Mungkin ramai yang menganggap bahawa sakit dada sebelah kiri menunjukkan sakit jantung atau serangan jantung. Walaupun ia betul, namun tidak semua sakit dada sebelah kiri disebabkan oleh masalah jantung.
Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan sakit dada sebelah kiri dan artikel ini menyenaraikan 15 punca yang boleh menyebabkan sakit dada sebelah kiri.
Sakit dada juga boleh merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain seperti lengan, leher atau rahang.
Sakit dada boleh berasa seperti tajam mencucuk atau tumpul. Anda mungkin berasa perit, ketat di dada atau anda berasa dada anda seperti ditekan atau dihancurkan.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berikut adalah punca-punca yang menyebabkan sakit dada sebelah kiri dan simptom-simptom (gejala-gejala) lain yang berkaitan dengannya.
Punca yang Menyebabkan Sakit Dada Sebelah Kiri
Terdapat banyak keadaan yang boleh menyebabkan sakit dada sebelah kiri, ada yang tidak berbahaya dan ada yang boleh mengancam nyawa.
Sekiranya anda tidak pasti akan punca yang menyebabkan sakit dada anda, sila dapatkan rawatan dengan segera.
Berikut adalah punca-punca yang lazimnya menyebabkan sakit dada sebelah kiri:
1. Perikarditis
Perikarditis ialah keadaan yang berpunca daripada keradangan dalam perikardium iaitu tisu yang memegang jantung.
Biasanya, lapisan-lapisan tisu tersebut meluncur antara satu sama lain dengan mudah, membolehkan jantung berdegup.
Walau bagaimanapun, jika lapisan tersebut mengalami keradangan, seseorang mungkin mengalami sakit dada sebelah kiri.
Antara simptom-simptom lain yang boleh berlaku adalah:
- Kelesuan
- Batuk
- Kaki bengkak
- Berdebar-debar
- Demam tahap rendah
- Sakit dada yang tajam yang makin teruk apabila menyedut nafas
- Sesak nafas
2. Angina
Angina adalah sejenis sakit dada yang berlaku apabila jantung tidak mendapat darah yang kaya oksigen yang mencukupi. Angina selalunya menjadi simptom kepada penyakit jantung koronari.
Ia sering menjadi lebih teruk semasa melakukan kerja dan bertambah baik apabila anda berehat. Angina juga boleh menyebabkan anda berasa sama seperti ketidakhadaman.
Antara simptom-simptom lain yang turut berlaku adalah:
- Rasa berat pada dada
- Rasa tidak selesa pada dada
- Ketidakselesaan pada bahu, lengan, rahang, leher dan belakang
- Rasa seperti tekanan dan mampatan pada dada
Adalah penting untuk keadaan ini didiagnosis dengan betul dan dirawat.
3. Refluks Asid dan GERD
Refluks asid dan penyakit refluks gastroesofagus (GERD) adalah antara penyebab yang lazim menyebabkan sakit dada sebelah kiri.
Keadaan ini berlaku apabila asid daripada perut naik ke esofagus (saluran makanan). Ia menyebabkan sensasi terbakar yang berlaku pada sebelah dada.
Simptom-simptom lain adalah:
- Sukar untuk menelan
- Rasa masam pada mulut
4. Serangan Jantung
Serangan jantung berlaku apabila otot jantung rosak akibat tidak mendapat darah yang kaya dengan oksigen yang mencukupi.
Sesetengah serangan jantung bermula dengan sakit dada ringan yang terbentuk perlahan-lahan. Serangan jantung juga boleh berlaku dengan tiba-tiba, dengan rasa sakit yang teruk di sebelah kiri atau tengah dada anda.
Simptom-simptom lain yang boleh turut berlaku adalah:
- Sesak nafas
- Rasa sesak, mampatan atau tekanan pada dada
- Sakit yang teruk dan tiba-tiba di leher, rahang, belakang atau perut
- Sakit di lengan kiri (boleh juga berlaku di lengan kanan)
- Loya atau muntah
- Pedih hulu hati
- Pening
- Kelemahan
Sekiranya anda atau orang terdekat dengan anda mengalami simptom-simptom ini, sila dapatkan rawatan segera.
5. Miokarditis
Miokarditis ialah keradangan pada otot jantung. Ia boleh melemahkan otot jantung anda, menjadikannya lebih sukar untuk jantung anda mengepam.
Selain sakit dada, miokarditis juga boleh menyebabkan simptom-simptom berikut:
- Sesak nafas
- Keletihan
- Demam
- Berdebar-debar
- Sakit di perut
- Ritma jantung tidak normal
- Pening
- Hilang selera makan
- Pitam
- Bengkak kaki
- Tidak dapat bersenam
Kes ringan kadangkala bertambah baik tanpa rawatan, tetapi kes yang teruk mungkin memerlukan rawatan.
6. Kardiomiopati
Kardiomiopati ialah penyakit otot jantung atau pembesaran jantung.Penyakit ini menyebabkan jantung mengalami kesukaran untuk mengepam darah ke seluruh badan. Kardiomiopati boleh membawa kepada kegagalan jantung.
Pada peringkat awal, penyakit ini mungkin tidak menyebabkan simptom. Tetapi, apabila semakin teruk, ia boleh menyebabkan sakit dada dan simptom-simptom lain seperti:
- Bengkak di kaki dan buku lali
- Sesak nafas semasa melakukan aktiviti atau berehat
- Kembung perut
- Batuk ketika berbaring
- Kelesuan
- Sukar berbaring untuk tidur
- Pening dan pitam
- Denyutan jantung yang laju atau berdebar-debar
7. Serangan Panik
Serangan panik datang secara tiba-tiba dan cenderung memuncak dalam masa 10 minit. Disebabkan sakit dada, sesak dada, dan gejala lain, serangan panik boleh menyerupai serangan jantung.
Selain sakit dada, beberapa gejala lain ialah:
- Sesak nafas
- Denyutan jantung laju
- Pening atau mengigil
- Berpeluh
- Loya
- Ketakutan yang kuat atau rasa azab
- Rasa seolah-olah seperti tercekik
8. Koyakan Esofagus
Koyakan atau pecah esofagus ialah kecemasan yang boleh menyebabkan sakit dada bukan disebabkan jantung.
Keadaan ini berlaku apabila tiub yang menghubungkan mulut ke perut koyak. Ini menyebabkan makanan atau cecair dari mulut bocor ke dalam dada dan sekitar paru-paru.
Selain sakit dada, simptom-simptomlain yang boleh berlaku adalah:
- Demam
- Loya
- Muntah termasuklah muntah darah
- Bernafas dengan laju
9. Pneumonia
Pneumonia atau radang paru-paru boleh menyebabkan sakit dada yang mencucuk dan tajam. Sakit tersebut akan menjadi lebih teruk ketika anda batuk atau menarik nafas yang dalam.
Simptom-simptom lain yang melibatkan pneumonia adalah:
- Batuk
- Demam
- Mengigil
- Sesak nafas
- Sakit kepala
- Hilang selera makan
- Kelesuan
10. Pneumotoraks
Pneumotoraks adalah pengecutan paru-paru. Pneumotoraks berlaku disebabkan terdapatnya kebocoran di antara rangka dada dan paru-paru (ruang pleura) atau paru-paru itu sendiri.
Selain sakit dada, pesakit akan turut mengalami simptom-simptom seperti:
- Batuk
- Jantung berdebar atau berdegup laju
- Kulit menjadi biru disebabkan kurang oksigen
- Sesak dada
- Sesak nafas
- Bernafas menjadi sakit dan bertambah sakit ketika menarik nafas dalam-dalam atau batuk
11. Hernia Hiatus
Hernia hiatus adalah keadaan apabila bahagian atas perut menolak melalui otot besar yang memisahkan perut dan dada anda (diafragma).
Gejala boleh termasuk:
- Sakit dada
- Sakit perut
- Pedih hulu hati
- Regurgitasi makanan ke dalam mulut
12. Kecederaan pada Rangka Otot
Terdapat banyak jenis kecederaan pada tisu lembut atau tulang di dada yang boleh menyebabkan sakit dada sebelah kiri. Contohnya seperti tulang rusuk yang patah atau keradangan rawan yang mengelilingi tulang rusuk.
Kecederaan pada dada seperti terjatuh atau kemalangan kereta juga boleh menyebabkan sakit dada.
Antara tanda-tanda yang menunjukkan kecederaan rangka otot adalah:
- Lebam pada dada
- Bengkak dan sakit pada tempat tertentu
- Sakit yang semakin teruk apabila bernafas
- Mendengar atau merasai sensasi keretakan berkaitan dengan tulang rusuk
13. Embolisme Pulmonari
Embolisme pulmonari berlaku apabila darah beku tersangkut dalam arteri di paru-paru, menghalang aliran darah ke bahagian paru-paru.
Ia menyebabkan sakit dada yang tajam dan tiba-tiba.
Simptom-simptom lain termasuklah:
- Sakit belakang
- Pening
- Berpeluh berlebihan
- Batuk
- Sesak nafas
- Bibir kebiruan
14. Hipertensi Pulmonari
Hipertensi pulmonari ialah tekanan darah tinggi di dalam paru-paru. Selain sakit dada, ia boleh menyebabkan:
- Sesak nafas
- Hilang tenaga
- Pitam
Apabila penyakit ini berlanjutan, ia boleh menyebabkan denyutan jantung tidak teratur dan nadi berlumba-lumba. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kegagalan jantung.
15. Pleurisi
Pleurisi berlaku apabila lapisan tisu di sekeliling paru-paru atau lapisan didinding dalam dada membengkak.
Anda boleh mendapat pleurisi apabila keradangan dari paru-paru disebabkan oleh virus, bakteria atau penyakit lain bergerak ke dalam pleura anda, menyebabkan ia membengkak dan bergesel antara satu sama lain.
Pleurisi menyebabkan sakit dada yang tajam dan mencucuk. Selain itu, anda juga mungkin mengalami simptom-simptom lain seperti:
- Sesak nafas
- Batuk
- Demam
- Kelesuan
Bila Perlu Mendapatkan Rawatan Kecemasan
Bagi orang awam, mungkin sukar untuk mengetahui sama ada sakit dada tersebut adalah tanda serangan jantung.
Tetapi, terdapat 3 indikasi yang menunjukkan bahawa sakit dada tersebut BUKAN serangan jantung iaitu:
- Lokasi khusus: Jika sakit datang dari satu tempat yang khusus, ia tidak mungkin serangan jantung.
- Lokasi yang berbeza-beza: Sakit dada yang dikaitkan dengan serangan jantung mungkin merebak antara tulang belikat, dan ke dalam lengan dan rahang, tetapi ia tidak bergerak dari satu sisi ke sisi yang lain.
- Sakit yang semakin teruk: Sakit dada yang dikaitkan dengan serangan jantung tidak menjadi lebih teruk apabila bernafas.
Jika seseorang menganggap mereka mungkin mengalami serangan jantung, sila hubungi 999 untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Tanda-tanda seseorang mungkin mengalami serangan jantung adalah:
- Sakit dada atau sesak dada yang biasanya bermula di tengah dada dan merebak ke luar
- Pening
- Rasa ingin pitam
- Loya
- Sesak nafas
- Berpeluh
- Sakit yang mungkin meluas dari dada ke lengan, leher, rahang, atau bahu
Wanita lebih cenderung untuk mengalami gejala seperti loya, muntah, keletihan dan sakit di bahagian belakang atau rahang.
Rujukan
- Nall, R. (2019). What causes chest pain on the left side? MedicalNewsToday.
- Pietrangelo,A. (2022). What’s Causing Pain in the Left Side of My Chest? Healthline
- American Heart Association editorial staff. (2022). Heart Attack Symptoms in Women. American Heart Association.