Penyakit anjing gila atau rabies adalah penyakit yang disebabkan oleh virus yang berbahaya yang boleh menjangkiti manusia melalui air liur haiwan yang dijangkiti. Virus ini lazimnya berjangkit melalui gigitan.
Penyakit anjing gila bagi negara-negara membangun selalunya disebabkan oleh gigitan anjing terutamanya anjing liar. Kebanyakan kematian di seluruh dunia juga disebabkan oleh gigitan anjing.
Virus penyakit ini menjangkiti sistem saraf pusat. Sekiranya seseorang yang dijangkiti tidak mendapatkan rawatan sewajarnya, individu tersebut boleh meninggal dunia akibat daripada keradangan di dalam otak.
Penyakit anjing gila atau rabies boleh dicegah dengan memberikan vaksin kepada haiwan peliharaan, menjauhi haiwan liar atau mendapatkan rawatan segera apabila dijangkiti.
Gejala-gejala atau Tanda
Gejala-gejala atau tanda penyakit anjing gila boleh menjadi sangat mirip dengan demam selesema dan boleh berpanjangan sehingga beberapa hari.
Kemudian, beberapa gejala-gejala berikut mungkin berlaku:
- Demam
- Sakit kepala
- Loya atau mual
- Muntah-muntah
- Keresahan (anxiety)
- Agitasi
- Kekeliruan
- Hiperaktif
- Sukar untuk menelan
- Air liur meleleh atau berlebihan
- Halusinasi
- Insomnia
- Takut kepada air (hidrofobia)
- Takut kepada cahaya (fotofobia)
- Ereksi berterusan (lelaki)
Selepas mengalami beberapa gejala atau simptom di atas, individu yang dijangkiti boleh jatuh koma dan meninggalkan dunia.
Punca
Penyakit anjing gila atau rabies ini berpunca daripada virus yang dikenali sebagai “Lyssavirus“. Virus ini tersebar melalui air liur haiwan yang telah dijangkiti. Haiwan yang telah dijangkiti ini boleh menyebarkan virus ini melalui gigitan terhadap haiwan lain atau manusia.
Selain itu, jangkitan juga boleh berlaku walaupun ia amat jarang melalui luka terbuka, calar atau kulit yang melecet.
Walaupun ia dipanggil penyakit anjing gila, terdapat juga beberapa haiwan lain yang boleh menyebarkan penyakit ini. Contohnya seperti:
- Kucing
- Lembu
- Kambing
- Kuda
- Arnab
- Feret
- Kelawar
- Koyote
- Monyet
- Beaver
- Rakun
- Skunk
- Tikus belanda
Jangkitan daripada manusia kepada manusia melalui gigitan atau air liur secara teorinya boleh berlaku namun tidak pernah disahkan.
Rawatan Penyakit Anjing Gila
Sekiranya anda atau orang yang terdekat dengan anda digigit, dicakar atau dijilat pada luka terbuka oleh haiwan yang mungkin mempunyai penyakit ini, individu tersebut harus membasuh tempat gigitan, cakaran atau luka selama 15 minit dengan air bersabun, detergen atau iodin povidon.
Tindakan ini boleh mengurangkan jumlah partikel virus. Kemudian, sila dapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Selepas terdedah kepada jangkitan dan gejala belum bermula, beberapa suntikan boleh merawat potensi jangkitan penyakit rabies ini.
Suntikan rabies termasuklah:
- Vaksin rabies
- Suntikan RIG (rabies immunoglobulin)
Walau bagaimanapun, apabila gejala atau simptom sudah mula berlaku, harapan untuk selamat adalah tipis. Kebanyakan kes jangkitan rabies ini akan menyebabkan kematian apabila simptom-simptom telah terbentuk.
Langkah-langkah Pencegahan
Penyakit anjing gila adalah penyakit yang serius dan boleh membawa maut. Beberapa langkah pencegahan boleh diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Antaranya adalah:
- Memvaksin haiwan peliharaan seperti kucing, anjing, tikus belanda, arnab atau feret.
- Mengawal aktiviti haiwan peliharaan di luar bagi menggelakkan mereka bersentuhan dengan haiwan liar.
- Memelihara haiwan peliharaan yang kecil di dalam sangkar bagi menggelakkan mereka menjadi mangsa haiwan liar.
- Laporkan haiwan liar seperti kucing atau anjing jalanan kepada pihak berkuasa tempatan.
- Jangan mendekati haiwan liar. Haiwan liar yang menghidap rabies kelihatan tidak takut kepada manusia.
- Tutup bahagian berlubang atau ruang pada bahagian atap rumah bagi menggelakkan kelawar bersarang atau memasuki rumah anda.
- Mempertimbangkan untuk mengambil suntikan vaksin rabies sekiranya anda sering berurusan dengan haiwan yang menghidap penyakit ini.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sila dapatkan rawatan perubatan dengan segera sekiranya anda digigit oleh haiwan atau terdedah kepada haiwan yang dikhuatiri mempunyai penyakit rabies.
Walaupun anda tidak pasti sama ada haiwan tersebut mempunyai penyakit rabies ini atau tidak, anggaplah haiwan tersebut telah dijangkiti dan dapatkan rawatan segera.
Selain itu, anda juga boleh mengetahui bahawa kawasan anda berisiko tinggi melalui hebahan media atau kenyataan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Rabies. Mayo Clinic
- Lackay, S. N. et al. (2008). Rabies in small animals. The Veterinary clinics of North America. Small animal practice.
- WHO. (2021). Rabies. World Health Organization.