Telur ialah antara penyebab alahan yang paling biasa berlaku kepada bayi dan kanak-kanak. Alahan telur terjadi apabila badan bertindak balas terhadap telur sebagai bahan berbahaya.
Selepas alahan susu lembu, alahan telur ayam adalah kedua tertinggi atau paling lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan diikuti alahan kekacang.
Selain terjadi kepada bayi dan kanak-kanak, alahan ini juga turut boleh berlaku dalam kalangan orang dewasa. Walau bagaimanapun, ia sangatlah jarang berlaku.
Bagaimana alahan ini berlaku?
Alahan ini berlaku apabila sistem imun badan kanak-kanak tersilap menyerang sesetengah protein dalam telur yang dimakan oleh kanak-kanak ini. Hal ini kerana sistem imun badan menyangka protein-protein tersebut adalah berbahaya.
Apabila anak anda makan atau bersentuhan dengan protein telur ini, antibodi badan akan merangsang sistem imun badan untuk mengeluarkan bahan kimia seperti histamina atau bahan kimia lain yang menyebabkan wujudnya tanda-tanda alahan.
Alahan telur terbahagi kepada dua iaitu alahan yang berkaitan antibodi (IgE) atau alahan yang tidak berkaitan antibodi. [1]
Alahan telur dalam kalangan kanak-kanak kebiasaannya berlaku pada awal usia dengan reaksi alahan yang teruk boleh berlaku antara usia 6 hingga 15 bulan.
Tanda-tanda dan Gejala Alahan Telur
Tanda-tanda alahan telur adalah hampir sama dengan alahan-alahan lain. Tanda alahan biasanya dialami sejurus terdedah kepada telur atau dalam jangka masa kurang daripada sehari. Tindak balas yang berlaku mungkin berbeza-beza antara individu yang berbeza-beza.
Tanda-tanda ini termasuklah:
- Gatal-gatal, radang kulit (ekzema)
- Sakit perut
- Loya dan muntah
- Cirit-birit
- Hidung berair
- Saluran pernafasan tersumbat
- Bersin
- Mata berair, bengkak kelopak mata
- Nafas termengah-mengah
- Mulut gatal, bengkak bibir
- Tekak perit
Bagi tindak balas alahan yang teruk, ia dikenali sebagai anafilaksis. Gejala atau tanda-tanda anafilaksis ialah:
- Penyempitan saluran pernafasan termasuklah bengkak di kerongkong atau tumbuh ketulan di kerongkong yang menyebabkan sukar bernafas
- Muka menjadi merah
- Mata, mulut, lidah dan bibir menjadi bengkak
- Tekak berasa perit
- Susah bernafas, nafas berbunyi (wheezing)
- Loya dan muntah
- Sakit perut atau kejang di perut
- Pening dengan penurunan tekanan darah
- Denyutan nadi atau jantung menjadi laju
Punca Alahan Telur
Punca alahan telur adalah akibat tindak balas sistem imun yang menganggap protein telur adalah berbahaya.
Putih dan kuning telur kedua-duanya mempunyai protein yang menyebabkan alahan. Tetapi alahan terhadap putih telur adalah lebih lazim berlaku.
Alahan telur ini juga boleh berlaku dalam kalangan bayi yang menyusu susu ibu kerana susu ibu boleh mengandungi protein telur jika ibu tersebut makan telur.
Selain itu, terdapat juga beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko terjadinya alahan ini.
- Usia. Alahan telur lebih lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Alahan ini mungkin akan berkurangan apabila kanak-kanak ini membesar dan sistem penghadaman mereka telah matang.
- Keturunan. Anak-anak mungkin berisiko tinggi untuk menghidap alahan ini jika salah seorang atau kedua-dua ibu bapa menghidap asma, alahan makanan atau alahan-alahan yang lain.
- Dermatitis atopik. Kanak-kanak yang menghidap masalah kulit seperti ini berisiko tinggi untuk terkena alahan makanan seperti alahan telur berbanding mereka yang tidak menghidap masalah kulit. [2]
Bagaimana Alahan Telur Dikenalpasti?
Diagnosa dilakukan oleh doktor akan mengambil kira sejarah perubatan kanak-kanak tersebut serta tanda-tanda yang berlaku.
Beberapa ujian yang mungkin akan disarankan oleh doktor adalah:
- Ujian alahan kulit
- Ujian darah
- Cabaran makanan iaitu ujian yang melibatkan pemberian sedikit telur untuk melihat tindak balas yang berlaku.
- RAST (Radio Allergosorbent Test)
Rawatan Alahan Telur
Satu-satunya cara untuk mencegah daripada berlakunya alahan telur adalah mengelak daripada makan telur atau produk yang dihasilkan daripada telur.
Rawatan alahan biasa
Bagi tindak balas alahan telur yang biasa, dapatkan rawatan segera daripada doktor apabila anak anda menunjukkan simptom-simptom alahan ini.
Selain itu, ubat yang boleh digunakan untuk merawat alahan ini ialah antihistamines, adrenaline dan steroid.
Walau bagaimanapun, dapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengambil ubat-ubatan ini.
Rawatan anafilaksis
Anafilaksis adalah suatu keadaan kecemasan kerana ia boleh mengancam nyawa. Segera bawa anak anda ke klinik atau hospital.
Sekiranya anda mempunyai ubat EpiPen (pen suntikan yang diisi dengan epinefrin atau adrenalina), ambil serta-merta. Kemudian, bawa anak anda ke klinik dan hospital untuk rawatan lanjut.
Rawatan menggunakan adrenalina, antihistamin, kortison dan kadang kala betamimetics boleh digunakan untuk mencegah anafilaksis yang berlaku akibat alahan terhadap vaksin influenza yang mengandungi protein telur. [3]
Langkah-langkah Pencegahan
Sekiranya anak anda mempunyai alahan telur, maka elakkan daripada memakan telur atau sebarang produk makanan yang mengandungi telur.
Ibu bapa juga harus membaca label-label makanan dengan teliti sebelum membenarkan anak mereka yang mempunyai alahan mengambil makanan tersebut.
Sebarang makanan yang mengandungi perkataan emulsifier, binder, coagulant atau bahan yang bermula dengan ova– mengandungi telur.
Selain itu,bahan-bahan lain yang mengandungi telur adalah seperti berikut:
- albumin (protein telur)
- perasa semulajadi atau tiruan
- pengganti telur
- globulin
- lecithin E322
- livetin
- lysozyme
- mayonis
- meringue
- silici albuminate
- simplesse
- vitellin
- Wafel
- Puding atau aiskrim
- Marshmallow
Produk yang tidak boleh dimakan yang mungkin mengandungi telur termasuklah:
- Pewarna kuku
- Syampu
- Sesetengah ubat,
- Bahan solek
- Vaksin influenza
- Vaksin demam kuning
- Produk farmaseutikal yang mengandungi propofol, intralipid dan lisozim.
Alternatif Kepada Telur
Sekiranya anak anda terpaksa mengelak telur sepenuhnya, terdapat beberapa alternatif yang boleh menggantikan telur.
1. Tauhu
Tauhu turut tinggi dengan protein yang dihasilkan daripada kacang soya. Tauhu boleh mengantikan telur.
2. Puri buah
Puri buah seperti buah pisang boleh menggantikan telur dalam pembuatan kek.
3. Biji chia
Biji chia atau chia seed yang dicampurkan air boleh digunakan untuk mengganti telur dalam pembuatan kek.
4. Pengganti telur
Pengganti telur boleh didapati di pasaran yang dihasilkan daripada kanji ubi kentang, ubi kayu dan soda penaik (baking soda).
Pengganti telur ini boleh digunakan untuk menggantikan telur dalam resepi-resepi yang memerlukan telur terutamanya dalam pembuatan kek.
Anda juga boleh membuat sendiri pengganti telur ini. Contohnya, bagi setiap biji telur boleh digantikan dengan:
- 1 sudu besar air
- 1 sudu besar minyak
- 1 sudu besar serbuk penaik (baking powder)
Rumusan
Alahan telur adalah salah satu alahan makanan yang lazimnya terjadi kepada kanak-kanak. Biasanya, alahan ini tidak berbahaya sehingga boleh mengancam nyawa.
Walau bagaimanapun, terdapat juga kes-kes terpencil yang melaporkan kematian dan kes teruk akibat alahan makanan terutamanya bagi kanak-kanak yang menghidap asma (lelah).[4]
Telur yang mentah atau tidak masak sepenuhnya mungkin menyebabkan tindak balas yang lebih serius berbanding telur yang dimasak sepenuhnya.
Selain itu, ibu bapa atau penjaga harus sentiasa peka akan produk-produk yang mungkin mengandungi protein telur melalui pembacaan label ramuan (bahan) di bungkusan produk yang ingin dimakan.
Sekiranya anak anda harus menghindari telur sepenuhnya, terdapat juga alternatif kepada telur yang boleh digunakan dalam masakan.
Rujukan
- Caubet, J. C., & Wang, J. (2011). Current understanding of egg allergy. Pediatric clinics of North America.
- Lever, R., et al. (1998). Randomised controlled trial of advice on an egg exclusion diet in young children with atopic eczema and sensitivity to eggs. Pediatric allergy and immunology.
- Klimek, L., et al. (2017). [Anaphylactic reactions to vaccines : Chicken egg allergy and the influenza H1N1 vaccination]. HNO.
- Macdougall, C. F., et al. (2002). How dangerous is food allergy in childhood? The incidence of severe and fatal allergic reactions across the UK and Ireland. Archives of disease in childhood.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Egg allergy. Mayo Clinic [diakses pada 30 November 2020].
- Michael Kerr. (2017). Egg Allergies. Healthline [diakses pada 30 November 2020].
- Jennifer Berry. (2020). What to know about egg intolerance. MedicalNewsToday [diakses pada 30 November 2020].