Keguguran rambut sememangnya akan menjejaskan kualiti hidup seseorang dan mungkin boleh menyebabkan tekanan. Oleh itu, ketahui 7 petua merawat rambut gugur yang mudah diamalkan yang dikongsikan di sini.
Rambut gugur adalah fenomena biasa yang dialami oleh setiap individu di dunia ini. Seorang manusia dianggarkan keguguran rambut sebanyak 100 helai sehari. Tetapi, jika rambut ini gugur secara berlebihan dan tidak tumbuh kembali ia mungkin menjadi petanda kepada masalah yang lain.
Secara alaminya, rambut manusia akan tumbuh sebanyak 1cm setiap bulan dan tumbuh mengikut 3 fasa kitaran iaitu fasa pertumbuhan, fasa segenerasi separa dan fasa rehat. Fasa rehat ialah fasa terakhir dimana rambut akan gugur selepas itu.
Masalah rambut gugur akan mula berlaku apabila kitaran pertumbuhan rambut dan penanggalan rambut ini terganggu. Masalah ini turut boleh berlaku sekiranya folikel rambut musnah.
Oleh itu, artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai punca rambut gugur dan petua yang boleh diamalkan untuk merawat rambut gugur.
Punca Rambut Gugur
Beberapa faktor berikut mungkin menjadi punca atau penyebab kepada masalah keguguran rambut:
- Keturunan – Keturunan adalah punca utama kepada masalah botak mengikut corak bagi lelaki dan wanita (alopecia androgenik). Keguguran rambut ini selalunya berlaku selari dengan penuaan dan dalam corak yang dapat dijangka.
- Terlampau tertekan (stres) – Seseorang itu mungkin akan mengalami keguguran rambut setelah beberapa bulan mengalami kejutan emosi atau fizikal seperti tekanan (stres). Rambut akan berhenti tumbuh dan memasuki fasa rehat. Namun, masalah ini bersifat sementara.
- Perubahan hormon – Perubahan hormon semasa mengandung, melahirkan anak, menopaus (putus haid) dan penyakit kelenjar tiroid juga boleh menyebabkan keguguran rambut sama ada kekal atau bersifat sementara.
- Kesan sampingan ubat – Rambut gugur juga boleh disebabkan oleh kesan sampingan sesetengah ubat. Contohnya seperti ubat darah tinggi, ubat kemurungan, ubat gout, ubat kanser dan ubat artritis.
- Alopecia areata – Penyakit autoimun yang menyebabkan liang rambut dimusnahkan oleh sel-sel pesakit sendiri. Keadaan ini boleh menyebabkan tompok-tompok botak, botak diseluruhan kepala atau botak diseluruh badan (bulu-bulu turut gugur).
- Trichotillomania – Trichotillomania adalah masalah psikologi yang mendorong individu tersebut menarik rambutnya sendiri. Masalah ini dikaitkan dengan kemurungan dan selalunya berlaku dalam kalangan remaja perempuan berbanding lelaki.
Petua Merawat Rambut Gugur
Selain rawatan klinikal dan berasaskan ubat, terdapat juga petua-petua atau cara yang menggunakan bahan semulajadi untuk merawat rambut gugur.
Antara petua merawat rambut gugur yang boleh dilakukan dirumah adalah:
1. Menggunakan Aloe Vera
Aloe vera adalah antara tumbuhan yang mempunyai banyak kegunaan.
Aloe vera boleh mengurangkan kelemumur dan membebaskan folikel rambut daripada tersumbat dengan minyak yang berlebihan.
Aloe vera mengandungi vitamin B12 dan asid folik iaitu dua komponen yang boleh membantu mencegah rambut gugur. [1, 2]
Anda boleh menggunakan gel aloe vera asli atau produk yang mengandungi hampir 100% gel aloe vera untuk rawatan rambut gugur. Sapukan ke kulit kepada beberapa kali seminggu.
2. Minyak Pati Rosemary
Minyak pati rosemary mempunyai sifat antiseptik yang tinggi yang boleh merawat kulit kepala daripada jangkitan dan kelemumur.
Minyak pati rosemary didapati mempunyai keupayaan yang sama seperti ubat Minoxodil 2% dalam merawat botak mengikut corak, bahkan dapat mengurangkan gatal kulit kepala berbanding ubat Minoxodil. [3]
Gunakan kira-kira 5 titis minyak ini. Sapu dan urut di kulit kepala secara rata selepas mandi. Anda boleh memilih untuk membilas atau membiarkan minyak ini dikepala.
Sekiranya anda ingin membilasnya, pastikan dibiarkan minyak ini dikepala sekitar 5 hingga 10 minit.
3. Menggunakan Minyak Kelapa
Minyak kelapa boleh digunakan untuk menghalang kerosakan rambut akibat daripada sinaran matahari (sinaran UV). [4]
Selain itu, minyak ini juga boleh membantu mengurangkan kehilangan protein pada rambut. [5]
Minyak kelapa ini boleh digunakan dengan menyapu di rambut dan kulit kepala. Boleh digunakan dengan membiarkan semalaman atau membilasnya setelah beberapa jam menggunakannya.
4. Makan Suplemen Ginseng
Mengambil makanan tambahan (suplemen) daripada ginseng boleh mengalakkan pertumbuhan rambut.
Ginsenosides adalah sebatian bioaktif dalam ginseng yang dipercayai bertanggungjawab mengalakkan pertumbuhan rambut. [6, 7]
5. Jus Bawang
Jus bawang juga boleh digunakan untuk merawat masalah rambut gugur.
Kajian selama 2 bulan mendapati jus bawang boleh merawat masalah Alopecia areata. [8]
Sekiranya anda tahan kepada baunya, anda boleh menggunakan jus bawang untuk pertumbuhan rambut.
Jus bawang ini boleh digunakan dengan menyapukannya dikulit kepala serta rambut dan dibiarkan selama 15 minit. Kemudian, bersihkan rambut dan kulit kepala dengan syampu seperti biasa.
6. Suplemen Viviscal
Makanan tambahan atau suplemen seperti Viviscal juga boleh membantu pertumbuhan rambut terutamanya kepada mereka yang mengalami masalah rambut menipis. [9]
Viviscal ialah makanan tambahan yang diperbuat daripada protein marin seperti campuran serbuk ikan jerung dan moluska.
7. Mengurut Kulit Kepala
Mengurut kulit kepala juga boleh membantu memulihkan pertumbuhan rambut.
Mengurut kulit kepala dikatakan dapat meningkatkan ketebalan rambut dan lapisan papila dermis. [10]
Selain itu, mengurut kulit kepala juga dapat menghasilkan kesan yang menenangkan, meningkatkan pengaliran darah dan melembutkan kulit.
Pencegahan Rambut Gugur
Pencegahan rambut gugur bergantung kepada puncanya. Sekiranya, rambut gugur atau botak akibat keturunan. Maka, masalah ini tidak boleh dicegah.
Bagi kes-kes lain, beberapa langkah yang boleh diambil untuk mencegah rambut gugur:
- Sikat dan basuh rambut dengan lembut. Elakkan menarik dengan kasar.
- Elakkan gaya rambut yang ketat.
- Hindari ubat dan makanan tambahan yang boleh menyebabkan rambut gugur.
- Hindari daripada menarik dan memintal rambut.
- Berhenti merokok.
- Jika anda menjalani rawatan kemoterapi, minta pemakaian ‘cooling cap‘ bagi mengurangkan keguguran rambut.
Rujukan
- Surjushe, A. et al. (2008). Aloe vera: a short review. Indian journal of dermatology.
- Almohanna, H. M. et al. (2019). The Role of Vitamins and Minerals in Hair Loss: A Review. Dermatology and therapy.
- Panahi, Y. et al. (2015). Rosemary oil vs minoxidil 2% for the treatment of androgenetic alopecia: a randomized comparative trial. Skinmed.
- Korać, R. R., & Khambholja, K. M. (2011). Potential of herbs in skin protection from ultraviolet radiation. Pharmacognosy reviews.
- Rele, A. S., & Mohile, R. B. (2003). Effect of mineral oil, sunflower oil, and coconut oil on prevention of hair damage. Journal of cosmetic science.
- Park, G. H. et al. (2015). Red ginseng extract promotes the hair growth in cultured human hair follicles. Journal of medicinal food.
- Choi B. Y. (2018). Hair-Growth Potential of Ginseng and Its Major Metabolites: A Review on Its Molecular Mechanisms. International journal of molecular sciences.
- Sharquie, K. E., & Al-Obaidi, H. K. (2002). Onion juice (Allium cepa L.), a new topical treatment for alopecia areata. The Journal of dermatology.
- Ablon G. (2015). A 3-month, randomized, double-blind, placebo-controlled study evaluating the ability of an extra-strength marine protein supplement to promote hair growth and decrease shedding in women with self-perceived thinning hair. Dermatology research and practice.
- Koyama, T. et al. (2016). Standardized Scalp Massage Results in Increased Hair Thickness by Inducing Stretching Forces to Dermal Papilla Cells in the Subcutaneous Tissue. Eplasty.