Penyakit jantung adalah pembunuh utama di Malaysia dan di dunia. Awasi tanda-tanda sakit jantung yang dinyatakan dalam artikel ini dan bertindak segera dengan mendapatkan rawatan awal.
Umumnya, kaum lelaki dikatakan lebih terdedah kepada penyakit jantung berbanding kaum wanita. Tetapi hakikatnya, wanita tidak terkecuali daripada menjadi korban kepada penyakit ini.
Walaupun begitu, sakit jantung adalah penyakit yang boleh dicegah atau dirawat dengan melakukan perubahan gaya hidup kepada gaya hidup yang lebih sihat.
Jenis-jenis Sakit Jantung
Penyakit jantung sebenarnya melibatkan beberapa masalah kardiovaskular yang memberi kesan terhadap fungsi jantung.
Terdapat beberapa jenis sakit jantung yang dikelaskan seperti berikut:
- Penyakit arteri koronari. Penyakit berkaitan pembuluh darah. Turut dikenali sebagai penyakit jantung iskemik.
- Aritmia. Keabnormalan rentak jantung.
- Aterosklerosis. Penyakit pada arteri yang menyebabkan penyekatan aliran darah.
- Kecacatan jantung kongenital. Kecacatan jantung yang berlaku sejak lahir.
- Kardiomiopati. Penyakit otot jantung.
- Jangkitan jantung. Jangkitan jantung yang disebabkan oleh bakteria, virus atau parasit.
Tanda-tanda Sakit Jantung Mengikut Jenisnya
Tanda-tanda sakit jantung juga bergantung kepada jenisnya. Serangan jantung boleh berlaku secara tiba-tiba.
Tetapi lazimnya ia bermula secara perlahan dengan menunjukkan tanda-tanda seperti kesakitan ringan dan ketidakselesaan di dada.
Oleh itu, adalah penting untuk ketahui tanda-tanda sakit atau serangan jantung agar anda boleh mendapatkan rawatan segera.
1. Tanda-tanda Penyakit Arteri Koronari
Penyakit arteri koronari atau penyakit jantung iskemik ialah sakit jantung yang berkaitan dengan pembentukan plak kolesterol di arteri jantung dan paru-paru.
Tanda-tanda sakit jantung yang disebabkan oleh pembentukan plak kolesterol ini adalah:
- Rasa sakit di dada
- Rasa tidak selesa di dada
- Rasa seperti tekanan atau himpitan di dada
- Sesak nafas
- Loya
- Masalah penghadaman
2. Tanda-tanda Aritmia
Aritmia adalah gangguan kepada rentak jantung, sama ada jantung berdeyut terlalu cepat, terlalu perlahan atau tidak menentu.
Tanda-tanda sakit jantung yang melibatkan aritmia adalah:
- Denyutan jantung yang laju
- Denyutan jantung yang perlahan
- Sakit di dada
- Rasa tidak selesa di dada
- Sesak nafas
- Rasa berdebar di dada
- Pening
3. Tanda-tanda Aterosklerosis
Aterosklerosis ialah keadaan dimana berlaku pembentukan lemak, kolesterol atau bahan lain pada dinding arteri. Ia menyebabkan penyekatan aliran darah ke pelbagai tisu badan yang boleh membawa kepada serangan jantung, strok atau kegagalan jantung.
Tanda-tanda sakit jantung akibat aterosklerosis adalah:
- Rasa sakit di dada
- Rasa tekanan di dada
- Sukar bernafas
- Rasa kebas di tangan atau kaki
- Rasa sejuk di tangan atau kaki
- Sakit yang tidak dapat dijelaskan atau luar biasa
- Rasa lemah di tangan dan kaki
4. Tanda-tanda Kecacatan Jantung Kongenital
Kecacatan jantung kongenital adalah masalah jantung yang terbentuk semasa pembentukan janin.
Kecacatan jantung kongenital yang serius biasanya dapat dilihat sejurus selepas kelahiran atau semasa beberapa bulan pertama kehidupan.
Tanda-tanda atau simptom adalah seperti berikut:
- Bibir,lidah dan kuku jari menjadi biru atau kelabu pucat
- Pernafasan laju
- Bengkak di kaki, perut dan di kawasan mata
- Sesak nafas ketika menyusu (bagi bayi)
Kecacatan jantung kongenital yang kurang serius mungkin tidak dapat didiagnosis sehingga lewat pada zaman kanak-kanak.
Tanda-tanda atau simptomnya adalah seperti berikut:
- Mudah untuk sesak nafas semasa melakukan aktiviti fizikal
- Mudah letih semasa melakukan aktiviti fizikal atau bersenam
- Bengkak di tangan, kaki atau buku lali
- Pengsan semasa melakukan senaman atau aktiviti
5. Tanda-tanda Kardiomiopati
Kardiomiopati adalah penyakit otot jantung yang tidak disebabkan oleh penyakit arteri koronari. Pada peringkat awal, penyakit ini tidak menunjukkan sebarang simptom.
Namun, apabila penyakit ini semakin teruk, tanda-tanda atau simptom berikut mungkin berlaku:
- Sesak nafas ketika melakukan aktiviti atau ketika rehat
- Keletihan
- Bengkak di kaki terutamanya buku lali
- Denyutan jantung yang tidak teratur
- Pening atau rasa hendak pitam
6. Tanda-tanda Jangkitan Jantung
Terdapat dua istilah yang digunakan untuk menunjukkan jangkitan jantung iaitu endokarditis atau miokarditis.
Endokarditis ialah keradangan pada injap-injap jantung yang disebabkan oleh jangkitan kuman. Miokarditis pula adalah keradangan pada otot jantung (miokardium).
Tanda-tanda atau simptom-simptom jangkitan jantung adalah:
- Demam
- Sesak nafas
- Keletihan atau lemah badan
- Ritma jantung berubah
- Batuk kering atau berterusan
- Ruam pada kulit
- Bengkak di kaki atau perut
Tanda-tanda Sakit Jantung Pada Wanita
Wanita biasanya mengalami tanda-tanda sakit jantung yang berbeza dengan lelaki.
Kajian pada tahun 2003 melaporkan bahawa wanita yang pernah mengalami serangan jantung tidak mengalami simptom-simptom yang umumnya dialami oleh mereka yang mengalami serangan jantung.
Sebaliknya, wanita-wanita ini mengalami keresahan atau kebimbangan, gangguan tidur dan rasa penat yang luar biasa.
Walau bagaimanapun, wanita juga boleh mengalami tanda-tanda sakit jantung yang sama seperti lelaki.
Tanda-tanda sakit jantung dalam kalangan wanita juga turut boleh disalah tafsir dengan masalah atau penyakit lain seperti menopaus, kemurungan dan keresahan.
Antara tanda-tanda atau simptom sakit jantung dalam kalangan wanita adalah seperti berikut:
- Keresahan atau kebimbangan (anxiety)
- Sesak nafas
- Berasa pening
- Pitam atau pengsan
- Loya
- Muntah
- Sakit rahang
- Sakit leher
- Sakit belakang
- Ketidakhadaman
- Sakit di dada
- Sakit di bahu
- Letih yang luar biasa
Wanita juga lebih kerap untuk mengalami tanda-tanda ini ketika berada dalam keadaan rehat.
Tekanan perasaan juga boleh mencetuskan simptom-simptom serangan jantung dalam kalangan wanita.
Golongan yang Berisiko Tinggi
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko seseorang itu untuk menghidap penyakit jantung. Lelaki dan wanita yang mempunyai ciri-ciri ini adalah berisiko tinggi untuk menghidap penyakit jantung.
Antara faktor risiko tersebut adalah:
- Umur. Peningkatan usia meningkatkan risiko.
- Keturunan.
- Merokok.
- Mengamalkan diet yang tinggi lemak, garam, gula dan kolesterol.
- Menghidap tekanan darah tinggi.
- Menghidap penyakit kencing manis.
- Obesiti.
- Tidak aktif secara fizikal.
- Sentiasa tertekan (stres).
- Tidak menjaga kebersihan gigi. Tidak menjaga kebersihan gigi boleh menyebabkan jangkitan kuman ke salur darah dan menyebabkan endokarditis.
- Menopaus. Bagi wanita.
- Komplikasi ketika mengandung. Hipertensi dan diabetes semasa mengandung boleh meningkatkan risiko wanita tersebut untuk mengalami hipertensi dan diabetes pada jangka masa panjang. Keadaan ini turut meningkatkan risiko untuk wanita tersebut menghidap penyakit jantung.
Dapatkan Rawatan Segera
Sekiranya anda ada mengalami tanda-tanda sakit jantung yang disenaraikan ini, sila dapatkan rawatan segera dan jangan bertangguh.
Rawatan awal boleh mengurangkan kerosakan terhadap jantung anda.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Heart disease. MayoClinic.
- Robin Donovan. (2020). Everything You Need to Know About Heart Disease. Healthline
- Mayo Clinic Staff. (2019). Heart disease in women: Understand symptoms and risk factors. MayoClinic.