Psilium atau lebih tepat sekam psilium ialah sejenis serat yang berasal daripada biji tumbuhan Plantago ovata. Khasiat psilium telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional China dan India.
Perubatan tradisional China dan India menggunakan psilium sebagai ubat herba yang boleh merawat masalah pundi kencing, tekanan darah tinggi dan rawatan iritasi kulit.
Tumbuhan herba ini di percayai berasal dari selatan Eropah dan India. Psilium ini juga dikenali dengan nama ispaghula.
Psilium ini bersifat larut air dan membentuk seperti gel atau gelatin apabila dilembapkan. Selain itu, sifat psilium yang boleh mengembang dan bergel juga menjadikannya sesuai untuk merawat masalah berkaitan penghadaman.
Seperti serat larut yang lain, psilium juga turut melewati usus kecil tanpa dicernakan atau diserap sepenuhnya.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat-khasiat psilium yang baik untuk kesihatan.
1. Boleh Membantu Melegakan Sembelit
Psilium mempunyai kualiti julap (laksatif) yang boleh meningkatkan saiz najis dan melegakan sembelit.
Di samping itu juga, psilium boleh mengekalkan air di dalam usus kecil. Ini membolehkan peningkatan aliran ke dalam usus besar. Kesannya, ia boleh melegakan masalah sembelit.
Khasiat psilium ini dapat dibuktikan dalam satu kajian yang melibatkan 51 orang pesakit diabetes jenis 2 yang mengalami sembelit kronik. Kajian ini mendapati kumpulan pesakit yang menerima suplemen psilium menunjukkan pnegurangan terhadap simptom-simptom sembelit. [1]
2. Membantu Merendahkan Paras Gula Darah
Psilium juga turut mempunyai kesan positif terhadap paras gula darah. Kesan ini dapat dilihat dalam beberapa kajian yang dijalankan terhadap pesakit diabetes jenis 2 (penyakit kencing manis).
Satu kajian yang dijalankan terhadap 34 orang pesakit diabetes jenis 2 mendapati kumpulan yang menerima 5.1 gram psilium 2 kali sehari selama 8 minggu menunjukkan penambah baikkan paras gula darah yang ketara. Selain itu, paras gula selepas makan juga 19% lebih rendah bagi kumpulan yang mengambil psilium ini. [2]
Kajian lain yang turut dijalankan terhadap penghidap diabetes jenis 2 turut mendapati kesan yang sama. Pengambilan 5.1 gram psilium 2 kali sehari menyebabkan penurunan yang ketara terhadap gula darah puasa dan purata gula darah (HbA1c). [3]
3. Membantu Merendahkan Paras Kolesterol
Psilium juga didapati berkhasiat dalam membantu merendahkan paras kolesterol terutamanya bagi mereka yang mengalami kolesterol tinggi.
Kajian yang dijalankan terhadap 34 orang pesakit diabetes dan hiperkolesterolemia mendapati pengambilan 5.1 gram psilium berjaya menurunkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) masing-masing sebanyak 9% dan 13% berbanding mereka yang tidak mengambil psilium. [2]
Terdapat juga kajian yang mengkaji kesan jangka panjang psilium sebagai makanan tambahan dalam terapi diet kepada penghidap hiperkolesterolemia.
Kajian ini mendapati pengambilan 5.1 gram psilium 2 kali sehari selama 26 minggu yang turut disertai terapi diet menunjukkan penurunan terhadap paras jumlah kolesterol sebanyak 4.7% dan penurunan terhadap kolesterol LDL (kolesterol jahat) sebanyak 6.7%. [4]
Ini menunjukkan rawatan menggunakan psilium berkesan dalam membantu menurunkan paras kolesterol bagi lelaki dan wanita yang menghidap koelsterol tinggi. [4]
4. Mengenyangkan dan Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Selain itu, psilium juga bersifat mengenyangkan dan boleh membantu menurunkan berat badan bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
Kesan mengenyangkan ini dapat dilihat dalam satu kajian klinikal yang melaporkan bahawa pengambilan suplemen psilium sebelum sarapan pagi dan makan tengah hari mengurangkan rasa lapar dan meningkatkan rasa kenyang di antara dua waktu makan.
Kajian ini turut melaporkan kesan yang sama dapat diperhatikan bagi kumpulan yang mengambil suplemen psilium dan hidangan yang rendah kalori pada sarapan pagi. [5]
Kesan psilium terhadap berat badan pula dapat dibuktikan dalam satu kajian yang melibatkan 159 orang peserta. Kumpulan yang menerima psilium mengalami penurunan berat badan yang lebih tinggi berbanding kumpulan yang menerima tepung beras.
Manakala, lemak badan bagi kumpulan yang menerima psilium juga turut lebih rendah berbanding mereka yang menerima tepung beras. [6]
5. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Khasiat psilium juga turut bermanfaat kepada mereka yang mengalami tekanan darah tinggi atau hipertensi.
Satu metaanalisis yang dijalankan terhadap 11 kajian yang melibatkan 592 orang peserta mendapati pengambilan psilium menunjukkan penurunan yang ketara terhadap tekanan darah sistolik iaitu sebanyak 2.04 mmHg.
Tambahan lagi, kajian ini mendapati kesan pengurangan tekanan darah ini lebih kuat bagi individu yang menghidap tekanan darah asas yang lebih tinggi. [7]
Tekanan darah sistolik ialah tekanan darah yang diukur semasa jantung berdenyut dan tekanan darah berapa pada takat yang paling tinggi.
6. Mengurangkan Simptom Sindrom Usus Rengsa
Sindrom usus rengsa adalah penyakit perut dan usus yang dipercayai disebabkan oleh pemakanan serat diet yang rendah. Bagi penghidap sindrom usus rengsa, serat larut dipercayai boleh mengurangkan sakit atau ketidakselesaan perut, kembung perut dan angin berbanding serat tidak larut.
Satu metaanalisis terhadap 14 kajian yang melibatkan 906 pesakit sindrom usus rengsa mendapati pengambilan serat terutamanya psilium adalah berkesan dalam mengurangkan simptom-simptom sindrom usus rengsa berbanding ubat. [8]
Ini menunjukkan, psilium boleh digunakan untuk melegakan atau mengurangkan simptom-simptom bagi sindrom usus rengsa.
Rumusan
Psilium adalah serat yang mempunyai manfaat yang besar kepada kesihatan terutamanya kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol yang tinggi.
Kajian-kajian mendapati khasiat psilium boleh dimanfaatkan untuk merawat sembelit, merendahkan paras gula darah, merendahkan paras kolesterol, menurunkan tekanan darah, mengenyangkan dan lain-lain lagi.
Ciri-ciri yang ditunjukkan oleh psilium ini turut menunjukkan potensinya terhadap kesihatan jantung dan boleh mengurangkan risiko terkena penyakit jantung.
Psilium biasanya boleh didapati di pasaran dalam bentuk suplemen serbuk, kapsul, cecair atau dijadikan sebagai bahan utama dalam ubat laksatif.
Rujukan
- Noureddin, S. et al. (2018). Effects of psyllium vs. placebo on constipation, weight, glycemia, and lipids: A randomized trial in patients with type 2 diabetes and chronic constipation. Complementary therapies in medicine.
- Anderson, J. W. et al. (1999). Effects of psyllium on glucose and serum lipid responses in men with type 2 diabetes and hypercholesterolemia. The American journal of clinical nutrition.
- Ziai, S. A. et al. (2005). Psyllium decreased serum glucose and glycosylated hemoglobin significantly in diabetic outpatients. Journal of ethnopharmacology.
- Anderson, J. W. et al. (2000). Long-term cholesterol-lowering effects of psyllium as an adjunct to diet therapy in the treatment of hypercholesterolemia. The American journal of clinical nutrition.
- Brum, J.M. (2016). Satiety effects of psyllium in healthy volunteers. Appetite.
- Pal, S., Ho, S., Gahler, R. J., & Wood, S. (2016). Effect on body weight and composition in overweight/obese Australian adults over 12 months consumption of two different types of fibre supplementation in a randomized trial. Nutrition & metabolism.
- Clark, C. ,et al. (2020). The effect of psyllium supplementation on blood pressure: a systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. The Korean journal of internal medicine.
- Moayyedi, P. et al.(2014). The effect of fiber supplementation on irritable bowel syndrome: a systematic review and meta-analysis. The American journal of gastroenterology.