Migrain ialah sejenis sakit kepala yang boleh menyebabkan sakit berdenyut yang teruk atau sensasi berdenyut, biasanya pada sebelah kepala. Ia selalunya disertai dengan loya, muntah dan kepekaan yang melampau terhadap cahaya dan bunyi.
Sakit ini boleh berkekalan sekurang-kurangnya selama 4 jam atau beberapa hari. Kira-kira 1 daripada 4 wanita dan 1 daripada 12 lelaki mengidap migrain pada suatu masa sepanjang hayat mereka. Biasanya ia bermula dari zaman kanak-kanak atau remaja dan menjadi lebih ketara pada zaman remaja.
Sakit akibat migrain ini boleh menjadi sangat teruk sehingga menjejaskan aktiviti harian mereka yang mengalaminya.
Meskipun begitu, ubat-ubatan boleh membantu mencegah sesetengah migrain dan menjadikannya kurang menyakitkan.
Jenis-jenis
Secara umumnya, migrain boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
- Migrain dengan aura: Sakit kepala yang diawali dengan aura.
- Migrain tanpa aura: Sakit kepala yang berlaku tanpa aura. Jenis ini lebih kerap berlaku.
Aura adalah tanda amaran yang berlaku sebelum berlakunya sakit kepala.
Simptom-simptom Migrain
Migrain boleh berlaku melalui empat (4) peringkat. Walau bagaimanapun, tidak semua yang diserang akan melalui kesemua peringkat ini.
Simptom-simptom Awal
Sehari atau dua hari sebelum migrain, anda mungkin melihat perubahan halus yang memberi amaran tentang migrain yang akan datang, termasuk:
- Perubahan mood
- Sembelit
- Mengidam
- Kerap kencing
- Menguap dengan kerap
- Kekejangan leher
- Pengekalan cecair
Aura
Bagi sesetengah orang, aura mungkin berlaku sebelum atau semasa migrain. Setiap simptom biasanya bermula secara beransur-ansur, membina selama beberapa minit dan boleh bertahan sehingga 60 minit.
Antara simptom-simptom aura adalah:
- Fenomena visual, seperti melihat pelbagai bentuk, bintik terang atau pancaran cahaya
- Kehilangan penglihatan sementara waktu
- Kelemahan atau kebas pada muka atau sebelah badan
- Sensasi seperti pin dan jarum pada lengan atau kaki
- Kesukaran bercakap
Serangan
Migrain biasanya berlangsung dari 4 hingga 72 jam jika tidak dirawat. Kekerapannya berlaku berbeza-beza pada setiap orang. Ia juga mungkin jarang berlaku atau menyerang beberapa kali sebulan.
Simptom-simptom serangan migrain adalah:
- Sakit disebelah kepala
- Sakit yang berdenyut-denyut
- Sensitif terhadap cahaya atau bunyi
- Loya dan muntah
- Sakit leher
Simptom-simptom Akhir
Selepas serangan migrain, anda mungkin berasa letih, keliru dan hanyut sehingga sehari atau dua hari. Anda juga mungkin mengalami simptom-simptom seperti sakit otot, kelemahan, kurang selera makan atau mengidam makanan.
Anda juga mungkin berasa gembira atau segar yang luar biasa.
Punca Migrain
Punca yang menyebabkan migrain tidak diketahui sepenuhnya. Faktor genetik dan persekitaran mungkin memainkan peranan.
Apabila anda mengalami sakit kepala, ia adalah kerana saraf tertentu dalam saluran darah anda menghantar isyarat sakit ke otak anda. Ini menyebabkan bahan keradangan dilepaskan ke dalam saraf dan saluran darah kepala anda. Adalah tidak jelas mengapa saraf anda berbuat demikian.
Beberapa faktor pencetus yang boleh menyebabkan sakit kepala ini adalah:
- Perubahan hormon bagi wanita
- Minuman seperti alkohol atau kopi
- Tekanan (stres)
- Perubahan waktu tidur
- Rangsangan deria seperti cahaya terang, bunyi yang kuat, bau minyak wangi atau bau asap rokok
- Kemurungan, cemas, marah atau keletihan
- Ubat rawatan hormon, ubat tidur dan ubat perancang keluarga
Rawatan
Rawatan migrain bertujuan untuk menghentikan simptom-simptom dan mencegah serangan masa depan.
Banyak ubat telah direka untuk merawat migrain. Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat sakit kepala ini terbahagi kepada dua kategori utama iaitu:
- Ubat untuk melegakan kesakitan (rawatan akut)
- Ubat untuk mencegah (rawatan pencegahan)
Rawatan akut (Ubat untuk Melegakan Kesakitan)
Ubat yang digunakan untuk melegakan sakit kepala ini berfungsi paling baik apabila diambil sebaik sahaja tanda dan gejala migrain bermula. Ubat-ubat tersebut adalah:
- Ubat penahan sakit: Paracetamol, mefenamic acid, ibuprofen, diclofenac dan naproxen.
- Ubat daripada kumpulan triptan: Jika ubat penahan sakit tidak berkesan, ubat-ubatan daripada kumpulan triptan biasanya ia berkesan untuk mengurangkan atau menghilangkan sakit kepala.
- Ubat penahan muntah: Untuk loya dan muntah, pesakit boleh mengambil ubat penahan muntah. seperti metoclopramide (maxolon) dan prochlorperazine (stemetil).
- Ubat Lasmiditan (Reyvow): Ubat untuk melegakan kesakitan, loya dan kepekaan terhadap cahaya atau bunyi.
Rawatan Pencegahan
Rawatan pencegahan membantu untuk mengurangkan tahap kesakitan serta kekerapan serangan migrain. Ia diberikan apabila sakit kepala menjadi terlalu kuat atau terlalu kerap, dan mula mengganggu aktiviti seharian atau pekerjaan pesakit.
Ubat-ubatan yang diberikan sebagai rawatan pencegahan adalah:
- Pizotifen (sandomigran),
- Flunarizine (sibelium),
- Propranolol
- Sodium valproic (epilim)
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Migraine. MayoClinic
- Ratini,M. (2020). What Is Migraine? WebMD
- Cleveland Clinic medical professional. (2021). Migraine Headache. Cleveland Clinic