Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan akhbar hari ini (4 Julai 2022) menggesa orang ramai untuk mengelak membeli atau menggunakan produk-produk berikut yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Produk-produk yang terlibat adalah seperti berikut:
No. | Nama Produk | Racun Berjadual Yang Dikesan |
---|---|---|
1. | BL Skincare Day Cream 1 | Hidrokuinon dan tretinoin |
2. | BL Skincare Day Cream 2 | Merkuri |
3. | BL Skincare Night Cream | Merkuri |
4. | Biela Beauty Glowing Night Cream | Merkuri |
Untuk makluman pengguna juga, notifikasi produk-produk kosmetik yang disenaraikan ini juga telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM. Sehubungan dengan itu, produk ini tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.


Makluman Perihal Racun Berjadual
Produk yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Penggunaan bahan-bahan ini tanpa penyeliaan atau pengawasan oleh ahli profesional kesihatan boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini seperti:
- Kemerahan pada kulit
- Kulit menjadi hipersensitif
- Menghalang proses pigmentasi (depigmentasi)
- Mengurangkan perlindungan kulit daripada sinaran UV yang berbahaya
- Perubahan warna kulit yang tidak diingini
- Risiko kepada kanser kulit
- Kulit pedih dan mengelupas
Merkuri pula dilarang dalam produk kosmetik kerana berbahaya dan memudaratkan kesihatan. Merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan melalui kulit. Ia boleh mengakibatkan:
- Kerosakan buah pinggang
- Kerosakan sistem saraf
- Mengganggu perkembangan otak kanak-kanak
- Mengganggu perkembangan otak bayi dalam kandungan
- Menyebabkan ruam dan iritasi kulit
- Masalah memori (ingatan)
- Perubahan penglihatan dan pendengaran
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk Kosmetik Ini
Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Nasihat Kepada Orang Ramai
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.