quadrivalent: Sanofi Aventis (M) Sdn Bhd/Sanofi Pasteur Inc., USA
Manakala, antara contoh vaksin influenza berasaskan sel adalah:
- SKYCellflu Quadrivalent: AJ Biologics (M) Sdn Bhd/SK Bioscience Co., South Korea
Keberkesanan Vaksin Influenza
Keberkesanan vaksin influenza boleh berbeza-beza.
Perlindungan yang diberikan oleh vaksin ini berbeza-beza dari musim ke musim dan bergantung sebahagiannya pada umur dan status kesihatan orang yang menerima vaksin.
Ia juga bergantung kepada persamaan atau “padanan” antara virus dalam vaksin dan yang dalam saluran darah.
Kajian pada tahun 2021 menunjukkan antara orang dewasa yang dimasukkan ke hospital akibat selesema, mereka yang sudah divaksin mempunyai 26% lebih rendah risiko kemasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan 31% lebih rendah risiko kematian akibat selesema. [1]
Kajian pada tahun 2017 pula menunjukkan bahawa vaksin influenza boleh mengurangkan risiko kemasukan ke hospital berkaitan dengan selesema dalam kalangan warga emas secara puratanya sebanyak 40%. [2]
Manakala, kajian pada tahun 2022 pula melaporkan bahawa vaksin influenza boleh mengurangkan risiko influenza yang mengancam nyawa kanak-kanak sebanyak 75%. [3]
Kesan Sampingan yang Boleh Berlaku
Umumnya, vaksinasi adalah tidak berbahaya. Kesan sampingan daripada ringan hingga serius mungkin berlaku dan berbeza-beza antara individu.
Biasanya, kesan sampingan yang berlaku adalah ringan.
Antara kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- Kesakitan atau bengkak pada tempat suntikan
- Sakit otot
- Sakit sendi
- Sakit kepala
- Demam panas (jarang berlaku)
- Darah beku (hematoma) pada tempat suntikan (jarang berlaku) – bagi pesakit yang mengambil ubat penipis darah
Siapa yang TIDAK Patut Menerima Vaksin Influenza?
Sesetengah orang mungkin tidak boleh atau tidak patut menerima vaksin influenza atas faktor-faktor tertentu yang boleh mendatangkan kemudaratan.
Antara golongan yang tidak patut menerima suntikan vaksin ini adalah:
- Kanak-kanak yang berusia di bawah 6 tahun.
- Individu yang mempunyai alahan yang teruk dan boleh mengancam nyawa terhadap sebarang bahan yang terdapat dalam vaksin seperti telur, gelatin, antibiotik dan lain-lain.
- Individu yang mengalami tindak balas alahan yang teruk terhadap dos vaksin influenza tidak seharusnya mendapatkan vaksin selesema itu lagi dan mungkin tidak boleh menerima vaksin influenza yang lain.
Rujukan
- Ferdinands, J. M. et al. (2021). Does influenza vaccination attenuate the severity of breakthrough infections? A narrative review and recommendations for further research. Vaccine.
- Rondy, M. et al. (2017). Effectiveness of influenza vaccines in preventing severe influenza illness among adults: A systematic review and meta-analysis of test-negative design case-control studies. The Journal of infection.
- Olson, S. M. et al. (2022). Vaccine Effectiveness Against Life-Threatening Influenza Illness in US Children. Clinical infectious diseases.