Jika disebut ‘kubis bunga’ mungkin ramai terbayang masakan seperti ‘tom yam’ atau sayur campur. Tetapi, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa kubis bunga mempunyai khasiat yang hebat.
Khasiat kubis bunga ini membolehkan sayur ini dikategorikan sebagai “powerhouse vegetables” oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC).
Kubis bunga atau nama saintifiknya, Brassica oleracea var. botrytis adalah sayur dalam keluarga sawi (Brassicaceae) iaitu keluarga yang sama dengan brokoli dan kubis.
Kubis bunga padat dengan pelbagai nutrien seperti serat, vitamin B, vitamin C dan vitamin K. Selain itu, ia juga turut mengandungi antioksidan yang boleh melindungi badan daripada penyakit kronik seperti kanser.
Kubis bunga juga turut popular sebagai makanan yang boleh membantu mengurangkan berat badan. Ia banyak digunakan dalam menu-menu diet seperti nasi kubis bunga.
Bagi membantu anda mengetahui dengan lebih lanjut mengenai khasiat kubis bunga, kami senaraikan khasiat-khasiat kubis bunga berserta sokongan kajian-kajian sains.
1. Padat dengan Pelbagai Nutrien
Kubis bunga adalah sayur yang rendah kalori dan kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan.
Bagi 100 gram kubis bunga, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut:
- Tenaga/Kalori: 25 kcal
- Protein: 1.92 gram
- Karbohidrat: 4.97 gram
- Serat: 2 gram
- Kalsium: 22 miligram
- Zat besi: 0.42 miligram
- Magnesium: 15 miligram
- Fosforus: 44 miligram
- Kalium: 299 miligram
- Zink: 0.27 miligram
- Vitamin C: 48.2 miligram
- Vitamin B1: 0.05 miligram
- Vitamin B2: 0.06 miligram
- Vitamin B3: 0.51 miligram
- Vitamin B6: 0.18 miligram
- Folat: 57 mikrogram
- Vitamin E: 0.08 miligram
- Vitamin K: 15.5 mikrogram
2. Kaya dengan Kolina
Kubis bunga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan kolina.
Kolina ialah nutrien yang selalu kurang diambil oleh ramai orang. Kekurangan kolina dalam diet boleh membawa kepada hati berlemak dan kerosakan otot serta meningkatkan keberangkalian untuk terkena penyakit jantung. [1]
Kolina juga mempunyai manfaat dalam perkembangan otak dan kekurangannya boleh merosakkan DNA dan kematian sel. [2]
3. Baik untuk Penghadaman
Serat adalah komponen penting dalam pemakanan kita. Selain membantu kepada kelancaran sistem penghadaman, serat juga boleh mengurangkan keradangan.
Kandungan serat dan air dalam kubis bunga boleh membantu mencegah sembelit dan boleh mengurangkan risiko kepada kanser usus besar.
Selain itu, kajian menunjukkan bahawa diet yang tinggi dalam sayur-sayuran kaya serat seperti kubis bunga dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah bagi beberapa penyakit termasuk penyakit jantung, kanser dan diabetes. [3, 4]
4. Kaya dengan Antioksidan
Seperti sayur-sayuran lain yang datang daripada keluarga kubis, kubis bunga juga kaya dengan antioksidan seperti glucosinolates dan isothiocyanates.
Kajian-kajian menunjukkan menunjukkan antioksidan tersebut boleh membantu memperlahankan pertumbuhan sel-sel kanser. [5, 6]
Tambahan lagi, kubis bunga juga tinggi dengan kandungan vitamin C yang turut bertindak sebagai antioksidan.
Vitamin C juga terkenal dengan kesan antiradang yang boleh meningkatkan kesihatan imun dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser.
5. Baik untuk Kesihatan Tulang
Kubis bunga juga turut bermanfaat kepada kesihatan tulang.
Kubis bunga kaya dengan vitamin C. Vitamin C memainkan peranan penting dalam penghasilan kolagen yang boleh melindungi tulang dan sendi. [7]
Selain itu, vitamin K yang terkandung dalam kubis bunga ini juga bagus untuk kesihatan tulang. Vitamin K didapati boleh menambah ketumpatan tulang dan juga mengurangkan kadar keretakan tulang. [8]
6. Membantu dalam Mengurangkan Berat Badan
Kubis bunga juga turut sinonim dengan mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
Kubis bunga mengandungi indole-3-carbinol iaitu sebatian yang mempunyai potensi mencegah obesiti dan gangguan metabolisme. [9]
Di samping itu, kandungan antioksidan sulforaphane dalam kubis bunga juga turut berpotensi membantu mengurangkan berat badan.
Kajian-kajian peringkat awal menunjukkan bahawa sebatian ini boleh mencegah tekanan oksidatif dan berkesan digunakan sebagai suplemen antiobesiti. [10]
Selain itu, kandungan serat dalam kubis bunga juga boleh membantu mengawal selera makan dan membuatkan anda berasa kenyang lebih lama. [11]
7. Membantu Menurunkan Tekanan Darah Tinggi
Kandungan antioksidan sulforaphane dalam kubis bunga juga boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi dan mengekalkan kesihatan arteri.
Sebagai contoh, satu kajian pada tahun 2021 melaporkan bahawa sulforaphane boleh membantu menurunkan tekanan darah diastolik dalam kalangan wanita hamil yang mengalami tekanan darah tinggi. [12]
8. Berpotensi Mencegah Kanser
Kubis bunga juga turut berpotensi mencegah kanser dengan melindungi sel-sel badan daripada mengalami mutasi serta mengurangkan tekanan oksidatif.
Sebatian antioksidan seperti indole-3-carbinol (I3C) dalam kubis bunga didapati boleh membantu mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser reproduktif dalam kalangan lelaki dan wanita. [13]
Manakala, kajian-kajian lain pula mendapati sulforaphane sangat membantu untuk menyekat perkembangan kanser dengan menghalang enzim yang terlibat dalam kanser dan pertumbuhan tumor. [14]
Rumusan
Kubis bunga adalah sayur ‘versatile‘ yang membekalkan pelbagai khasiat kepada pemakannya.
Kubis bunga mengandungi pelbagai nutrien yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik.
Tambahan lagi, kubis bunga mengandungi antioksidan unik yang boleh mengurangkan keradangan dan melindungi daripada beberapa penyakit seperti kanser dan penyakit jantung.
Rujukan
- Sanders, L. M., & Zeisel, S. H. (2007). Choline: Dietary Requirements and Role in Brain Development. Nutrition today.
- Zeisel, S. H., & da Costa, K. A. (2009). Choline: an essential nutrient for public health. Nutrition reviews.
- Aune, D. et al. (2017). Fruit and vegetable intake and the risk of cardiovascular disease, total cancer and all-cause mortality-a systematic review and dose-response meta-analysis of prospective studies. International journal of epidemiology.
- Barouti, A. A. et al. (2022). Fruit and vegetable intake and risk of prediabetes and type 2 diabetes: results from a 20-year long prospective cohort study in Swedish men and women. European journal of nutrition.
- Keck, A. S., & Finley, J. W. (2004). Cruciferous vegetables: cancer protective mechanisms of glucosinolate hydrolysis products and selenium. Integrative cancer therapies.
- Abdull Razis, A. F., & Noor, N. M. (2013). Cruciferous vegetables: dietary phytochemicals for cancer prevention. Asian Pacific journal of cancer prevention.
- Davis, R. H. et al. (1990). Vitamin C influence on localized adjuvant arthritis. Journal of the American Podiatric Medical Association.
- Weber P. (2001). Vitamin K and bone health. Nutrition.
- Choi, Y. et al. (2012). Indole-3-carbinol prevents diet-induced obesity through modulation of multiple genes related to adipogenesis, thermogenesis or inflammation in the visceral adipose tissue of mice. The Journal of nutritional biochemistry.
- Martins, T. et al. (2018). Potential effects of sulforaphane to fight obesity. Journal of the science of food and agriculture.
- Slavin J. (2013). Fiber and prebiotics: mechanisms and health benefits. Nutrients.
- Langston-Cox, A. G. et al. (2021). Sulforaphane Bioavailability and Effects on Blood Pressure in Women with Pregnancy Hypertension. Reproductive sciences.
- van Poppel, G. et al. (1999). Brassica vegetables and cancer prevention. Epidemiology and mechanisms. Advances in experimental medicine and biology.
- Elkashty, O. A., & Tran, S. D. (2021). Sulforaphane as a Promising Natural Molecule for Cancer Prevention and Treatment. Current medical science.