Tindak balas alergi atau alahan selalunya menyebabkan ruam dan gatal-gatal. Ruam dan gatal-gatal yang terbentuk pada kulit mungkin berbeza-beza mengikut punca yang menyebabkannya.
Lazimnya, ruam atau gatal-gatal ini boleh dirawat menggunakan ubat belian kaunter yang boleh didapati di farmasi atau kedai ubat.
Walau bagaimanapun, jika seseorang mengalami kesukaran bernafas akibat daripada tindak balas alergi, mereka perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Artikel ini akan membantu anda mengetahui dengan lebih lanjut mengenai punca-punca yang menyebabkan ruam dan gatal-gatal akibat daripada tindak balas alergi serta bagaimana untuk merawatnya.
Punca-punca
Tindak balas alergi atau alahan berlaku apabila sistem imun seseorang menjadi terlalu sensitif kepada bahan yang biasanya tidak berbahaya atau turut dikenali sebagai alergen.
Alergen boleh memasuki badan melalui beberapa cara. Contohnya seperti:
- Melalui sentuhan kulit
- Melalui mulut
- Melalui udara (penarikan nafas)
- Melalui suntikan
Sebaik sahaja alergen memasuki badan, ia boleh mencetuskan tindak balas keradangan, yang mungkin termasuk ruam dan gatal-gatal pada kulit.
Antara punca-punca atau bahan yang boleh menyebabkan tindak balas alahan adalah:
1. Bahan Kimia
Beberapa bahan kimia boleh menyebabkan tindak balas alergi apabila ia bersentuhan dengan kulit seseorang.
Antaranya adalah:
- Nikel
- Emas
- Kobalt
- Getah atau lateks
- Pewarna rambut
- Pewangi
- Propilena glikol (propylene glycol)
- Formaldehid (formaldehyde)
Ruam akibat bahan kimia selalunya menyerupai luka melecur. Ia mungkin timbul dengan bengkak, melepuh atau mempunyai tompok-tompok mengelupas atau kering berbentuk bujur.
2. Ubat-ubatan
Terdapat banyak ubat-ubatan yang boleh menyebabkan alergi.
Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan ruam alergi dan gatal-gatal adalah:
- Antibiotik
- Aspirin
- Neomycin dan bacitracin
- Ubat antiradang bukan steroid (NSAID)
- Ubat darah tinggi
- Kodeina
- Pil kawalan kelahiran
Semasa tindak balas segera, ruam biasanya terdiri daripada gatal-gatal yang timbul lesi merah pada kulit.
3. Makanan dan Aditif Makanan
Tindak balas alahan makanan paling kerap dikaitkan dengan gatal-gatal atau bengkak.
Antara makanan yang paling banyak menyebabkan tindak balas alahan adalah:
- Kacang tanah
- Soya
- Susu lembu
- Gandum
- Telur
- Ikan
- Kerang-kerangan
- Kacang
- Bijan
4. Alergen Respiratori
Sesetengah individu mungkin juga mengalami tindak balas alahan seperti ruam dan gatal-gatal akibat alergen yang disedut semasa menarik nafas.
Contohnya seperti:
- Debunga
- Spora kulapok
- Hama debu
- Sisik haiwan
5. Tumbuhan Beracun
Tumbuhan beracun seperti pokok ivy beracun, pokok oak beracun atau keladi adalah antara punca kepada dermatitis sentuh iaitu penyakit alahan kulit.
Selepas bersentuhan dengan tumbuhan atau getah tumbuhan ini, seseorang mungkin mengalami ruam merah yang gatal dan bergelembung.
Rawatan
Terdapat beberapa pilihan rawatan yang boleh digunakan untuk merawat gejala-gejala alergi seperti ruam dan gatal-gatal adalah:
- Ubat antihistamin belian kaunter
- Losyen antikegatalan seperti calamine
- Krim kortikosteroid
- Krim bukan steroid
- Kompres sejuk
- Suntikan epinefrin
Ruam Alergi dalam Kalangan Bayi
Bayi mempunyai kulit sensitif dan mungkin mengalami ruam alergi sebagai tindak balas kepada sabun, sisik haiwan atau nikel.
Bayi juga mungkin mengalami tindak balas alahan terhadap antibiotik atau makanan baru.
Ruam alergi boleh berlaku di mana-mana bahagian kulit bayi. Ruam tersebut akan kelihatan seperti:
- Kulit kering dan bersisik
- Gatal-gatal
- Tompokan merah pada lipatan kulit
- Gugusan benjolan merah kecil
Rujukan
- Kayiran, M. A., & Akdeniz, N. (2019). Diagnosis and treatment of urticaria in primary care. Northern clinics of Istanbul.
- Thong, B & Vervloet, D. (2021). Drug Allergies. World Allergy Organization.
- Alinaghi, F. et al. (2019). Prevalence of contact allergy in the general population: A systematic review and meta-analysis. Contact dermatitis.