Khasiat buah pelaga bukan sahaja menambah rasa dalam masakan. Malahan, buah pelaga mempunyai banyak khasiat dalam dunia perubatan. Buah pelaga kebiasaannya boleh dijumpai dalam masakan Melayu dan India seperti gulai ataupun kari.
Buah pelaga atau nama saintifiknya Elettaria cardamomum L. dipercayai berasal dari negara benua India dan Indonesia. Tetapi kini, rempah ini telah ditanam di nega-negara lain seperti Malaysia, Guatemala dan Tanzania.
Terdapat dua jenis buah pelaga iaitu buah pelaga hijau dan buah pelaga hitam. Kedua-dua jenis buah pelaga ini mempunyai khasiatnya masing-masing.
Berikut ialah 7 khasiat buah pelaga berdasarkan kajian sains:
1. Boleh Membantu Merendahkan Tekanan Darah
Buah pelaga mempunyai khasiat kepada penghidap tekanan darah tinggi.
Kajian menunjukkan serbuk buah pelaga dapat menurunkan paras tekanan darah tinggi kepada paras normal terhadap 20 individu dewasa yang baru menghidap tekanan darah tinggi. [1]
Ekstrak buah pelaga turut menunjukkan peningkatan pengumuhan (kencing) dan penurunan tekanan darah terhadap tikus. [2]
Pengkaji percaya keupayaan menurunkan tekanan darah dalam buah pelaga adalah disebabkan kandungan antioksidan dan kesan diuretik.
2. Bersifat Antibiotik (Antimikrob)
Minyak yang diperolehi daripada biji buah pelaga boleh membunuh bakteria dan fungus.
Kajian mendapati minyak pati buah pelaga berkesan dalam membunuh beberapa jenis bakteria dan fungus seperti P. aeruginosa dan C. violaceum. [3]
Kajian lain juga turut mendapati minyak pati buah pelaga turut menunjukkan aktiviti antimikrob terhadap hampir kesemua mikroorganisma yang diuji, menjadikannya sesuai digunakan sebagai pengawet makanan. [4]
3. Baik untuk Kesihatan Jantung
Rempah ini juga mempunyai manfaat untuk kesihatan jantung.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati buah pelaga boleh melindungi jantung dan mempamerkan kesan perlindungan terhadap jantung dengan memusnahkan radikal bebas dan aktiviti antioksidan. [5]
Kajian lain pula mendapati, buah pelaga hitam dapat menambah baik profil lipid (lemak), mengelakkan pembekuan darah dan meningkatkan aktiviti antioksidan dalam kalangan pesakit jantung iskemia. [6]
4. Boleh Menghilangkan Bau Mulut
Selain pudina atau kayu manis, buah pelaga juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau mulut.
Buah pelaga boleh membantu melawan bakteria dalam mulut yang selalunya menyebabkan mulut berbau, kaviti dan penyakit gusi.
Kajian menunjukkan biji pelaga dan buahnya boleh membantu meningkatkan kesihatan mulut kerana ciri-ciri antiradang dan antioksidannya.
Ekstrak buah pelaga mencegah tumbesaran bakteria yang boleh menyebabkan penyakit gusi. [7]
5. Mungkin Boleh Merendahkan Paras Gula dalam Darah
Serbuk buah pelaga mungkin boleh merendahkan paras gula dalam darah.
Satu kajian terhadap tikus makmal mencadangkan bahawa buah pelaga boleh membantu mengurangkan paras gula dalam darah. [8]
Walau bagaimanapun, kajian pada manusia tidak menunjukkan kesan yang sama. [9]
Oleh itu, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk melihat kesan buah pelaga terhadap paras gula dalam darah terhadap manusia.
6. Baik untuk Pencernaan
Buah pelaga telah digunakan untuk memulihkan masalah pencernaan sejak dahulu lagi.
Buah pelaga telah digunakan dalam perubatan tradisional seperti Ayurveda, perubatan tradisional Cina dan sistem Unani.
Ekstrak metanolik daripada pelaga dikatakan bahan yang membantu mengawal ketidakselesaan gastrousus seperti keasidan, kekejangan perut dan kembung. [10]
Buah pelaga juga turut didapati boleh melawan bakteria Helicobacter pylori, bakteria yang menyebabkan ulser dalam perut.
7. Berpotensi Mencegah Kanser Kulit
Buah pelaga juga berpotensi untuk digunakan untuk mencegah kanser kulit.
Satu kajian pada tahun 2012 mendapati serbuk buah pelaga menunjukkan rempah ini boleh bertindak sebagai ejen mencegah atau melambatkan kanser kulit. [11]
Walau bagaimanapun, terdapat laporan mengenai alahan dermatitis akibat terdedah kepada sebatian yang terkandung dalam biji buah pelaga ini. [12]
Kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk mengenalpasti khasiat buah pelaga ini kepada kulit manusia.
Rumusan
Buah pelaga adalah rempah yang boleh menambah rasa dalam masakan dan kaya dengan nilai perubatan.
Buah pelaga berkhasiat merendahkan tekanan darah, menghilangkan bau mulut, dan baik untuk jantung serta kulit.
Penggunaan buah pelaga dalam masakan harus dikekalkan supaya khasiat buah pelaga ini dapat dimanfaatkan dalam diet harian kita.
Rujukan
- Verma, S. K. et al. (2009). Blood pressure lowering, fibrinolysis enhancing and antioxidant activities of cardamom (Elettaria cardamomum). Indian journal of biochemistry & biophysics.
- Gilani, A. H. et al. (2008). Gut modulatory, blood pressure lowering, diuretic and sedative activities of cardamom. Journal of ethnopharmacology.
- Noumi, E. et al. (2018). Chemical and Biological Evaluation of Essential Oils from Cardamom Species. Molecules.
- ÖZKAN, O. E. et al. (2018). Chemical composition and antimicrobial activity of Myristica fragrans & Elettaria cardamomum essential oil. Kastamonu University Journal of Forestry Faculty.
- Goyal, S. N. et al. (2015). Protective Effects of Cardamom in Isoproterenol-Induced Myocardial Infarction in Rats. International journal of molecular sciences.
- Verma, S.K. et al. (2012). Effect of Greater cardamom (Amomum subulatum Roxb.) on blood lipids, fibrinolysis and total antioxidant status in patients with ischemic heart disease. Asian Pacific Journal of Tropical Disease.
- Souissi, M. et al. (2020). Antibacterial and anti-inflammatory activities of cardamom (Elettaria cardamomum) extracts: Potential therapeutic benefits for periodontal infections. Anaerobe.
- Rahman, M. M. et al. (2017). Cardamom powder supplementation prevents obesity, improves glucose intolerance, inflammation and oxidative stress in liver of high carbohydrate high fat diet induced obese rats. Lipids in health and disease.
- Azimi, P. et al. (2014). Effects of Cinnamon, Cardamom, Saffron, and Ginger Consumption on Markers of Glycemic Control, Lipid Profile, Oxidative Stress, and Inflammation in Type 2 Diabetes Patients. The review of diabetic studies.
- Jamal, A. et al. (2006). Gastroprotective effect of cardamom, Elettaria cardamomum Maton. fruits in rats. Journal of ethnopharmacology.
- Qiblawi, S. et al. (2012). Chemopreventive effects of cardamom (Elettaria cardamomum L.) on chemically induced skin carcinogenesis in Swiss albino mice. Journal of medicinal food.
- Mobacken, H., & Fregert, S. (1975). Allergic contact dermatitis from cardamom. Contact dermatitis.