Kegagalan buah pinggang kronik atau lebih dikenali sebagai penyakit buah pinggang berlaku apabila fungsi buah pinggang merosot secara perlahan-lahan sehingga keupayaannya untuk menyingkir bahan buangan dan lebihan cecair daripada darah terjejas.
Saban tahun, jumlah pesakit yang menghidap penyakit ini di Malaysia dilaporkan semakin meningkat.
Peningkatan ini membimbangkan kerana penyakit ini sering digelar sebagai “penyakit senyap”, memandangkan gejala yang lazimnya dialami tidak disedari dari peringkat awal dan hanya dapat dikesan apabila keadaan telah menjadi semakin serius.
Gejala penyakit buah pinggang kronik termasuklah keletihan, kesukaran untuk tidur, kurang selera makan, kekejangan otot, bengkak dan sembap serta sesak nafas.
Kemerosotan fungsi buah pinggang dapat diperlahankan sekiranya penyakit ini dikesan pada peringkat awal dan pesakit menerima rawatan serta intervensi yang sewajarnya.
Langkah ini juga penting bagi memperlahankan berlakunya komplikasi berkaitan penyakit buah pinggang kronik.
Antara komplikasi yang boleh berlaku termasuklah masalah kardiovaskular, anemia serta gangguan berkaitan mineral dan tulang.
Bagi memperlahankan kemerosotan fungsi buah pinggang, beberapa perkara perlu diberi perhatian, terutamanya dengan memastikan tekanan darah serta paras gula dan kolesterol dalam darah sentiasa terkawal.
Bagi mencapai tujuan ini, terdapat beberapa kumpulan ubat dengan mekanisme tindakan khusus yang digunakan untuk membantu mengawal perkara-perkara tersebut.
Ubat Untuk Mengawal Tekanan Darah
Pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sering mengalami masalah pengumpulan cecair di dalam badan yang disebabkan oleh proses penyingkiran lebihan garam yang terjejas.
Keadaan ini seterusnya meningkatkan tekanan darah. Oleh sebab itu, pengambilan ubat untuk mengawal tekanan darah adalah penting untuk mengekalkan bacaan tekanan darah berada dalam julat sasaran.
Contoh ubat-ubatan yang digunakan termasuklah:
- Kumpulan angiotensin-converting enzyme inhibitor (ACEi), seperti perindopril dan enalapril
- Kumpulan angiotensin II receptor blocker (ARB), seperti losartan dan telmisartan
- Kumpulan calcium channel blockers (CCB), seperti verapamil
- Kumpulan aldosterone antagonists, seperti spironolactone
Ubat Untuk Mengawal Paras Gula Dalam Darah
Beberapa kumpulan ubat-ubatan antidiabetes boleh digunakan untuk mengawal paras gula dalam darah untuk membantu sasaran HbA1c dicapai.
HbA1c merupakan purata paras gula dalam darah bagi tempoh tiga bulan sebelum. Sasaran HbA1c bagi pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang kronik yang turut menghidap diabetes ialah kurang daripada 7%.
Sasaran ini penting untuk dicapai bagi mengelakkan fungsi buah pinggang daripada terus terjejas.
Contoh ubat antidiabetes yang boleh digunakan ialah:
- Kumpulan GLP-1 receptor agonist, seperti liraglutide
- Kumpulan sodium-glucose co-transporter 2 (SGLT-2) inhibitor, seperti empagliflozin
- Kumpulan biguanide, seperti metformin
- Kumpulan dipeptidyl peptidase-4 (DPP-4) inhibitor, seperti vildagliptin
- Insulin rekombinan
Ubat Untuk Mengawal Paras Kolesterol Dalam Darah
Ubat antikolesterol diberikan kepada pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sebagai satu daripada pencegahan bagi penyakit jantung.
Ubat antikolesterol berfungsi untuk mengawal paras kolesterol bagi mengelakkan pembentukan mendapan lemak pada dinding salur darah.
Sekiranya terdapat mendapan lemak, salur darah akan menjadi sempit atau tersumbat dan menyukarkan aliran darah ke seluruh badan.
Antara contoh ubat antikolesterol ialah:
- Kumpulan HMG-CoA reductase inhibitor, seperti atorvastatin
- Kumpulan fibric acid derivative, seperti fenofibrate
- Kumpulan cholesterol absorption inhibitor, seperti ezetimibe
Ubat Untuk Mengelakkan Pembekuan Darah
Ubat antiplatelet atau lebih dikenali sebagai ubat pencair darah seperti aspirin turut diberikan kepada pesakit masalah buah pinggang kronik untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
Aspirin hanya digunakan kepada pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang kronik yang pernah mengalami masalah kardiovaskular.
Ubat ini tidak digunakan sebagai langkah pencegahan awal bagi individu yang belum pernah mengalami penyakit tersebut.
Aspirin bertindak menghalang penggumpalan platelet yang boleh menyebabkan pembekuan darah secara tidak normal, seterusnya mengelakkan salur darah tersumbat oleh gumpalan darah beku.
Melalui mekanisme ini, risiko kejadian serius seperti serangan jantung dan strok dapat dikurangkan.
Ubat Untuk Mengelakkan Anemia
Individu dengan penyakit buah pinggang kronik berisiko mengalami komplikasi anemia. Anemia ditakrifkan sebagai keadaan apabila kepekatan hemoglobin kurang daripada 13 g/dL bagi lelaki dan kurang daripada 12 g/dL bagi wanita.
Hemoglobin ialah protein dalam sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen ke seluruh badan.
Bagi pesakit penyakit buah pinggang kronik, sasaran paras hemoglobin yang optimum ialah antara 10.0 g/dL hingga 12.0 g/dL.
Walau bagaimanapun, sasaran ini perlu ditentukan secara individu berdasarkan gejala yang dialami serta penyakit lain yang dihidapi oleh pesakit.
Apabila paras hemoglobin rendah, zat besi tambahan diperlukan bagi membantu pembentukan hemoglobin yang mencukupi.
Di fasiliti kesihatan di Malaysia, terdapat beberapa sediaan zat besi yang boleh diberikan sama ada dalam bentuk oral atau suntikan.
Antara contoh ubat oral ialah ferrous fumarate, manakala contoh ubat suntikan ialah iron sucrose.
Ubat Untuk Mengelakkan Masalah Berkaitan Mineral Dan Tulang
Sesetengah pesakit masalah buah pinggang kronik lebih mudah mengalami tulang rapuh dan patah berbanding individu yang sihat akibat ketidakseimbangan mineral di dalam badan, termasuk kalsium dan fosfat.
Apabila fungsi buah pinggang merosot, rembesan hormon paratiroid (PTH) yang berlebihan menyebabkan lebih banyak kalsium disingkirkan daripada tulang. Pada masa yang sama, buah pinggang gagal menyingkirkan fosfat berlebihan daripada darah.
Ubat calcitriol atau analog vitamin D seperti alfacalcidol boleh diberikan untuk mengurangkan paras hormon paratiroid dalam badan.
Rawatan bagi masalah berkaitan mineral dan tulang bertujuan untuk menurunkan paras fosfat dan mengekalkan paras kalsium dalam darah.
Salah satu ubat yang digunakan ialah phosphate binder seperti calcium carbonate. Ubat ini diambil secara oral dan dikunyah bersama-sama makanan.
Kaedah pengambilan yang betul memastikan calcium carbonate dapat mengikat fosfat yang terdapat dalam makanan untuk membentuk sebatian tidak larut.
Sebatian ini kemudiannya disingkirkan daripada badan dan penyerapan fosfat ke dalam darah dapat dikurangkan.
Nasihat Untuk Pesakit
Kepatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan merupakan asas kepada kejayaan rawatan sesuatu penyakit termasuk penyakit buah pinggang kronik.
Apabila ubat diambil mengikut dos, cara dan masa yang betul seperti diarahkan, keberkesanan rawatan dapat dioptimumkan.
Tahap kepatuhan yang baik membantu mengelakkan kemerosotan fungsi buah pinggang dan mengurangkan risiko komplikasi.
Komunikasi berterusan dengan doktor atau ahli farmasi amat penting bagi menangani sebarang kekeliruan atau masalah berkaitan rawatan.
Pesakit juga digalakkan hadir ke setiap janji temu perubatan yang telah dijadualkan untuk membolehkan pemantauan dan pengurusan rawatan yang lebih berkesan.
Selain kepatuhan terhadap pengambilan ubat, perubahan gaya hidup juga memainkan peranan penting dalam melindungi buah pinggang.
Amalan sihat seperti berhenti merokok, menurunkan berat badan dan mengamalkan diet rendah garam dapat membantu mengelakkan fungsi buah pinggang daripada terjejas.
Selain itu, pesakit juga perlu mengelakkan pengambilan bahan atau ubat yang berpotensi merosakkan buah pinggang (nephrotoxic agents).
Secara keseluruhannya, masalah buah pinggang kronik boleh dicegah dan dikawal sekiranya dapat dikesan lebih awal.
Pesakit hendaklah sentiasa patuh terhadap pengambilan ubat-ubatan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mengekalkan fungsi buah pinggang.
Rujukan
- Ahmad Rodzi TH.(2024). Malaysia kini di ambang krisis penyakit buah pinggang [Internet]. Berita Harian.
- Malaysia Clinical Practice Guidelines, Management of Chronic Kidney Disease. 2nd Ed. Putrajaya: Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan Malaysia; 2018.
- National Action Plan for Healthy Kidneys (ACT-KID) 2018-2025. 1st Ed. Putrajaya: Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Kementerian Kesihatan Malaysia; 2018
- Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2018, Shah Alam: Institut Kesihatan Umum, Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia; 2018.
- Wong, H. et al. (2019). Panduan Lengkap untuk Pesakit Buah Pinggang. 1st Ed, Gujarat: Samarpan Kidney Foundation.
- Nephrology MTAC Protocol 2019. Petaling Jaya: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia; 2019
- Kidney Disease: Improving Global Outcomes (KDIGO) 2024 Clinical Practice Guideline for the Evaluation and Management of Chronic Kidney Disease. Kidney Int. 2024;105(4S):S117-S314.
- Kidney Disease: Improving Global Outcomes (KDIGO) 2017 Clinical Practice Guideline Update for the Diagnosis, Evaluation, Prevention, and Treatment of Chronic Kidney Disease–Mineral and Bone Disorder (CKD-MBD). Kidney Int Suppl. 2017;7(1):1-59.
- Kidney Disease: Improving Global Outcomes (KDIGO) 2025 Clinical Practice Guideline For Anemia In Chronic Kidney Disease (CKD). Kidney Int Suppl. 2012;2(4):279–335.





