Batuk yang menyebabkan sakit dada adalah perkara biasanya akibat daripada tegangan otot semasa batuk. Walau bagaimanapun, ia juga boleh menjadi petanda kepada keadaan kesihatan yang lain seperti pneumonia, pleurisi atau keadaan lain yang lebih serius.
Kebiasaannya, sakit dada akan beransur hilang apabila jangkitan yang menyebabkan batuk turut hilang atau pulih.
Namun, bagi sesetengah orang, batuk dan sakit dada ini menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius. Justeru itu, adalah penting untuk anda berjumpa doktor sekiranya anda batuk dan turut mengalami sakit dada yang teruk.
Gejala-gejala atau Tanda
Batuk dan sakit dada datang dalam pelbagai bentuk. Kesakitan mungkin menikam atau berdenyut dan boleh menjadi ringan hingga teruk.
Sekiranya sakit dada ini diikuti oleh gejala-gejala lain terutamanya demam atau kesukaran bernafas mungkin menunjukkan jangkitan yang serius.
Beberapa gejala lain yang mungkin turut berlaku adalah:
- Sakit otot
- Batuk berkahak
- Kelesuan atau tidak bertenaga
- Berdehit atau sukar bernafas
Punca atau Penyebab
Sakit dada apabila batuk boleh disebabkan oleh beberapa punca seperti:
1. Pneumonia
Pneumonia atau radang paru-paru adalah keadaan kesihatan yang biasa berlaku. Tetapi, ia juga berpotensi menyebabkan jangkitan paru-paru yang serius.
Virus, bakteria, fungi atau parasit boleh menyebabkan pneumonia. Bagi anda yang sihat, biasanya boleh sembuh daripada pneumonia selepas rawatan biasa.
Manakala, golongan seperti orang tua, bayi atau orang yang mempunyai sistem imun yang lemah lebih berisiko untuk mengalami jangkitan yang serius yang boleh membawa maut.
Pneumonia boleh menyebabkan gejala-gejala seperti berikut:
- Sakit dada yang tajam dan mencucuk semasa batuk
- Demam panas
- Menggigil
- Rasa tidak sihat
- Loya dan muntah bagi kanak-kanak
- Sukar bernafas
- Pernafasan laju
- Paras oksigen rendah dalam darah
2. Bronkitis Akut
Bronkitis adalah keradangan tiub yang membawa udara ke dan dari paru-paru anda.
Kerengsaan tiub bronkial boleh menyebabkan serangan batuk berulang-ulang, yang boleh menyebabkan sakit dada.
Bronkitis akut adalah sementara dengan gejala-gejala biasanya berlarutan kurang daripada tiga minggu.
3. Kelesuan Otot
Seseorang menggunakan banyak otot di dada, belakang dan perut apabila mereka batuk.
Batuk yang teruk atau batuk berhari-hari boleh meletihkan otot-otot ini, membuatkan ia berasa sakit terutamanya apabila anda mengurut kawasan yang terjejas.
Kesakitan biasanya memuncak semasa batuk dan kemudian berkurangan di antara batuk.
Mungkin agak sukar untuk anda membezakan sakit otot akibat kesakitan lain seperti keradangan paru-paru. Oleh itu, jika anda tidak pasti, langkah terbaik adalah berjumpa doktor.
4. Pleurisi
Pleurisi adalah keradangan tisu pleura, yang meliputi bahagian luar paru-paru dan bahagian dalam dinding dada.
Penghidap pleurisi mungkin mempunyai cecair di antara lapisan tisu pleura.
Gejala-gejala pleurisi adalah:
- Sakit dada yang semakin teruk apabila batuk
- Sukar bernafas
- Pernafasan yang menyakitkan
- Demam
- Sesak nafas
- Rasa seolah-olah tidak cukup udara memasuki badan
5. Asma
Asma menyebabkan saluran pernafasan meradang dan menyempit.
Pencetus tertentu boleh secara tiba-tiba meningkatkan keradangan dan bengkak, menjadikan penghidap asma sukar untuk bernafas. Keadaan ini dikenali sebagai serangan asma.
Serangan asma boleh menyebabkan anda sukar bernafas dan berdehit. Bagi sesetengah orang, mereka boleh mengalami sakit dada semasa atau akibat serangan asma.
6. Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik
Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) merujuk kepada sekumpulan penyakit seperti bronkitis kronik dan emfisema, yang menyebabkan saluran pernafasan meradang, bengkak dan tersumbat.
Penyakit ini progresif yang bermaksud bahawa ia menjadi lebih teruk dari masa ke masa.
Gejala-gejala COPD adalah:
- Sakit dada dan batuk
- Sukar bernafas
- Nafas pendek
- Berdehit
- Tidak bertenaga
- Pengumpulan kahak
7. Embolisme Pulmonari
Embolisme pulmonari adalah pembekuan darah yang bergerak ke paru-paru. Ia boleh menyebabkan sesak nafas, sakit dada, dan batuk.
Darah beku dalam paru-paru boleh membuatkan anda berasa seperti serangan jantung dan anda mungkin batuk kahak berdarah.
Gejala-gejala lain adalah:
- Sakit semasa menarik nafas dalam-dalam
- Bernafas laju
- Berpeluh
- Kadar jantung meningkat
- Pening
8. Kanser Paru-paru
Sesetengah orang yang mengalami sakit dada dan batuk mungkin bimbang tentang kanser paru-paru, terutamanya jika gejalanya kronik dan seperti tidak disebabkan oleh jangkitan seperti selesema.
Kanser paru-paru boleh menyebabkan sakit dada apabila batuk, tetapi kebanyakan orang juga turut mengalami gejala lain seperti:
- Kelesuan
- Sesak nafas
- Kehilangan berat badan tanpa dirancang
- Berdehit
- Hilang selera makan
- Rasa lemah
- Suara serak
Rawatan
Rawatan yang betul untuk sakit dada apabila batuk bergantung kepada punca.
- Jangkitan virus: Tiada ubat untuk jangkitan virus seperti selesema atau bronkitis akut. Walau bagaimanapun, ubat belian kaunter boleh membantu anda lega daripada demam, sakit badan atau gejala-gejala lain.
- Jangkitan bakteria: Jangkitan bakteria seperti pneumonia atau bronkitis boleh dirawat dengan antibiotik. Doktor akan mempreskripsi antibiotik kepada anda.
- Pleurisi: Ubat boleh merawat jangkitan manakala kortikosteroid mengurangkan keradangan. Ubat penahan sakit juga boleh digunakan.
- Penyakit kronik: Untuk penyakit kronik seperti COPD atau asma, doktor mungkin mengesyorkan terapi berdasarkan keterukan gejala-gejala anda. Contohnya penggunaan bronkodilator untuk merawat COPD dan alat sedut untuk asma.
- Embolisme pulmonari: Rawatan untuk embolisme pulmonari melibatkan ubat pencair darah dan mungkin prosedur untuk membuang darah beku yang besar.
- Kanser paru-paru: Rawatan kanser paru-paru adalah seperti pembedahan, ubat kemoterapi, atau radiasi untuk mengecutkan tumor.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Jika anda mengalami sakit dada yang ringan semasa batuk biasanya boleh menunggu beberapa hari sebelum berjumpa doktor.
Namun, bagi orang tua, bayi atau penghidap penyakit pernafasan, sebaiknya adalah berjumpa doktor dengan segera walaupun gejala-gejala yang dialami tidak teruk.
Selain itu, anda patut berjumpa doktor jika anda mengalami sakit dada semasa batuk yang turut diikuti:
- Gejala-gejala ringan yang menjadi teruk
- Demam panas
- Gejala-gejala yang berkekalan atau semakin teruk walaupun sudah menerima rawatan
- Sukar bernafas
- Kelesuan yang teruk
- Perubahan tingkah laku secara tiba-tiba
- Batuk dengan kahak berdarah
- Pening
Rujukan
- National Heart, Lung, and Blood Institute. (2022). What Are Pleural Disorders?
- National Heart, Lung, and Blood Institute. (2022). What is Asthma?
- National Heart, Lung, and Blood Institute. (2022). What is Pneumonia?
- American Cancer Society. (2019). Signs and Symptoms of Lung Cancer.