Kubis ungu atau turut dipanggil kubis merah adalah salah satu variasi kubis dari spesies Brassica oleracea. Kubis ungu ini adalah daripada keluarga sayuran yang mempunyai banyak khasiat seperti brokoli, kubis bunga dan juga kubis.
Kubis ungu mempunyai rasa yang hampir sama sepertimana kubis biasa (kubis hijau). Cuma, kubis ungu ini lebih tinggi dengan sebatian yang dikenali sebagai antosianin yang dikaitkan dengan pelbagai khasiat untuk kesihatan.
Lazimnya, kubis ungu ini lebih kecil dan lebih padat berbanding kubis hijau. Warna ungu pada kubis ini disumbang oleh kandungan antosianin dan keasidan tanah.
Artikel ini akan menyingkap khasiat-khasiat yang terkandung dalam kubis ungu atau kubis merah yang bermanfaat untuk kesihatan.
1. Sangat Berzat
Seperti ahli keluarganya yang lain, sayur kubis ungu ini juga turut padat dengan nutrien atau zat yang menyumbang kepada pelbagai khasiatnya.
Bagi 100 gram sayur ini, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Kalori: 31 kcal
- Protein: 1.4 gram
- Lemak: 0.2 gram
- Karbohidrat: 7.4 gram
- Serat: 2.1 gram
- Kalsium: 45 miligram
- Zat besi: 0.8 miligram
- Magnesium: 16 miligram
- Fosforus: 30 miligram
- Kalium: 243 miligram
- Vitamin C: 57 miligram
- Vitamin B6: 0.2 miligram
- Folat: 18 mikrogram
- Vitamin A: 56 mikrogram
- Vitamin E: 0.11 miligram
- Vitamin K: 38.2 mikrogram
Kubis ungu juga turut mengandungi sedikit mineral zink, tembaga, mangan, selenium dan vitamin B1, B2, B3 serta B5.
2. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang penting untuk badan bagi melindungi sel-sel badan daripada rosak akibat tindakan radikal bebas.
Antioksidan boleh diperolehi daripada makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Kubis ungu juga merupakan salah satu sayuran yang kaya dengan antioksidan.
Selain antioksidan seperti vitamin C, vitamin E dan karotenoid, kubis ungu turut mengandungi sebatian antioksidan daripada kumpulan flavonoid seperti antosianin dan kaempferol. [2]
Malah, kubis ungu dilihat mempunyai paras antioksidan yang lebih tinggi berbanding kubis hijau. [2]
Kubis ungu juga turut mengandungi sebatian yang dikenali sebagai sulforaphane. Sulforaphane ini mempunyai ciri-ciri antikanser dan antimikrob. [3]
3. Boleh Melawan Kanser
Kubis ungu juga didapati berpotensi sebagai makanan yang mempunyai ciri-ciri antikanser.
Kandungan sebatian antosianin dan sulforaphane dalam kubis ini dipercayai menjadi penyumbang kepada aktiviti antikanser sayur ini.
Satu analisis terhadap 35 kajian melaporkan bahawa pengambilan sayuran seperti kubis dan brokoli boleh mengurangkan risiko terkena kanser usus. [4]
Di samping itu, sulforaphane juga dilaporkan turut mempunyai ciri-ciri antikanser dengan membantu membunuh sel-sel kanser dan mencegah pembiakan serta penyebaran sel-sel kanser ini. [5]
Terdapat juga kajian-kajian makmal yang melaporkan bahawa sebatian antosianin mempunyai kesan perlindungan terhadap kanser berkaitan usus bagi manusia. [6]
4. Baik untuk Kesihatan Jantung
Kubis ungu juga baik untuk kesihatan jantung mereka yang memakannya.
Satu kajian yang melibatkan kira-kira 1800 orang wanita mendapati pengambilan antosianin yang tinggi boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan merendahkan tekanan darah. [7]
Terdapat juga kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mendapati ekstrak kubis ungu (kubis merah) boleh mencegah serangan jantung. [8]
Kajian yang dijalankan terhadap 93 600 wanita pula mendapati pengambilan makanan yang kaya dengan antosianin boleh mengurangkan risiko serangan jantung terutamanya dalam kalangan wanita muda. [9]
5. Baik untuk Kesihatan Usus
Kubis ungu juga baik untuk kesihatan usus dan sistem penghadaman. Kandungan serat dalam sayur kubis ungu memudahkan penghadaman dan mencegah sembelit.
Selain itu, terdapat kajian yang menunjukkan kubis ungu boleh mengurangkan keradangan dalam usus dan mengurangkan luka daripada berlaku dalam usus. [10]
Kandungan serat tidak larut dalam kubis ungu juga bermanfaat kepada komuniti bakteria baik dalam usus seterusnya mengekalkan kesihatan usus.
6. Boleh Menguatkan Tulang
Kubis ungu juga merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin K, kalsium dan vitamin C iaitu nutrien-nutrien penting untuk kesihatan tulang.
Vitamin K dalam sayur kubis ini adalah jenis vitamin K1 iaitu filokuinon.
Vitamin K1 ini didapati memainkan peranan penting dalam kesihatan tulang dengan meningkatkan permineralan tulang dan mengurangkan pelesapan tulang. Selain itu, vitamin K turut menggalakkan pembaikian retakan tulang dengan merangsang pembentukan tulang. [11]
Vitamin C juga didapati turut membantu pembentukan tulang dan melindungi sel-sel tulang daripada kerosakan. [12]
7. Boleh Melawan Keradangan
Khasiat kubis ungu turut boleh dilihat dalam keupayaannya melawan keradangan yang boleh mencetuskan pelbagai penyakit yang lebih serius.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mendapati sebatian sulforaphane seperti yang terdapat dalam kubis ungu mempunyai ciri-ciri antiradang. [13]
Satu kajian yang dijalankan terhadap 81 orang pesakit sendi lutut pula mendapati balutan daun kubis pada bahagian lutut yang mengalami kesakitan dapat dikurangkan. Walau bagaimanapun, kaedah rawatan ini tidaklah lebih mujarab berbanding penggunaan ubat sapuan.[14]
Rumusan
Kubis ungu atau kubis merah adalah salah satu daripada variasi kubis yang mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan.
Kubis ungu berkhasiat dalam membantu kita melawan kanser, menguatkan tulang, meningkatkan kesihatan jantung, menyihatkan usus dan sistem penghadaman serta melawan keradangan.
Justeru itu, amalkan pemakanan sayur-sayuran termasuklah kubis ungu dalam diet harian anda untuk mendapatkan khasiat atau manfaat daripada sayur ini.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019.
- Anna Podsędek.(2007). Natural antioxidants and antioxidant capacity of Brassica vegetables: A review. Food Science and Technology.
- Campas-Baypoli, O. N. et al. (2009). [Sulforaphane (1-isothiocyanato-4-(methylsulfinyl)-butane) content in cruciferous vegetables]. Archivos latinoamericanos de nutricion.
- Wu, Q. J. et al. (2013). Cruciferous vegetables intake and the risk of colorectal cancer: a meta-analysis of observational studies. Annals of oncology.
- Jiang, X. et al. (2018). Chemopreventive activity of sulforaphane. Drug design, development and therapy.
- Kocic, B. et al. (2011). Effects of anthocyanins and anthocyanin-rich extracts on the risk for cancers of the gastrointestinal tract. Journal of B.U.ON.
- Jennings, A. et al. (2012). Higher anthocyanin intake is associated with lower arterial stiffness and central blood pressure in women. The American journal of clinical nutrition.
- Jana, S. et al. (2017). Anthocyanin rich extract of Brassica oleracea L. alleviates experimentally induced myocardial infarction. PloS one.
- Cassidy, A. et al. (2013). High anthocyanin intake is associated with a reduced risk of myocardial infarction in young and middle-aged women. Circulation.
- Tao Tong. et al. (2017).Beneficial effects of anthocyanins from red cabbage (Brassica oleracea L. var. capitata L.) administration to prevent irinotecan-induced mucositis. Journal of Functional Foods.
- Jaghsi, S. et al. (2018). Relation Between Circulating Vitamin K1 and Osteoporosis in the Lumbar Spine in Syrian Post-Menopausal Women. The open rheumatology journal.
- Aghajanian, P.. et al. (2015). The Roles and Mechanisms of Actions of Vitamin C in Bone: New Developments. Journal of bone and mineral research.
- Lin, W. et al. (2008). Sulforaphane suppressed LPS-induced inflammation in mouse peritoneal macrophages through Nrf2 dependent pathway. Biochemical pharmacology.
- Lauche, R. et al. (2016). Efficacy of Cabbage Leaf Wraps in the Treatment of Symptomatic Osteoarthritis of the Knee: A Randomized Controlled Trial. The Clinical journal of pain.