Narkolepsi sering disalah anggap sebagai masalah “terlalu mengantuk.” Hakikatnya, ia adalah gangguan neurologi kronik yang mengganggu keupayaan otak untuk mengawal kitaran tidur dan jaga.
Bagi kira-kira 1 dalam 2,000 orang yang menghidap narkolepsi, kesannya jauh lebih serius daripada sekadar perlukan tidur siang.
Gangguan ini boleh mengganggu kehidupan harian, menjejaskan hubungan peribadi dan mendatangkan bahaya sebenar terutamanya ketika memandu atau bekerja.
Artikel ini akan menghuraikan secara jelas apa itu narkolepsi, bagaimana ia berlaku, punca-puncanya, cara diagnosis, serta realiti hidup dengan keadaan ini.

Apa Itu Narkolepsi?
Narkolepsi ialah gangguan neurologi kronik yang menjejaskan kawalan otak terhadap kitaran tidur dan jaga.
Penghidapnya mengalami rasa mengantuk yang keterlaluan pada siang hari dan boleh tertidur secara tiba-tiba tanpa amaran.
Dalam kes yang teruk, seseorang boleh tertidur semasa bercakap, makan atau bahkan ketika memandu.
Terdapat dua jenis narkolepsi utama iaitu:
- Narkolepsi Jenis 1 (dengan katapleksi) – Mengalami kelemahan otot secara tiba-tiba akibat emosi seperti ketawa atau terkejut.
- Narkolepsi Jenis 2 (tanpa katapleksi) – Masih mengalami rasa mengantuk melampau, tetapi tiada serangan katapleksi. Jenis ini lebih sukar untuk dikenal pasti.
Ironinya, walaupun penghidap narkolepsi mudah tertidur pada siang hari, tidur malam mereka sering terganggu dan tidak menyegarkan.
Sains di Sebalik Narkolepsi
Masalah utama narkolepsi ialah gangguan dalam pengawalan tidur REM (Rapid Eye Movement). Biasanya, REM berlaku kira-kira 90 minit selepas seseorang tertidur.
Bagi penghidap narkolepsi, REM boleh berlaku serta-merta, walaupun ketika masih sedar. Ini menyebabkan mimpi yang sangat nyata, kelumpuhan tidur (sleep paralysis) dan halusinasi.
Bagi Jenis 1, narkolepsi dikaitkan dengan kekurangan hipokretin (atau oreksin), sejenis bahan kimia otak yang mengawal kesedaran dan fasa REM.
Dalam kebanyakan kes, sistem imun secara silap menyerang dan memusnahkan sel yang menghasilkan hipokretin, menjadikan narkolepsi sejenis gangguan autoimun.
Gejala-Gejala Narkolepsi
Kebiasaannya, gejala-gejala narkolepsi mula muncul ketika remaja atau awal dewasa, tetapi diagnosis sering mengambil masa bertahun-tahun.
Gejala-gejala utama adalah seperti berikut:
- Mengantuk melampau pada siang hari (EDS): Rasa mengantuk yang tidak dapat ditahan, walaupun cukup tidur.
- Katapleksi: Kehilangan kekuatan otot secara tiba-tiba akibat emosi seperti ketawa atau marah. Boleh jadi ringan (seperti bercakap tidak jelas) atau berat (jatuh tiba-tiba).
- Kelumpuhan tidur: Ketidakmampuan untuk bergerak atau bercakap sejurus sebelum tidur atau selepas bangun.
- Halusinasi hipnagogik: Mimpi yang sangat nyata dan kadang-kadang menakutkan ketika mula tertidur.
- Tidur malam yang terganggu: Kerap terjaga dan sukar tidur lena.
Gejala-gejala ini sering disalah anggap sebagai kemurungan, ADHD atau gangguan lain, menjadikan diagnosisnya sukar.
Punca-Punca Narkolepsi
Punca sebenar narkolepsi belum difahami sepenuhnya, tetapi beberapa faktor berkemungkinan menjadi penyumbang:
- Reaksi autoimun: Kebanyakan penghidap Jenis 1 mengalami kehilangan hipokretin akibat serangan sistem imun.
- Genetik: Varian gen tertentu (HLA-DQB1*06:02) dijumpai dalam lebih 90% penghidap narkolepsi Jenis 1.
- Pencetus persekitaran: Jangkitan, tekanan atau vaksin tertentu (seperti vaksin H1N1 pada 2009) mungkin mencetuskan penyakit ini dalam individu yang terdedah secara genetik.
Diagnosis: Mengapa Sering Terlepas Pandang
Ramai penghidap narkolepsi melalui proses diagnosis yang panjang dan mengecewakan. Gejalanya kadangkala halus dan doktor mungkin tersalah tafsir sebagai masalah gaya hidup atau psikologi. Purata masa untuk mendapatkan diagnosis yang tepat ialah antara 7 hingga 15 tahun.
Langkah diagnosis biasanya melibatkan:
- Sejarah tidur dan soal selidik
- Polisomnografi (kajian tidur semalaman) – Merekod gelombang otak, degupan jantung, pernafasan dan pergerakan semasa tidur.
- Ujian Latensi Tidur Berganda (MSLT) – Menilai berapa cepat seseorang tertidur pada siang hari dan sama ada mereka memasuki fasa REM terlalu awal.
- Ujian hipokretin dalam CSF (cecair serebrospinal) – Untuk diagnosis Jenis 1 secara pasti.
Rawatan dan Pengurusan
Tiada penawar untuk narkolepsi, tetapi gejalanya boleh dikawal melalui gabungan ubat, perubahan gaya hidup dan sokongan.
Ubat-ubatan termasuk:
- Perangsang: Seperti modafinil atau armodafinil untuk mengurangkan rasa mengantuk.
- Sodium oxybate: Berkesan untuk katapleksi dan meningkatkan kualiti tidur malam.
- Antidepresan tertentu: SSRIs atau SNRIs boleh membantu mengawal katapleksi dan halusinasi tidur.
Perubahan gaya hidup:
- Tidur siang secara terancang: Tidur sebentar pada waktu tertentu membantu mengurangkan EDS.
- Jadual tidur yang tetap: Tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari membantu kestabilan tidur.
- Elak alkohol dan ubat penenang: Boleh memburukkan gejala.
- Sokongan dan pendidikan: Memahami penyakit ini membantu penghidap dan orang sekeliling menyesuaikan diri.
Hidup dengan Narkolepsi
Hidup dengan narkolepsi tidak mudah. Ia boleh menjejaskan prestasi kerja atau pelajaran, menyulitkan hubungan sosial dan menyebabkan rasa terasing. Terdapat juga risiko keselamatan, terutama ketika memandu atau menggunakan mesin berat.
Stigma merupakan satu lagi cabaran. Oleh demikian kerana kurang kesedaran, ramai menganggap penghidap narkolepsi sebagai malas, tidak berdisiplin atau bermasalah mental. Pendidikan dan pendedahan awam sangat penting untuk mengubah persepsi ini.
Kumpulan sokongan seperti Narcolepsy Network dan Project Sleep membantu menyediakan komuniti, sumber maklumat dan memperjuangkan kesedaran serta dana penyelidikan.
Penutup
Narkolepsi bukan sekadar “mudah tertidur.” Ia adalah gangguan neurologi serius yang memerlukan perhatian perubatan, penyesuaian gaya hidup dan sistem sokongan yang kukuh.
Dengan rawatan yang betul dan pendekatan yang sesuai, ramai penghidap mampu menjalani kehidupan yang produktif dan bermakna.
Kita perlu lebih peka apabila seseorang mengatakan mereka sentiasa letih. Kadangkala, ia bukan sekadar kurang tidur, ia mungkin sesuatu yang lebih dalam. Dan dalam kes narkolepsi, ia adalah keadaan yang sebenar, mengganggu, tetapi boleh diurus dengan penjagaan yang betul.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2024). Narcolepsy: Symptoms and causes. MayoClinic
- National Institute of Neurological Disorders and Stroke. (2025). Narcolepsy. U.S. Department of Health and Human Services.





