Tahukah anda? Salah satu cara mengurangkan risiko penyakit jantung adalah melalui pemakanan makanan tinggi serat.
Artikel ini menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai bagaimana makanan tinggi serat boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
Penyakit jantung adalah beberapa jenis keadaan yang memberi kesan terhadap jantung. Seperti di dunia, penyakit jantung juga merupakan penyebab utama kematian di Malaysia.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2018, penyakit jantung iskemik adalah penyebab utama kematian di Malaysia dengan peratusan kematian sebanyak 15.6% iaitu 1.7% lebih tinggi daripada tahun 2017.

Manakala pada tahun 2019, kematian disebabkan oleh penyakit jantung iskemik adalah sebanyak 16,325 atau 15% daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada tahun 2019.
Ini menunjukkan bahawa penyakit jantung adalah penyakit yang berbahaya dan boleh membawa kematian. Lebih membimbangkan, penyakit ini boleh berlaku tidak mengira usia dan boleh berlaku kepada golongan muda.
Terdapat beberapa jenis penyakit jantung iaitu:
- Penyakit jantung iskemik / koronari – penyakit yang disebabkan pembentukan plak di saluran darah jantung.
- Penyakit jantung kongenital – Kecacatan jantung yang berlaku sejak lahir.
- Aritmia – Sebarang kelainan rentak jantung.
- Aterosklerosis – Penyakit pada arteri, apabila plak-plak berlemak berkembang pada dinding dalam menyebabkan penyekatan aliran darah.
- Kardiomiopati – Penyakit otot jantung.
- Serangan jantung / Infarksi miokardium – Gangguan aliran darah ke jantung yang boleh merosakkan sebahagian otot jantung.
- Kegagalan jantung – Jantung yang masih berfungsi tetapi tidak seperti yang sepatutnya.
Bagaimana Pengambilan Serat yang Tinggi Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung?
Penyakit jantung ini sebenarnya boleh dicegah atau dikurangkan risiko dengan beberapa perubahan terhadap gaya hidup. Selain gaya hidup yang aktif, pemakanan juga turut memainkan peranan penting.
Pemakanan atau diet yang tinggi dengan serat dilaporkan boleh mengurangkan risiko penyakit jantung melalui pelbagai mekanisme seperti mengurangkan paras lemak (lipid), mengurangkan tekanan darah dan mengurangkan keradangan.
Berikut adalah beberapa cara atau mekanisme di mana serat diet boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
1. Melalui Penurunan Paras Kolesterol LDL (Kolesterol Jahat)
Kolesterol LDL atau turut dikenali sebagai kolesterol jahat adalah sejenis kolesterol yang berkumpul di dinding-dinding salur darah yang menyebabkan salur darah menjadi sempit. Keadaan ini akan meningkatkan risiko kepada serangan jantung atau strok.
Makanan yang tinggi dengan serat diet seperti beta-glukan dan psilium boleh mengurangkan jumlah kolsterol dan kolesterol LDL dalam darah.
Kajian melaporkan bahawa pengambilan serat larut 2-10 gram sehari boleh mengurangkan jumlah kolesterol dan kolesterol LDL dengan ketara. Sebagai contoh, 3 gram serat larut daripada oat boleh mengurangkan jumlah kolesterol dan kolesterol LDL kira-kira sebanyak 0.13 mmol/L .[1]
Dalam satu metaanalisis yang melibatkan 8 kajian mendapati pengambilan barli boleh menurunkan paras jumlah kolesterol, kolesterol LDL dan trigliserida (lemak) dengan ketara. Kesan ini dipercayai disumbang oleh kandungan serat beta-glukan dalam barli. [2]
Kajian lain yang melibatkan 11 kajian klinikal turut melaporkan bahawa barli dan beta-glukan yang diasingkan daripada barli boleh mengurangkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol LDL kira-kira sebanyak 0.30 mmol/L. Ini menunjukkan pemakanan barli boleh membantu menurunkan paras kolesterol jahat. [3]
Terdapat beberapa mekanisme yang menyumbang kepada pengurangan jumlah kolesterol dan kolesterol LDL ini. Antaranya adalah:
- Serat larut membantu mengurangkan penyerapan kolesterol dalam usus kecil.
- Serat larut meningkatkan penyingkiran asid hempedu yang seterusnya mengalihkan penggunaan kolesterol hati untuk menghasilkan asid hempedu. Keadaan ini dapat mengurangkan paras kolesterol LDL dalam darah kerana ia digunakan oleh hati untuk mengantikan paras kolesterol yang berkurang.
- Serat larut juga boleh difermentasikan oleh bakteria dalam usus dan seterusnya ditukarkan kepada asid lemak rantain pendek seperti asid asetik, asid propionik dan asid butirik. Asid propionik boleh membantu mengurangkan paras kolesterol LDL melalui tindakan yang sama seperti ubat untuk menurunkan kolesterol (statin).
2. Melalui Penurunan Tekanan Darah
Serat diet juga boleh mengurangkan risiko penyakit jantung melalui penurunan tekanan darah.
Satu analisis yang dijalankan terhadap 24 kajian mendapati pengambilan serat secara purata 11.5 gram sehari boleh menurunkan tekanan darah sistolik sebanyak 1.13 mmHg dan tekanan darah diastolik sebanyak 1.26 mmHg. [4]
Penurunan ini dilihat lebih besar bagi golongan berusia 40 tahun ke atas dan mereka yang menghidap tekanan darah tinggi. [4]
Analisis yang lain turut mendapati peningkatan pengambilan serat diet boleh menurunkan tekanan darah bagi pesakit hipertensi dan individu sihat. Kesan yang lebih ketara dapat dilihat sekiranya serat diet ini diambil lebih daripada 8 minggu. [5]
Terdapat juga kajian dan analisis yang melaporkan bahawa diet yang tinggi dengan serat beta-glukan boleh menurunkan 2.9 mmHg tekanan darah sistolik dan 1.5 mmHg tekanan darah diastolik. [6]
Ini menunjukkan pengambilan serat larut seperti beta-glukan juga boleh menurunkan tekanan darah. [6]
3. Melalui Pengurangan Keradangan
Keradangan juga memainkan peranan penting dalam gangguan terhadap jantung akibat daripada penyakit kardiovaskular.
Pengambilan serat diet dilaporkan boleh mengurangkan mengurangkan penanda-penanda keradangan yang menjadi pusat permulaan dan perkembangan penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung. [7]
Walaupun mekanisme yang sebenar yang mendasari hubungan antara serat diet dan keradangan masih belum jelas, tetapi ia kelihatan seperti diet yang tinggi dengan serat diet akan turut tinggi dengan kandungan fitokimia seperti polifenol.
Polifenol ini berkemungkinan boleh mencegah aktiviti protein NF-κB yang menyumbang kepada keradangan. [8]
Kesan pencegahan NF-κB oleh serat diet dapat dilihat melalui pengurangan penanda-penanda keradangan seperti protein C-reaktif, interleukin 6 dan faktor nekrosis tumor alfa. [9]
Rumusan
Secara umumnya berdasarkan kajian-kajian, dapat dilihat bahawa individu yang mengambil serat diet yang tinggi boleh mengurangkan kemungkinan untuk terkena penyakit jantung koronari sekitar 7% hingga 24%.
Pengambilan serat diet yang tinggi juga turut mengurangkan kadar kematian dan morbiditi yang disebabkan oleh penyakit kardiovaskular termasuklah penyakit jantung sebanyak 17% hingga 28%.
Justeru itu, pengamalan makanan yang tinggi dengan serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bijian penuh adalah satu amalan baik yang harus dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat bagi mengurangkan risiko penyakit jantung.
Rujukan
- Brown, L. et al. (1999). Cholesterol-lowering effects of dietary fiber: a meta-analysis. The American journal of clinical nutrition.
- Talati, R. et al. (2009). The effects of barley-derived soluble fiber on serum lipids. Annals of family medicine.
- AbuMweis, S. S. et al. (2010). β-glucan from barley and its lipid-lowering capacity: a meta-analysis of randomized, controlled trials. European journal of clinical nutrition.
- Streppel, M. T. et al. (2005). Dietary fiber and blood pressure: a meta-analysis of randomized placebo-controlled trials. Archives of internal medicine.
- Whelton, S. P. et al. (2005). Effect of dietary fiber intake on blood pressure: a meta-analysis of randomized, controlled clinical trials. Journal of hypertension.
- Evans, C. E. et al. (2015). Effects of dietary fibre type on blood pressure: a systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials of healthy individuals. Journal of hypertension.
- King D. E. (2005). Dietary fiber, inflammation, and cardiovascular disease. Molecular nutrition & food research.
- Chu A. J. (2014). Antagonism by bioactive polyphenols against inflammation: a systematic view. Inflammation & allergy drug targets.
- Ning, H. et al. (2014). Associations of dietary fiber intake with long-term predicted cardiovascular disease risk and C-reactive protein levels (from the National Health and Nutrition Examination Survey Data [2005-2010]). The American journal of cardiology.