Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan media hari ini ingin menggesa orang ramai untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual:
Bil. | Nama Produk | Racun Berjadual yang Dikesan |
---|---|---|
1. | Flashhskinzz Moist Sunscreen | Merkuri |
2. | Serene Treatment Cream | Merkuri |
3. | Tempias Hawa Master Recovery Skin Rskin | Merkuri |
4. | Karisma Preventing Day Cream | Merkuri |
5. | SL Two Kunyit | Merkuri dan Betamethasone 17-Valerate |
6. | SL Two Sarang Burung | Hidrokuinon, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate |
Susulan daripada penemuan ini, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Kesan Racun Berjadual Terhadap Pengguna
Merkuri
Merkuri adalah bahan yang dilarang digunakan dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.
Merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
Selain itu, merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Hidrokuinon
Hidrokuinon boleh menyebabkan perkara-perkara berikut:
- Kemerahan pada kulit
- Ketidakselesaan
- Perubahan warna kulit yang tidak diingini
- Kulit menjadi hipersensitif
- Boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV yang berbahaya
- Boleh meningkatkan risiko kanser kulit
Tretinoin
Tretinoin boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Betamethasone 17-Valerate
Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan gejala-gejala seperti berikut:
- Bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi
- Berjerawat
- Perubahan pada pigmentasi kulit
- Meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
Produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk Kosmetik Ini
Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Nasihat Kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.