Pucuk ubi kayu lazimnya dijadikan ulam atau kerabu oleh masyarakat setempat. Pucuk ubi kayu mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Justeru itu, artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai khasiat pucuk ubi kayu dan bahaya atau ketoksikan yang wujud.
Ubi kayu atau nama saintifiknya Manihot esculenta adalah tumbuhan berubi yang menjadi sumber makanan yang penting bagi negara-negara seperti Nigeria, Cameroon, Gabon, Congo dan Uganda. Ubi kayu juga turut dimakan di negara-negara Asia seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Selain ubi kayu, pucuk ubi kayu juga turut dimakan dan digunakan dalam perubatan tradisional. Pucuk ubi kayu digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat demam, sakit kepala, buasir dan sakit sendi.
1. Kaya dengan Pelbagai Nutrien Penting
Pucuk ubi kayu turut mengandungi nutrien-nutrien penting yang bermanfaat untuk badan.
Bagi 100 gram pucuk ubi kayu, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1, 2]
- Tenaga/Kalori: 56 kcal
- Protein: 6.6 gram
- Lemak: 1.1 gram
- Karbohidrat: 4.8 gram
- Serat diet: 2 gram
- Kalsium: 215 miligram
- Zat besi: 1.1 miligram
- Fosforus: 35 miligram
- Kalium: 23 miligram
- Vitamin C: 192 miligram
- Vitamin B1: 0.14 miligram
- Vitamin B2: 0.36 miligram
- Vitamin B3: 1.5 miligram
- Vitamin A: 582 mikrogram
Pucuk ubi kayu juga turut mengandungi mineral tembaga, zink dan mangan.
Profil nutrisi pucuk ubi kayu ini menunjukkan pucuk ubi kayu tinggi dengan kandungan protein, serat diet, kalsium, vitamin C dan vitamin A.
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang boleh membantu melindungi badan daripada radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Pucuk ubi kayu juga turut mengandungi antioksidan. Selain vitamin C, kajian juga turut mendapati pucuk ubi kayu mengandungi antioksidan yang lain seperti tanin, antosianidin, robinin, kuersetin dan nicotiflorin. [3]
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak pucuk atau daun ubi kayu menyebabkan peningkatan yang ketara terhadap enzim-enzim antioksidan dalam darah. Ini menunjukkan pucuk atau daun ubi kayu berpotensi menjadi sumber antioksidan. [4]
3. Bersifat Antiradang
Keradangan adalah tindak balas normal badan manusia apabila berlaku jangkitan atau kecederaan. Namun begitu, keradangan yang berpanjangan adalah tidak baik untuk kesihatan.
Oleh itu, pemakanan makanan seperti pucuk ubi kayu yang bersifat antiradang boleh mengurangkan keradangan yang berlaku.
Sifat antiradang pucuk ubi kayu ini dipercayai disumbang oleh kandungan tanin, flavonoid, dan terpenoid di dalamnya. [5]
4. Boleh Mencegah Cirit-birit
Pucuk ubi kayu juga berkhasiat dalam membantu mencegah cirit-birit atau diarea.
Khasiat pucuk ubi kayu ini dapat dilihat dalam satu kajian yang mendapati ekstrak daun ubi kayu menunjukkan aktiviti antidiarea dengan mengurangkan pengumpulan cecair dalam usus dan mengurangkan pergerakan dalam usus. [6]
5. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Pemakanan pucuk ubi kayu juga turut berkhasiat dalam membantu menguatkan sistem imun.
Khasiat ini disumbang oleh kandungan vitamin C yang tinggi dalam pucuk ubi kayu. Vitamin C menyumbang kepada pertahanan imun dengan menyokong pelbagai fungsi sel-sel sistem imun.
Kajian menunjukkan bahawa kekurangan vitamin C boleh menjejaskan keimunan dan meningkatkan risiko kepada jangkitan. Pengambilan vitamin C juga didapati boleh mencegah dan merawat jangkitan sistemik dan jangkitan pernafasan. [7]
6. Baik untuk Kesihatan Kulit
Kandungan vitamin C yang tinggi dalam pucuk ubi kayu juga boleh menyumbang kepada kesihatan kulit.
Vitamin C mempunyai peranan penting dalam membantu penghasilan kolagen. Kolagen ialah protein dalam badan yang menyediakan struktur kepada kulit, membantu menguatkan tulang dan membantu dalam pembekuan darah.
Vitamin C juga bertindak sebagai antioksidan yang boleh melindungi kulit daripada radikal bebas yang boleh merosakkan kulit.
Tambahan lagi, vitamin C juga boleh melambatkan penuaan kulit akibat daripada sinaran UV atau pencemaran.
7. Baik untuk Kesihatan Tulang
Pucuk ubi kayu juga turut baik untuk kesihatan tulang.
Khasiat pucuk ubi kayu ini disumbang oleh kandungan kalsium yang tinggi. 100 gram pucuk ubi kayu boleh membekalkan kira-kira 21% kalsium yang diperlukan setiap hari oleh individu dewasa di Malaysia.
Kalsium adalah mineral yang paling banyak disimpan di dalam tulang dan gigi. Mineral ini menyokong kekuatan dan struktur tulang dan gigi.
Kekurangan pengambilan kalsium boleh mendedahkan seseorang itu kepada osteoporosis (kerapuhan tulang) atau tulang retak.
8. Boleh Membantu Merawat Demam
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian moden juga turut mendapati pucuk atau daun ubi kayu boleh membantu merawat demam.
Khasiat pucuk ubi kayu ini dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Pengambilan ekstrak daun ubi kayu didapati mempunyai kesan penurunan suhu badan yang setanding dengan kesan yang ditunjukkan oleh ubat paracetamol. [5]
9. Baik untuk Kesihatan Mata
Kandungan vitamin A yang tinggi dalam daun atau pucuk ubi kayu juga boleh menyumbang kepada kesihatan mata.
Vitamin A memainkan peranan penting dalam mengekalkan kornea mata yang jernih.
Vitamin A juga merupakan salah satu komponen kepada rodopsin iaitu protein di dalam mata yang membenarkan anda melihat dalam keadaan yang kurang cahaya.
Kekurangan vitamin A yang banyak berlaku di negara-negara membangun boleh menyebabkan xeroptalmia. Xeroptalmia ini adalah penyakit mata yang berperingkat yang bermula dengan rabun malam dan bertambah teruk sehinggakan menyebabkan buta.
Ketoksikan atau Risiko serta Cara Mengatasinya
Ubi kayu dan daun ubi kayu mengandungi sebatian antinutrien seperti sianida, nitrat, asid fitik dan oksalat.
Sianida adalah toksik yang terdapat pada ubi kayu dan daun ubi kayu. Kandungan sianida ini berbeza-beza mengikut jenis ubi kayu. Ubi kayu jenis pahit mempunyai kandungan sianida yang lebih tinggi berbanding jenis yang tidak pahit.
Daun ubi kayu mengandungi sianida pada kadar 53-1300 mg bagi setiap kilogram berat kering. Pengambilan sianida pada kadar 50-100 mg boleh menyebabkan keracunan. [8]
Gabungan antara sianida dan nitrat pula boleh meningkatkan risiko kepada kanser perut.
Asid fitik pula adalah antinutrien yang boleh mengganggu penyerapan nutrien seperti magnesium, kalsium, zat besi dan zink.
Manakala, oksalat pula boleh mengganggu penyerapan kalsium dan magnesium. Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang melaporkan bahawa paras oksalat dalam daun ubi kayu tidak menjejaskan penyerapan kalsium. [9]
Sebenarnya beberapa kaedah yang diamalkan secara tradisional boleh menyingkirkan racun yang terdapat dalam daun ubi kayu.
Sebagai contoh, kaedah menumbuk atau menghancurkan daun ubi kayu diikuti dengan merebusnya di dalam air boleh menghilangkan kira-kira 97% sianida dalam daun ini. [10]
Sekiranya daun ubi kayu ini dipotong dan direbus di dalam air selama 15 minit, kira-kira 85% sianida di dalam daun ini disingkirkan (pastikan anda membuang air rebusan tersebut). [10]
Kaedah merendam, mengukus dan mengering menggunakan ketuhar adalah kaedah yang tidak efisien dalam menyingkirkan sianida kerana 60% – 75% sianida masih kekal.
Rumusan
Pucuk ubi kayu adalah ulam atau boleh dianggap sayur yang tinggi dengan pelbagai nutrien terutamanya vitamin C, vitamin A, kalsium, serat diet dan protein.
Nutrien-nutrien ini menyumbang kepada khasiat pucuk ubi kayu dalam membantu mengurangkan keradangan, mencegah atau merawat cirit-birit, menguatkan sistem imun, dan lain-lain lagi.
Walau bagaimanapun, pengguna harus sedar bahawa kaedah penyediaan pucuk ubi kayu ini sebelum dimakan adalah amat penting kerana kandungan racunnya. Kaedah menumbuk atau memotong dan merebus pucuk ubi kayu adalah kaedah terbaik dalam menyingkirkan 85%-97% kandungan racun tersebut.
Rujukan
- Montagnac, J.A. et al. (2009). Nutritional Value of Cassava for Use as a Staple Food and Recent Advances for Improvement. Comprehensive Reviews in Food Science and Food Safety.
- Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia. 1997. Malaysian Food Composition Database (MYFCD). myfcd.moh.gov.my
- Haiteng Tao. et al. (2019). Identification and characterization of flavonoids compounds in cassava leaves (Manihot esculenta Crantz) by HPLC/FTICR-MS. International Journal of Food Properties.
- Bahekar, S. E., & Kale, R. S. (2016). Evaluation of antioxidant activity of Manihot esculenta Crantz in wistar rats. Journal of pharmacy & bioallied sciences.
- Bokanisereme et al. (2013). Anti-inflammatory, analgesic and anti – pyretic activity of cassava leaves extract. Asian Journal of Pharmaceutical and Clinical Research.
- Bahekar, S. E., & Kale, R. S. (2015). Antidiarrheal activity of ethanolic extract of Manihot esculenta Crantz leaves in Wistar rats. Journal of Ayurveda and integrative medicine.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Halstrøm, F. and Møller, K.O. (1945). The Content of Cyanide in Human Organs from Cases of Poisoning with Cyanide taken by Mouth. With a Contribution to the Toxicology of Cyanides. Acta Pharmacologica et Toxicologica.
- Wobeto, Carmen et al. (2006). Nutrients in the cassava (Manihot esculenta Crantz) leaf meal at three ages of the plant. Food Science and Technology.
- Montagnac, J.A. et al. (2009). Processing Techniques to Reduce Toxicity and Antinutrients of Cassava for Use as a Staple Food. Comprehensive Reviews in Food Science and Food Safety.