Timun batang mungkin tidak asing lagi bagi kita. Tetapi tahukah kita akan khasiat timun batang ini? Sebenarnya, timun batang adalah buah walaupun selalu dianggap sayur.
Timun batang berasal dari keluarga Cucurbitaceae iaitu keluarga yang sama dengan buah tembikai, labu kuning, rock melon dan lain-lain lagi.
Nama saintifik bagi timun batang ialah Cucumis sativus. Timun batang dikatakan berasal dari tanah India kira-kira 10 000 tahun dahulu.
Timun ini juga mahsyur pada zaman ketamadunan Mesir, Greece dan Rome. Kini, timun batang ini ditanam dimerata-rata tempat di seluruh dunia.
Berikut adalah beberapa khasiat timun batang yang boleh dimanfaatkan oleh pemakannya:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Timun batang adalah buah yang rendah kalori dan tinggi kandungan air.
Dalam 100g timun batang ini terdapat:[1]
- Air: 95.2%
- Kalori/Tenaga: 15 kcal
- Protein: 0.65 gram
- Lemak: 0.11 gram
- Karbohidrat: 3.63 gram
- Kalsium: 16 miligram
- Zat besi: 0.28 miligram
- Magnesium: 13 miligram
- Fosforus: 24 miligram
- Kalium: 147 miligram
- Vitamin C: 2.8 miligram
- Folat: 7 mikrogram
- Vitamin A: 5 mikrogram
- Vitamin K: 16.4 mikrogram
Selain itu, timun batang turut mengandungi beberapa nutrien lain seperti vitamin B, vitamin E, mineral zink, tembaga, dan selenium.
Untuk mendapatkan nutrien semaksimum mungkin dari timun batang ini, ia harus dimakan bersama-sama kulitnya.
2. Boleh Membantu Menghidratkan Badan
Kandungan air yang tinggi dalam buah ini sangat berguna untuk menghidratkan badan kita.
Sekiranya seseorang itu kurang minum air, pengambilan buah timun batang ini boleh menyokong sedikit sebanyak keperluan air dalam badan dan mengelakkan dehidrasi.
Selain itu, kekal terhidrat dapat mengelakkan kita daripada mendapat masalah kesihatan yang berkaitan dengan perut seperti sembelit, batu karang dan lain-lain lagi.
3. Kaya dengan Antioksidan
Khasiat timun batang turut merangkumi kandungan antioksidannya.
Antioksidan ialah sebatian yang menghalang tekanan oksidatif, iaitu tindak balas kimia yang disebabkan kandungan radikal bebas yang berlebihan.
Radikal bebas dan tekanan oksidatif dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit kronik.
Satu kajian makmal mendapati timun batang mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai flavonoid dan tannin. Kedua-dua antioksidan ini bertanggungjawab dalam meneutralkan radikal bebas dari menyebabkan kerosakan. [2]
4. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Timun batang ini berkhasiat untuk penghidap kencing manis atau diabetes.
Kajian makmal terhadap haiwan mendapati timun batang adalah antara buah yang berkesan dalam membantu menurun dan mengawal paras gula darah. [3]
Kajian lain yang turut dijalankan terhadap haiwan turut mendapati kulit timun batang boleh menterbalikkan hampir kesemua perubahan yang disebabkan oleh diabetes dan merendahkan paras gula dalam darah.[4]
5. Baik untuk Kesihatan Kulit
Terdapat kajian yang mendapati timun batang mempunyai khasiat untuk kecantikan kulit.
Selain kandungan antioksidannya yang boleh melindungi kulit daripada radikal bebas, timun batang juga mempunyai kemampuan seperti pemutih kulit, antijerawat dan melindungi kulit dari sinaran UV. [5]
Selain itu,hirisan timun batang yang diletakkan dipermukaan kulit juga boleh menyejuk dan melegakan kulit daripada bengkak atau iritasi.
6. Baik untuk Kesihatan Jantung
Timun batang juga tinggi dengan kandungan kalium (potassium) dan magnesium. Dua nutrien ini amat penting untuk kesihatan jantung.
Kalium mempunyai peranan penting dalam fungsi otot termasuklah menenangkan dinding salur darah.
Selain itu, kalium mengurangkan kesan negatif garam (sodium) seterusnya mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Manakala magnesium pula turut membantu mengawal sistem badan termasuklah tekanan darah, gula dalam darah, fungsi otot dan saraf.
Magnesium membantu menenangkan salur darah, penghasilan tenaga dan pembentukan tulang. Kekurangan magnesium turut dikaitkan dengan deyutan jantung yang tidak tetap. [6]
Senang untuk dimakan
Timun batang adalah antara makanan yang senang untuk dimakan dan dijadikan salad. Selain dimakan segar, timun juga turut dijeruk.
Kandungan kalorinya yang rendah menjadikan timun batang antara pilihan makanan yang sesuai kepada mereka yang ingin menurunkan berat badan.
Rumusan
Timun batang adalah pilihan makanan yang sihat dan menyegarkan yang harus dimanfaatkan oleh kita.
Manfaatkan khasiat timun batang ini untuk kesihatan jantung, paras gula dalam darah, kulit dan untuk fungsi tubuh badan yang lain.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Kumar, D. et al. (2010). Free Radical Scavenging and Analgesic Activities of Cucumis sativus L. Fruit Extract. Journal of young pharmacists.
- Roman-Ramos, R. et al. (1995). Anti-hyperglycemic effect of some edible plants. Journal of ethnopharmacology.
- Dixit, Y., & Kar, A. (2010). Protective role of three vegetable peels in alloxan induced diabetes mellitus in male mice. Plant foods for human nutrition.
- Murad, H. (n.d.). EVALUATING THE POTENTIAL BENEFITS OF CUCUMBERS FOR IMPROVED HEALTH AND SKIN CARE. The Journal of Aging Research & Lifestyle.
- Wills M. R. (1986). Magnesium and potassium. Inter-relationships in cardiac disorders. Drugs.