Penyakit Alzheimer adalah salah satu penyakit yang paling banyak menjejaskan golongan berusia di seluruh dunia. Terdapat tanda-tanda amaran yang boleh membantu anda mengenali penyakit Alzheimer ini.
Artikel ini menyenaraikan 10 tanda amaran penyakit Alzheimer yang boleh membantu anda menyedari akan berlakunya penyakit ini.
Sesetengah orang menyedari perubahan dalam diri mereka sebelum orang lain menyedarinya. Bagi orang lain, rakan dan keluarga adalah orang yang pertama yang melihat perubahan dalam ingatan, tingkah laku atau kebolehan mereka.
Ingatan sering berubah apabila seseorang itu semakin tua. Apabila usia semakin meningkat, otak kita berubah.
Tetapi penyakit Alzheimer bukanlah bahagian penuaan yang tidak dapat dielakkan. Ia boleh dicegah atau ditangguhkan.
Sesiapa yang mempunyai satu atau lebih daripada 10 tanda amaran ini harus berjumpa doktor untuk mencari puncanya. Diagnosis awal memberi anda peluang untuk mendapatkan rawatan dan merancang untuk masa hadapan.
Berikut adalah 10 tanda amaran penyakit Alzheimer yang perlu anda berikan perhatian:
1. Hilang Ingatan
Hilang ingatan yang mengganggu kehidupan harian adalah bukan daripada proses penuaan yang normal.
Melupai sesuatu peristiwa, mengulangi diri sendiri atau bergantung pada lebih banyak bantuan untuk membantu anda mengingati (seperti nota atau peringatan) adalah tanda-tanda kepada penyakit Alzheimer.
Bagi pesakit Alzheimer, masalah hilang ingatan ini akan semakin teruk yang boleh menjejaskan kehidupan harian.
2. Sukar Merancang atau Menyelesaikan Masalah
Pesakit Alzheimer juga akan menunjukkan tanda-tanda seperti sukar atau mempunyai masalah untuk menguruskan wang, membayar bil atau memasak resepi yang telah biasa dilakukan sejak bertahun lamanya.
Selain itu, pesakit Alzheimer juga akan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti rutin yang memerlukan langkah berturut-turut seperti merancang masakan harian atau bermain permainan yang disukai.
3. Sukar untuk Menyempurnakan Aktiviti Harian
Pesakit Alzheimer juga akan menunjukkan tanda-tanda kesukaran untuk menyempurnakan aktiviti harian seperti memasak, memandu kenderaan, menggunakan telefon bimbit dan membeli-belah.
Penghidap Alzheimer pada peringkat yang sudah teruk selalunya akan lupa cara untuk melakukan tugasan asas seperti mandi dan memakai baju.
4. Kekeliruan Masa dan Tempat
Pesakit Alzheimer juga akan mengalami masalah berkaitan masa dan tempat.
Mereka akan mengalami kesukaran untuk memahami peristiwa yang akan berlaku kemudian atau lupa akan tarikh.
Kadang-kadang mereka juga mungkin lupa di mana mereka berada atau bagaimana mereka sampai ke sana.
5. Mengalami Kesukaran Memahami Imej dan Hubungan Ruang
Bagi sesetengah orang, mereka mungkin akan mengalami kesukaran untuk memahami imej atau mengalami masalah penglihatan.
Keadaan ini akan menyebabkan mereka mengalami kesukaran dengan keseimbangan, sukar untuk membaca atau menganggarkan jarak.
Akibatnya, mereka akan sering terpijak sesuatu di rumah, menumpah atau menjatuhkan sesuatu, mengalami kesukaran menentukan warna yang seterusnya menyebabkan masalah semasa pemanduan.
6. Mengalami Masalah dengan Perkataan Semasa Bercakap atau Menulis
Penghidap Alzheimer juga mungkin akan mengalami masalah mengikuti atau menyertai perbualan.
Mereka mungkin berhenti di tengah-tengah perbualan dan tidak tahu bagaimana untuk meneruskan atau mereka mungkin mengulangi diri mereka sendiri.
Mereka mungkin bergelut dengan perbendaharaan kata, menghadapi masalah menamakan objek biasa atau menggunakan nama yang salah.
7. Pertimbangan yang Tidak Baik atau Berkurang
Penghidap Alzheimer juga mungkin mengalami perubahan terhadap pertimbangan atau membuat keputusan.
Mereka terdedah kepada penipuan, sukar menguruskan wang dengan baik, tidak menjaga kebersihan diri atau mengalami kesukaran menjaga haiwan peliharaan.
8. Tersalah Letak Barang dan Hilang Keupayaan untuk Menjejaknya Kembali
Tanda amaran penyakit Alzheimer yang seterusnya adalah sering kali tersalah meletakkan barang atau meletakkan barang bukan ditempatnya.
Mereka mungkin kehilangan sesuatu dan tidak dapat menjejak untuk mencarinya semula. Mereka mungkin akan menuduh orang lain mencuri, terutamanya apabila penyakit ini semakin teruk.
Contohnya seperti meletakkan kunci kereta di dalam mesin basuh.
9. Penarikan Diri Daripada Kerja atau Aktiviti Sosial
Penghidap Alzheimer juga akan menunjukkan tanda-tanda penarikan diri daripada kerja dan aktiviti sosial.
Oleh sebab mereka mempunyai kesukaran dalam menyertai atau mengikuti perbualan. Akibatnya, mereka boleh menarik diri daripada hobi, aktiviti sosial atau penglibatan lain yang biasa dilakukan.
Mereka mungkin menghadapi masalah untuk mengikuti pasukan atau aktiviti kegemaran.
10. Perubahan Mood dan Personaliti
Penghidap Alzheimer juga mungkin mengalami perubahan mood dan personaliti. Mereka boleh menjadi keliru, curiga, tertekan, takut atau cemas.
Mereka mungkin mudah marah di rumah, bersama rakan atau apabila berada di luar zon selesa mereka.
Mereka juga mungkin turut mengalami perubahan lain seperti:
- Kemurungan
- Perubahan emosi (mood swing)
- Perubahan dalam tabiat tidur
- Tidak percayakan orang lain
- Sikap tidak peduli
- Delusi (pada peringkat penyakit Alzheimer yang teruk)
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. 10 Warning Signs of Alzheimer’s