Orang ramai digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik jenama Puteri Ratu dan Flashh Skinzz berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual.
- Puteri Ratu Treatment Cream – mengandungi merkuri
- Flashh Treatment Cream – mengandungi merkuri
- Flashh Night Cream – mengandungi hydroquinone
Notifikasi produk-produk kosmetik yang terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Bahaya Racun Berjadual Kepada Kesihatan
Merkuri
Merkuri adalah bahan yang dilarang untuk digunakan dalam produk kosmetik.
Merkuri boleh mendatangkan pelbagai mudarat kepada kesihatan. Merkuri ini boleh meresap masuk ke dalam badan dan merosakkan buah pinggang dan sistem saraf.
Merkuri ini bukan sahaja berbahaya kepada penggunanya tetapi turut berbahaya kepada orang sekeliling atau orang yang terdekat dengan pengguna produk yang mengandungi merkuri ini.
Wanita mengandung, bayi baru lahir atau kanak-kanak adalah golongan yang paling berisiko mengalami ketoksikan merkuri. Merkuri boleh membahayakan perkembangan otak dan sistem saraf bayi.
Sekiranya ibu yang menyusukan anak menggunakan produk mengandungi merkuri ini, bahan ini boleh disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.
Merkuri juga boleh menyebabkan iritasi, ruam atau perubahan pada kulit.
Hidrokuinon
Hidrokuinon ialah agen pemutih kulit yang asalnya digunakan untuk melentur kulit bagi merawat mereka yang mengalami masalah hiperpigmentasi.
Namun begitu, bahan ini boleh mendatangkan kesan sampingan terutamanya kepada mereka yang memiliki kulit kering dan sensitif. Oleh itu, penggunaannya haruslah dibawah pemantauan ahli profesional kesihatan.
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku adalah:
- kemerahan pada kulit
- ketidakselesaan
- perubahan warna kulit
- kulit menjadi terlebih sensitif
- boleh menghalang proses pigmentasi yang seterusnya mendedahkan kulit kepada sinaran UV yang berbahaya. Kesannya boleh menyebabkan kanser kulit
Dalam kes-kes tertentu, hidrokuinon boleh menyebabkan okronosis eksogen iaitu penyakit kulit yang menyebabkan pengumpulan pigmen kebiruaan pada wajah akibat penggunaan produk kosmetik yang mengandungi bahan ini pada jangka masa yang lama.
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk
Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Jika sabit kesalahan individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau oenajra tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan senda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Peringatan Kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik Puteri Ratu dan Flashh Skinzz ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.
Anda juga boleh menyemak status notifikasi sesuatu produk di laman sesawang rasmi NPRA (www.npra.gov.my) atau aplikasi “NRPA Product Status” di Google Play Store.