Khasiat labu kuning merangkumi sistem dalaman badan dan juga luaran. Labu kuning juga kaya dengan vitamin dan mineral penting disamping kandungan kalorinya yang rendah.
Labu kuning berasal dari Amerika Utara dan tergolong dalam keluarga Cucurbitaceae. Sesetengah berpandangan labu ialah sayuran. Namun, secara saintifiknya, labu ialah buah kerana mempunyai biji benih.
Labu kuning juga banyak digunakan dalam masakan. Contohnya seperti digunakan dibuat cucur labu, labu masak lemak, kek labu dan lain-lain lagi.
Berikut adalah 8 khasiat labu kuning yang menakjubkan:
1. Tinggi dengan Vitamin A dan Nutrien Lain
Profil nutrien labu kuning agak menarik. Dalam 100 gram buah ini, terdapat :
- Tenaga: 26 kcal
- Protein: 1 gram
- Karbohidrat: 6.5 gram
- Serat: 0.5 gram
- Kalsium: 21 miligram
- Magnesium: 12 miligram
- Fosforus: 44 miligram
- Kalium: 340 miligram
- Tembaga: 0.127 miligram
- Mangan: 0.125 miligram
- Vitamin C: 9 miligram
- Folat: 16 mikrogram
- Vitamin A: 426 mikrogram
Selain itu, labu juga mempunyai sejumlah kecil vitamin-vitamin B , selenium, zat besi dan juga zink.
Buah labu kuning juga tinggi dengan kandungan air iaitu kira-kira 92% atau 92 mililiter bagi 100 gram buah ini.
2. Kaya dengan Antioksidan
Radikal bebas berlebihan dalam badan boleh mengakibatkan tekanan oksidatif yang seterusnya membawa kepada penyakit kronik atau berbahaya seperti kanser dan penyakit jantung. [1]
Antioksidan ialah sebatian yang boleh meneutralkan radikal bebas ini yang seterusnya boleh mencegah daripada berlakunya tekanan oksidatif.
Buah labu kuning ini tinggi dengan antioksidan seperti seperti alfa-karotena, beta-karotena, lutein dan zeaxantin.
3. Baik untuk Kesihatan Mata
Seperti lobak merah, buah labu kuning juga baik untuk kesihatan mata.
Kandungan lutein dan zeaxantin yang tinggi dalam buah labu ini sangat bermanfaat kepada mata.
Kajian mendapati, lutein dan zeaxantin boleh mengurangkan risiko penyakit degenerasi makular berkaitan usia dan katarak. [2, 3]
Selain itu, vitamin A dalam buah labu ini juga berguna untuk mencegah rabun malam atau buta. [4, 5]
4. Boleh Mengurangkan Risiko Terkena Kanser
Antioksidan dalam buah labu bertindak sebagai peneutral radikal bebas, seterusnya mengurangkan risiko terjadinya kanser.
Analisis terhadap 13 kajian mendapati pengambilan alfa-karotena dan beta-karotena yang tinggi dapat mengurangkan risiko kanser gastrik (kanser perut). [6]
Di samping itu, terdapat juga analisis dan kajian lain yang mengaitkan peranan karotenoid dalam mengurangkan risiko kanser payudara, kanser pankreas, dan kanser tekak. [7, 8, 9]
5. Bermanfaat untuk Kesihatan Jantung
Kandungan kalium, vitamin C dan serat diet dalam buah labu kuning ini berkhasiat untuk kesihatan jantung.
Sebagai contoh, satu analisis mendapati pengambilan kalium (potassium) yang tinggi iaitu kira-kira 3,500 miligram sehari boleh menurunkan risiko strok. [10]
Kajian oleh pengkaji di Harvard School of Public Health terhadap 43, 757 lelaki dewasa mendapati, mereka yang mengambil serat diet yang tinggi dalam diet harian 40% kurang berisiko terkena penyakit jantung koronari. [11]
6. Boleh Meningkatkan Kekuatan Sistem Imun
Labu kuning juga tinggi dengan beta-karotena. Beta-karotena ditukar oleh badan untuk menghasilkan vitamin A.
Kajian menunjukkan vitamin A boleh menguatkan sistem imun dan melawan jangkitan. Sebaliknya, mereka yang kekurangan vitamin A mempunyai sistem imun yang lemah. [12]
Labu kuning juga mengandungi vitamin C, yang boleh membantu meningkatkan penghasilan sel-sel darah putih. Sel-sel darah putih membantu sel imun bekerja dengan efektif dan mempercepatkan penyembuhan luka. [13]
7. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Selain sarat dengan nutriennya, buah labu kuning juga boleh dikategorikan sebagai makanan yang mesra dengan mereka yang berdiet untuk kurus.
Dalam 100 gram buah labu ini hanya terdapat 26 kalori dan buah ini sangat tinggi dengan kandungan air iaitu 92%.
Kandungan karbohidrat buah ini juga rendah iaitu hanya 6.5 gram.
Kandungan air yang tinggi dan juga serat boleh membuatkan kita kenyang lebih lama dan seterusnya mengurangkan pengambilan makanan.
Rumusan
Khasiat labu kuning tidak dapat dinafikan lagi. Kajian-kajian telah menunjukkan khasiat labu kuning kepada kesihatan kita seperti kesihatan jantung, antikanser, kesihatan mata, dan juga sistem imun.
Secara umumnya, labu kuning selamat untuk dimakan untuk semua orang. Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah individu yang alergi terhadap labu ini.
Untuk mendapatkan manfaat sebenar buah labu kuning ini, masakan atau menu yang menggunakan labu ini haruslah rendah dengan kandungan gula.
Rujukan
- Khansari, N. et al. (2009). Chronic inflammation and oxidative stress as a major cause of age-related diseases and cancer. Recent patents on inflammation & allergy drug discovery.
- Seddon, J. M. et al. (1994). Dietary carotenoids, vitamins A, C, and E, and advanced age-related macular degeneration. Eye Disease Case-Control Study Group. JAMA.
- Gao, S. et al. (2011). Lutein and zeaxanthin supplementation reduces H2O2-induced oxidative damage in human lens epithelial cells. Molecular vision.
- Lanska D. J. (2015). Vitamin A-Deficiency Eye Disease Among Soldiers in the U.S. Civil War: Spectrum of Clinical Disease. Military medicine.
- Sommer A. (2014). Preventing blindness and saving lives: the centenary of vitamin A. JAMA ophthalmology.
- Zhou, Y. et al. (2016). Association of carotenoids with risk of gastric cancer: A meta-analysis. Clinical nutrition.
- Hu, F. et al. (2012). Carotenoids and breast cancer risk: a meta-analysis and meta-regression. Breast cancer research and treatment.
- Huang, X. et al. (2016). Association between vitamin A, retinol and carotenoid intake and pancreatic cancer risk: Evidence from epidemiologic studies. Scientific reports.
- Ge, X. X. et al. (2013). Carotenoid intake and esophageal cancer risk: a meta-analysis. Asian Pacific journal of cancer prevention.
- Vinceti, M. et al. (2016). Meta-Analysis of Potassium Intake and the Risk of Stroke. Journal of the American Heart Association.
- Rimm, E. B. et al. (1996). Vegetable, fruit, and cereal fiber intake and risk of coronary heart disease among men. JAMA.
- Huang, Z. et al. (2018). Role of Vitamin A in the Immune System. Journal of clinical medicine.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.