Penyakit Tibi atau tuberkulosis (TB) ialah sejenis penyakit berjangkit yang menyerang paru-paru manusia. Penyakit ini berpunca daripada jangkitan bakteria yang dikenali sebagai Mycobacterium tuberculosis.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), penyakit Tibi adalah penyakit di tangga ke-10 yang menyebabkan kematian di dunia. Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat 26, 352 kes penyakit Tibi dicatatkan pada tahun 2019.
Masyarakat setempat turut mengenali penyakit Tibi ini sebagai batuk kering. Harus diingat bahawa, biarpun penyakit ini boleh membawa maut namun jika dirawat kemungkinan untuk sembuh itu adalah tinggi.
Pada kelazimannya, bakteria Tibi iaitu Mycobacterium tuberculosis ini hanya menyerang paru-paru. Meskipun begitu, bakteria ini masih boleh menjangkiti bahagian badan yang lain termasuklah buah pinggang, otak atau tulang belakang.
Seperkara lagi, tidak semua individu yang dijangkiti bakteria Tibi ini akan sakit. Ini menjadikan mereka yang dijangkiti bakteria Tibi ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu Tibi pendam (tidak aktif) dan Tibi (aktif).
Jangkitan Tibi Pendam Vs. Penyakit Tibi
Jangkitan Tibi pendam (tidak aktif) adalah golongan yang dijangkiti oleh bakteria Tibi tetapi tidak menyebabkan mereka jatuh sakit.
Badan mereka dapat melawan serangan bakteria ini dan menghalang bakteria ini daripada berkembang biak.
Mereka yang dijangkiti Tibi pendam ini lazimnya:
- Tidak sakit
- Tidak bergejala atau menunjukkan simptom
- Tidak menyebabkan jangkitan kepada orang lain
- Selalunya positif bagi ujian Tibi
- Boleh membentuk penyakit Tibi jika tidak dirawat (bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah)
Penyakit Tibi (aktif) pula adalah mereka yang dijangkiti dan sistem imun badan tidak dapat melawan serangan bakteria Tibi ini.
Akibatnya golongan ini akan mula sakit dan menunjukkan gejala-gejala atau simptom penyakit Tibi.
Golongan ini juga boleh menjangkiti orang lain.
Tanda-tanda Penyakit Tibi
Penyakit Tibi yang aktif akan menunjukkan beberapa tanda atau gejala yang kebiasaannya melibatkan sistem pernafasan.
Tanda-tanda atau gejala penyakit Tibi adalah:
- Batuk selama 3 minggu atau lebih
- Batuk berdarah atau kahak berdarah
- Sakit dada
- Sakit dada ketika bernafas atau batuk
- Berpeluh pada waktu malam
- Hilang berat badan tanpa dirancang
- Demam
- Cepat letih atau kelesuan
- Rasa seram sejuk
- Hilang selera makan
Sekiranya bakteria Tibi turut menjangkiti organ-organ lain dalam badan. Tanda-tanda atau gejala lain mungkin akan turut berlaku bergantung kepada organ mana yang dijangkiti.
Contohnya, sekiranya bakteria ini turut menjangkiti buah pinggang, tanda-tanda atau simptom yang mungkin berlaku adalah seperti kencing berdarah.
Sekiranya menjangkiti tulang belakang simptom seperti sakit belakang mungkin boleh berlaku.
Punca Penyakit Tibi
Penyakit Tibi adalah berpunca daripada jangkitan oleh bakteria Tibi iaitu Mycobacterium tuberculosis.
Seseorang itu boleh dijangkiti apabila mereka menyedut udara yang mengandungi bakteria Tibi yang dihembus oleh seseorang pesakit Tibi (aktif).
Selain itu, seseorang individu boleh juga dijangkiti melalui beberapa mekanisme lain seperti:
- Bersin
- Batuk
- Bercakap
- Menyanyi
- Ketawa
- Meludah
Golongan yang Berisiko
Mereka yang mempunyai hubungan rapat atau sentuhan dengan pesakit Tibi adalah golongan berisiko. Seseorang itu mungkin dijangkiti oleh ahli keluarga atau rakan kerja sepejabat.
Selain itu, beberapa faktor lain yang boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu dijangkiti adalah:
- Melancong atau tinggal di negara-negara berisiko seperti Asia, Amerika Latin, Eropah Timur, Afrika dan kepulauan Caribbean.
- Bercampur dengan golongan berisiko tinggi seperti banduan penjara, penghidap HIV, gelandangan atau penagih dadah.
- Perokok.
- Peminum arak tegar.
- Kakitangan kesihatan yang terlibat dengan pesakit Tibi.
Rawatan Penyakit Tibi
Mereka yang disyaki dijangkiti penyakit Tibi akan didiagnosis melalui beberapa kaedah seperti ujian kulit, ujian darah, sinaran X (x-ray) pada dada dan beberapa ujian lain.
Seorang pesakit Tibi memerlukan rawatan minimum selama 6 bulan. 2 bulan pertama meliputi fasa rawatan yang intensif dan diikuti dengan 4 bulan fasa sambungan.
Kedua-dua fasa ini melibatkan pengambilan ubat Tibi dan mestilah dibawah penyeliaan. Pesakit juga harus menjalani rawatan sehingga sempurna atau selesai.
Sekiranya pesakit Tibi mengingkari jadual atau rejim rawatan yang telah ditetapkan, pesakit mungkin akan memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh akibat kuman Tibi ini menghasilkan daya tahan terhadap ubat.
Sekiranya pesakit terus ingkar dan mengelak dari jadual rawatan, pesakit mungkin akan mati akibat penyakit Tibi ini atau menjadi sumber jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.
Kebiasaanya doktor akan menetapkan beberapa jenis ubat untuk pesakit Tibi yang aktif, antaranya ialah:
- ethambutol
- isoniazid
- pyrazinamide
- rifampicin
- rifapentine
Ubat-ubatan ini mempunyai kesan sampingan kepada pemakannya, jadi bagi pesakit yang mengambil ubat Tibi ini harus peka terhadap gejala kecederaan hati seperti:
- Air kencing berwarna kuning gelap
- Demam melebihi 3 hari
- Hilang selera makan
- Kulit dan mata menjadi kuning (jaundis)
- Keliru
- Muntah atau loya yang teruk
- Mengantuk
- Sakit perut yang teruk
- Sakit di bahagian atas kanan perut
Maklumkan segera kepada doktor sekiranya anda mengalami mana-mana gejala di atas semasa menerima rawatan.
Langkah Pencegahan
Bagi rakyat Malaysia, pengambilan vaksin bacillus Calmette-Guerin (BCG) semasa kanak-kanak adalah salah satu langkah pencegahan terhadap penyakit Tibi bagi golongan ini.
Beberapa langkah lain yang boleh diambil bagi mencegah penyakit ini adalah:
- Kebanyakan mereka yang dijangkiti Tibi pendam (tidak aktif) tidak membentuk penyakit Tibi. Sebagai langkah pencegahan, mereka yang dijangkiti ini disarankan untuk mengambil ubat bagi mengelakkan terjadinya penyakit Tibi.
- Mengambil tindakan berjaga-jaga ketika melancong ke negara-negara berisiko dengan mengelakkan tempat yang padat dengan orang ramai, hospital, klinik dan penjara.
- Hadkan sentuhan atau hubungan dengan orang-orang disekeliling ketika di rumah, tempat kerja atau sekolah sekiranya anda menghidap penyakit ini.
- Pakai pelitup muka semasa berada di kawasan awam atau ketika bersama orang lain terutamanya semasa minggu pertama rawatan (bagi pesakit Tibi).
- Tutup mulut ketika bersin, batuk dan ketawa (bagi penyakit Tibi).
Rujukan
- WHO. Tuberculosis.
- Mayo Clinic Staff. (2019). Tuberculosis. MayoClinic
- MedlinePlus. Tuberculosis.
- Mayo Clinic Staff. (2017). Acute liver failure. MayoClinic
- Paul Boyce. (2019). Tuberculosis (TB). WebMD.