Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa 10.8 juta individu di seluruh dunia telah dijangkiti penyakit tuberkulosis atau tibi pada tahun 2023. Jumlah kematian yang dikaitkan dengan penyakit ini dilaporkan sebanyak 1.25 juta kematian.
Di Malaysia pula, 80.2 kes setiap 100,000 populasi dilaporkan pada tahun 2023 dan angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 5.47% berbanding tahun sebelumnya.
Statistik ini menggambarkan bahawa penyakit tibi merupakan penyakit berjangkit yang masih menjadi salah satu beban penyakit utama di Malaysia dan harus diberi perhatian yang sewajarnya.
Memahami Penularan Penyakit Tibi
Tibi disebabkan oleh jangkitan bakteria Mycobacterium Tuberculosis yang kebiasaannya menjangkiti paru-paru dan boleh juga menjangkiti pelbagai organ lain.
Bakteria ini adalah organisma yang membiak dengan perlahan dan boleh berada di dalam tubuh manusia tanpa menyebabkan sebarang gejala selama bertahun-tahun. Situasi ini dikenali sebagai jangkitan tibi laten.
Menurut laporan WHO, sekitar satu per empat populasi dunia telah dijangkiti dan menjadi pembawa kuman tibi tanpa gejala (tibi laten). Walau bagaimanapun, bakteria yang tidak aktif ini boleh bertukar menjadi aktif apabila sistem imun tubuh pembawanya menjadi lemah.
Antara golongan yang lebih berisiko untuk mendapat jangkitan, antaranya termasuklah:
- Penghidap HIV
- Pesakit yang mengambil ubat-ubatan kemoterapi atau steroid
- Individu yang malnutrisi
- Pesakit diabetes
- Individu yang menjalani pemindahan organ
- Bayi dan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah
Tibi tersebar melalui titisan air di udara dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang terdedah kepada bakteria tersebut.
Pesakit yang telah dijangkiti dan menunjukkan gejala merupakan pesakit tibi aktif. Gejala lazim bagi tibi ialah batuk yang berpanjangan melebihi 2 minggu, batuk berdarah, kurang selera makan, penurunan berat badan secara mendadak dan berpeluh pada waktu malam.
Rawatan Penyakit tibi
Ubat yang digunakan untuk rawatan tibi aktif dikenali sebagai ubat antituberkulosis yang terdiri daripada kumpulan antibiotik.
Setiap ubat tersebut mempunyai cara tindakan, cara pengambilan dan kesan sampingan yang berbeza.
Dos bagi setiap ubat antituberkulosis pula bergantung kepada berat badan dan usia pesakit.
Regimen ubat-ubatan antituberkulosis bagi rawatan tibi aktif yang disarankan ialah:
- Fasa intensif: ethambutol, isoniazid, rifampicin dan pyrazinamide selama 2 bulan dan diikuti oleh
- Fasa sambungan: isoniazid dan rifampicin selama 4 bulan.
Kaedah DOT untuk Meningkatkan Kepatuhan kepada Ubat Antituberkulosis
Kepatuhan kepada ubat antituberkulosis adalah sangat penting untuk meningkatkan kadar kejayaan rawatan dan penyembuhan yang sepenuhnya.
Ketidakpatuhan kepada ubat-ubatan boleh menyebabkan kegagalan rawatan dan meningkatkan risiko kerintangan ubat antituberkulosis.
Sekiranya perkara ini berlaku, tempoh rawatan berkemungkinan untuk menjadi lebih panjang dan memerlukan kos yang lebih mahal.
Berdasarkan Pelan Strategik Nasional untuk Kawalan Tibi, Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara bebas tibi menjelang tahun 2035.
Pelbagai strategi telah dilakukan untuk mencapai sasaran ini dan antaranya termasuklah pemberian ubat antituberkulosis melalui kaedah Directly Observed Treatment (DOT).
Kaedah DOT merupakan kaedah yang melibatkan pesakit mengambil ubat antituberkulosis yang telah dimulakan oleh doktor di hadapan petugas kesihatan atau penyelia yang terlatih.
Pesakit akan hadir ke sesi DOT mengikut hari yang telah ditetapkan sepanjang tempoh waktu rawatan yang sepatutnya untuk mengambil ubat antituberkulosis.
Petugas kesihatan atau penyelia yang bertugas semasa sesi DOT terdiri daripada individu terlatih yang telah diberi latihan dan pendedahan kepada pengurusan pesakit tibi.
Kaedah DOT dapat membantu meningkatkan kepatuhan pesakit kepada ubat-ubatan berbanding jika pesakit mengambil sendiri ubat-ubatan tanpa pengawasan secara terus oleh petugas kesihatan.
Kepatuhan kepada pengambilan ubat-ubatan seterusnya dapat meningkatkan kadar kesembuhan pesakit dengan mencegah berlakunya kerintangan ubat-ubatan antituberkulosis.
Antara manfaat lain kaedah DOT termasuklah dapat membantu pesakit mengambil ubat dengan cara yang betul dan memantau kesan sampingan yang mungkin dialami oleh pesakit.
Jika dilihat dari aspek kawalan jangkitan tibi, kaedah DOT dapat membantu pesakit menghabiskan rawatan sehingga sembuh dan mengelakkan penyakit tersebut menjangkiti individu lain.
Nasihat kepada Pesakit
Sekiranya telah dimulakan dengan ubat antituberkulosis dan dikehendaki hadir untuk sesi DOT, pesakit harus hadir untuk mendapatkan dos seperti yang diarahkan.
Walaupun sudah berasa sihat selepas beberapa minggu menjalani rawatan, pesakit tidak seharusnya menghentikan pengambilan ubat-ubatan tanpa arahan doktor.
Menyedari kepentingan untuk pesakit hadir mendapatkan dos ubat antituberkulosis, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengesyorkan kaedah video observed therapy (VOT) yang boleh dianggap sebagai kaedah DOT yang baharu.
Sejak tahun 2019, beberapa fasiliti kesihatan di Malaysia telah melaksanakan kaedah VOT yang membolehkan konsultasi dan pemantauan pesakit dapat dilakukan dari jauh.
Selain hadir untuk sesi DOT, pesakit juga harus sentiasa mengamalkan etika batuk dan bersin yang selamat. Pesakit hendaklah mencuci tangan dengan sabun dan air selepas batuk atau bersin.
Pesakit turut disaran untuk memakai pelitup muka serta mengelakkan diri daripada berkunjung ke tempat yang sesak dan menjadi tumpuan ramai bagi mengurangkan risiko menjangkiti orang lain.
Kepatuhan kepada ubat antituberkulosis sangat penting untuk memastikan pesakit pulih sepenuhnya dan mencegah penularan jangkitan.
Bagi meningkatkan kepatuhan, pelaksanaan kaedah DOT terbukti sebagai pendekatan yang efektif. Oleh sebab itu, pesakit harus menyedari bahawa hadir ke sesi DOT bukanlah satu beban, sebaliknya langkah penting ke arah penyembuhan dan perlindungan komuniti daripada ancaman tibi.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Rujukan
- Alsayed, S. S. R., & Gunosewoyo, H. (2023). Tuberculosis: Pathogenesis, Current Treatment Regimens and New Drug Targets. International journal of molecular sciences.
- Acharya, B. et al. (2020). Advances in diagnosis of Tuberculosis: an update into molecular diagnosis of Mycobacterium tuberculosis. Molecular biology reports.
- Brett K, Severn M. Direct Observational Therapy for the Treatment of Tuberculosis: A Review of Clinical Evidence and Guidelines [Internet]. Ottawa (ON): Canadian Agency for Drugs and Technologies in Health; 2020 Nov 24. Available from: NCBI





