Vaginosis bakteria (VB) adalah masalah faraj yang paling biasa berlaku dalam kalangan perempuan, terutamanya yang berumur antara 15 hingga 44 tahun.
Walaupun begitu, ramai masih tidak faham sepenuhnya tentangnya. Ada yang keliru antara vagiosis bakteria dengan jangkitan yis atau jangkitan kelamin dan ada juga yang tidak sedar mereka mengalaminya.
Memahami apa itu VB, bagaimana ia berlaku dan cara merawatnya adalah penting untuk menjaga kesihatan faraj.
Apa Itu Vaginosis Bakteria?
Vaginosis bakteria berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan dalam mikrobiom faraj (komuniti bakteria semula jadi dalam faraj).
Secara normal, faraj didominasi oleh bakteria Lactobacillus yang membantu mengekalkan persekitaran berasid dan menghalang pertumbuhan bakteria berbahaya.
Dalam kes VB, jumlah Lactobacillus berkurang dan bakteria anaerobik (yang hidup tanpa oksigen) seperti Gardnerella vaginalis, Atopobium vaginae dan lain-lain mula membiak secara berlebihan.
Perubahan ini menyebabkan gejala-gejala vaginosis bakteria.
Gejala-gejala Vaginosis Bakteria
Tidak semua individu yang mengalami VB akan menunjukkan gejala. Namun, apabila gejala-gejala berlaku, ia biasanya melibatkan:
- Lelehan faraj yang cair, berwarna kelabu atau putih
- Bau hanyir atau amis yang kuat, terutama selepas hubungan seks
- Kegatalan atau rasa tidak selesa di kawasan faraj (kurang biasa)
- Rasa pedih ketika membuang air kecil (kadangkala)
Lelehan akibat vaginosis bakteria berbeza dengan jangkitan yis (yang lebih pekat dan seperti keju) atau jangkitan kelamin tertentu (yang mungkin berwarna kehijauan).
Punca-Punca
Punca sebenar vaginosis bakteria tidak selalu jelas, tetapi beberapa faktor diketahui boleh mengganggu keseimbangan bakteria faraj:
- Aktiviti seksual: Walaupun VB bukan jangkitan kelamin, mereka yang aktif secara seksual terutama dengan pasangan baru atau ramai adalah lebih berisiko. Hubungan seks sesama wanita juga meningkatkan risiko.
- Sembur cuci faraj (douching): Amalan Ini boleh membuang bakteria baik dan mengganggu keseimbangan semula jadi.
- Penggunaan antibiotik: Antibiotik spektrum luas boleh membunuh bakteria baik dan memberi peluang bakteria berbahaya membiak.
- Kekurangan Lactobacillus: Sesetengah individu secara semula jadi mempunyai bilangan Lactobacillus yang rendah.
Penting untuk diingat bahawa VB bukan disebabkan oleh kebersihan yang buruk atau berpunca daripada tandas awam, kolam renang atau tempat tidur.
Mengapa Vaginosis Bakteria Perlu Diambil Serius
Walaupun VB biasanya tidak berbahaya, ia boleh menyebabkan komplikasi jika tidak dirawat. Antaranya adalah:
- Meningkatkan risiko jangkitan kelamin: VB memudahkan jangkitan seperti HIV, herpes, klamidia dan gonorea.
- Masalah ketika hamil: VB dikaitkan dengan kelahiran pramatang, bayi kurang berat dan keguguran.
- Penyakit radang pelvis (PID): VB boleh meningkatkan risiko PID, yang boleh menyebabkan kemandulan.
- Jangkitan selepas prosedur: Individu yang menjalani prosedur seperti pengguguran, histerektomi atau pemasangan IUD berisiko tinggi jika menghidap VB yang tidak dirawat.
Diagnosis
Doktor biasanya mendiagnosis vaginosis bakteria melalui pemeriksaan pelvis dan ujian makmal seperti:
- Swab faraj: Untuk melihat sel petunjuk (clue cells) di bawah mikroskop.
- Ujian pH: VB biasanya meningkatkan pH faraj melebihi 4.5.
- Ujian bau: Campuran bahan kimia tertentu boleh menghasilkan bau hanyir jika VB wujud.
Diagnosis sendiri sukar kerana ramai tersalah anggap ia sebagai jangkitan yis dan menggunakan ubat antifungal, yang tidak berkesan untuk VB.
Rawatan
Vaginosis bakteria biasanya dirawat dengan antibiotik, sama ada melalui mulut atau dalam bentuk krim atau gel faraj. Rawatan biasa boleh melibatkan:
- Metronidazole (Flagyl): Bentuk oral atau gel
- Clindamycin (Cleocin): Dalam bentuk krim
- Tinidazole: Ubat oral (kurang digunakan)
- Secnidazole: Ubat oral (kurang digunakan)
Adalah penting untuk anda menghabiskan rawatan penuh, walaupun gejala-gejala hilang awal. Elakkan minuman beralkohol jika anda mengambil metronidazole atau tinidazole kerana ia boleh menyebabkan loya teruk.
VB sering berulang-ulang (hingga 30% kes) dalam masa tiga bulan. Jika ia kerap berlaku, doktor mungkin cadangkan rawatan jangka panjang atau terapi penyelenggaraan.
Pencegahan
Walaupun tiada cara pasti untuk mencegah vaginosis bakteria ini, langkah berikut boleh mengurangkan risiko:
- Elakkan douching
- Guna kondom atau pelindung mulut semasa melakukan seks
- Jauhi pertukaran pasangan seksual
- Jaga kebersihan luar faraj (vulva) dengan air sahaja
- Pertimbangkan pengambilan probiotik dengan Lactobacillus
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sila berjumpa doktor jika anda mengalami:
- Lelehan atau bau yang luar biasa
- Ketidakselesaan faraj
- Gejala-gejala berulang walaupun selepas rawatan
- Kehamilan dan gejala-gejala VB
- Akan menjalani prosedur ginekologi
Kesimpulan
Vaginosis bakteria adalah masalah biasa, boleh dirawat dan boleh dikawal. Memahami punca dan gejalanya membantu anda bertindak awal dan mengelakkan komplikasi.
Jangan malu atau rasa bersalah kerana ini bukan soal kebersihan, tetapi keseimbangan bakteria. Dan yang penting, bantuan dan rawatan berkesan memang ada.
Jika anda mengalami gejala-gejala atau VB berulang, berbincanglah dengan ahli profesional kesihatan. Kesihatan faraj adalah sebahagian penting daripada kesihatan menyeluruh.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. (2023). About Bacterial Vaginosis (BV). U.S. Department of Health & Human Services.
- Cohen, C. R. et al. (2012). Bacterial vaginosis associated with increased risk of female-to-male HIV-1 transmission: a prospective cohort analysis among African couples. PLoS medicine.
- Kenyon, C. et al. (2013). The global epidemiology of bacterial vaginosis: a systematic review. American journal of obstetrics and gynecology.
- Kairys N, Carlson K, Garg M. Bacterial Vaginosis. [Updated 2024 May 6]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2025 Jan-. Available from: NCBI





