Sindrom usus rengsa lebih dikenali sebagai Irritable Bowel Syndrome (IBS), ialah satu keadaan kesihatan kronik yang memberi kesan kepada sistem penghadaman.
Ia bukan sekadar masalah cirit-birit atau sembelit biasa, tetapi suatu gangguan yang menyebabkan sakit perut, kembung, perubahan dalam tabiat membuang air besar dan ketidakselesaan jangka panjang.
Walaupun IBS tidak menyebabkan kerosakan kekal pada saluran usus atau meningkatkan risiko kanser, gejala yang berulang boleh mengganggu kualiti hidup jika tidak diurus dengan baik.
Untuk membantu rawatan menjadi lebih tepat, doktor sering mengklasifikasikan IBS kepada beberapa jenis berdasarkan corak membuang air besar yang dialami pesakit.
Memahami jenis IBS yang anda hadapi membantu merangka strategi rawatan dan pengurusan yang lebih berkesan.
Apa Itu IBS?
IBS ialah gangguan fungsi usus di mana usus tidak berfungsi secara konsisten. Fungsinya berbeza daripada orang norma, kadang-kadang bergerak terlalu cepat, kadang-kadang pula terlalu perlahan.
Ini menyebabkan gejala seperti kembung, sakit perut, cirit-birit, sembelit atau gabungan cirit-birit dan sembelit.
Penting untuk diketahui bahawa IBS berbeza daripada penyakit radang usus seperti inflammatory bowel disease (IBD).
Dalam IBS, tidak terdapat keradangan atau kerosakan fizikal yang serius pada saluran usus, tetapi otot dan saraf di dalam usus berfungsi secara tidak normal.
3 Jenis IBS yang Utama
1. IBS dengan Cirit-Birit (Diarea) (IBS-D)
Jenis IBS ini berlaku apabila najis longgar atau berair berlaku lebih kerap daripada najis keras. Individu dengan IBS-D biasanya mengalami:
- Najis yang kerap dan berair.
- Rasa mendesak untuk membuang air besar.
- Kekejangan perut yang sering lega selepas membuang air.
- Gas dan kembung yang sukar dikawal.
Pada hari gejala aktif, lebih daripada 25% najis adalah longgar atau berair.
IBS-D sering dikaitkan dengan usus yang bergerak terlalu cepat, menyebabkan badan tidak sempat menyerap air dari najis.
Ini boleh dipengaruhi oleh perubahan mikrobiota usus, intoleransi makanan atau tekanan emosi.
2. IBS dengan Sembelit (IBS-C)
IBS-C berlaku apabila seseorang mengalami:
- Najis keras dan kering yang sukar dikeluarkan.
- Sering kurang daripada tiga kali membuang air besar seminggu.
- Rasa tidak puas selepas membuang air.
Pada hari gejala aktif, lebih daripada 25% najis adalah keras atau berbentuk ketulan.
IBS-C biasanya disebabkan oleh usus yang bergerak terlalu perlahan, membenarkan lebih banyak air diserap daripada najis.
Diet rendah serat, kurang minum air dan sensitif kepada makanan tertentu boleh memburukkan lagi keadaan ini.
3. IBS dengan Corak Campuran (IBS-M)
IBS-M ialah bentuk di mana seseorang mengalami keduanya cirit-birit dan sembelit pada masa yang berbeza.
Dalam keadaan ini, lebih daripada 25% najis boleh keras pada satu masa dan berair pada masa lain.
Gejala-gejala seperti kembung, gas dan ketidakselesaan boleh berubah-ubah, menjadikannya lebih mencabar untuk diramal dan diurus.
Faktor pemakanan, tekanan dan perubahan dalam corak hidup sering menjadi pencetus kepada gejala.
4. IBS Tak Berkelas (IBS-U)
Sesetengah panduan tambahan juga menyebut IBS-U (Unclassified) untuk mereka yang mempunyai gejala-gejala yang menepati kreteria umum IBS tetapi tidak cukup jelas untuk dimasukkan dalam tiga kategori di atas.
Bagaimana Doktor Mendiagnosis IBS?
Diagnosis IBS biasanya dibuat melalui sejarah perubatan, perbualan tentang gejala-gejala dan mengasingkan masalah lain seperti penyakit radang usus dan intoleransi makanan.
Tidak ada satu ujian darah atau imbasan yang boleh menentukan IBS secara pasti.
Doktor mungkin menggunakan Rome criteria atau Bristol stool scale untuk menilai corak najis dan membantu menentukan jenis-jenis IBS.
Skala Bristol membahagikan najis kepada tujuh jenis, dari keras ke berair, membantu dalam mengklasifikasikan jenis IBS seseorang.
Apakah Punca IBS?
Punca sebenar IBS masih belum difahami sepenuhnya, tetapi beberapa faktor dipercayai menyumbang:
- Perubahan mikrobiota usus atau dysbiosis.
- Sensitiviti saraf usus yang meningkat (visceral hypersensitivity).
- Hubungan otak-usus (gut-brain axis) yang terlalu sensitif.
- Faktor diet seperti intoleransi terhadap FODMAP (karbohidrat yang sukar dicerna).
- Tekanan emosi dan psikologi.
IBS juga kadang-kadang muncul selepas jangkitan usus yang teruk, dikenali sebagai post-infectious IBS.
Rawatan dan Pengurusan IBS
IBS tidak boleh disembuhkan sepenuhnya, tetapi gejala-gejala boleh dikawal dengan baik melalui pelbagai pendekatan:
1. Perubahan Diet
- Diet rendah FODMAP sering membantu mengurangkan gejala.
- Menambah serat larut (seperti daripada oats dan buah-buahan tertentu) boleh membantu sembelit, tetapi serat tidak sesuai untuk semua orang.
2. Pengurusan Stres
Oleh sebab sistem usus dan otak saling berkait, teknik seperti meditasi, latihan pernafasan dan psikoterapi boleh membantu mengurangkan gejala yang dipicu oleh stres.
3. Ubat-ubatan dan Suplemen
- Bagi IBS-D, ubat antidiarea seperti loperamide kadang-kadang digunakan.
- Bagi IBS-C, suplemen serat larut dan ubat pelawas tertentu boleh membantu.
- Minyak pudina, probiotik dan magnesium juga kadang-kadang digunakan untuk melegakan gejala.
Bilakah Perlu Jumpa Doktor?
Sementara IBS boleh dikendalikan, dapatkan nasihat doktor jika:
- Gejala bertambah teruk atau berterusan.
- Terdapat darah dalam najis, demam atau penurunan berat badan yang tidak dijelaskan.
- Simptom baru muncul selepas umur 50 tahun.
Kesimpulan
Sindrom usus rengsa adalah gangguan penghadaman yang biasa tetapi boleh menjejaskan kualiti hidup jika tidak diuruskan dengan betul.
Dengan mengetahui jenis IBS yang dialami sama ada cirit-birit, sembelit atau corak campuran dan memahami pilihan rawatan yang sesuai, ramai orang dapat mengurangkan gejala-gejala dan hidup dengan lebih selesa.
Rujukan
- Cleveland Clinic. 2023. Irritable Bowel Syndrome (IBS).
- Paulo C. Gómez-Castaños.(2025). Irritable bowel syndrome classification and subtypes. Clínicas de Gastroenterología de México.
- Nathani RR, Sodhani S, Goosenberg E. Irritable Bowel Syndrome. [Updated 2025 Nov 30]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2025 Jan-. Available from: NCBI





