Buah kiwi mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan manusia. Buah kiwi kaya dengan nutrien seperti vitamin C, vitamin K, vitamin E, folat, kalsium dan kalium (potassium).
Buah kiwi berasal dari selatan China. Kemudiannya dibawa ke New Zealand oleh mubaligh pada tahun 1904.
Terdapat dua jenis buah kiwi iaitu yang mempunyai isi hijau dikenali sebagai ‘Hayward‘ dan berisi kuning yang dikenali sebagai ‘Hort 16A‘. Kini, buah kiwi turut ditanam di Itali, China, Chile, Perancis, Greece, Jepun dan USA.
Jika dilihat luarannya, buah kiwi ini mungkin kurang menarik perhatian. Namun, buah yang mempunyai isi berwarna hijau atau kuning ini mempunyai banyak khasiat disamping rasanya yang manis, masam dan tajam.
Berikut merupakan 7 khasiat buah kiwi berdasarkan kajian sains:
1. Boleh Membantu Merawat Asma
Buah kiwi berkhasiat dalam membantu merawat penyakit asma.
Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 4104 kanak-kanak, pengambilan buah kiwi yang kaya dengan vitamin C menunjukkan kesan perlindungan signifikan terhadap asma, sesak nafas, batuk pada waktu malam, dan batuk kronik. [1]
2. Boleh Membantu Proses Penghadaman
Buah kiwi kaya dengan serat larut dan serat tidak larut.
Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa buah kiwi mempunyai kesan yang baik untuk merawat sembelit bagi orang tua dan pesakit sindrom usus rengsa. [2, 3]
Buah kiwi juga mempunyai enzim aktif yang dikenali sebagai aktinidin. Enzim ini baik untuk pencernaan protein. [4]
3. Boleh Membantu Meningkatkan Imuniti Badan
Buah kiwi juga berkhasiat dalam membantu meningkatkan kekuatan sistem imun badan.
Khasiat buah kiwi ini dapat dilihat dalam satu kajian yang menunjukkan pengambilan buah kiwi dapat menambah baik fungsi dan tindak balas imun yang seterusnya dapat mengurangkan keterukan gejala-gejala jangkitan saluran pernafasan atas. [5]
4. Boleh Membantu Mencegah Penyakit Anemia
Pengambilan buah kiwi juga bermanfaat kepada mereka yang kekurangan zat besi.
Kekurangan zat besi boleh membawa kepada penyakit anemia iaitu kekurangan sel darah merah.
Satu kajian terhadap wanita yang mengalami kekurangan zat besi mendapati pengambilan buah kiwi dengan bijirin diperkaya dengan zat besi adalah lebih baik berbanding buah pisang. [6]
5. Boleh Membantu Mengawal Tekanan Darah
Buah kiwi juga berkhasiat dalam membantu mengawal tekanan darah.
Dalam jangka masa panjang, khasiat buah kiwi ini juga dapat mengurangkan risiko penyakit yang disebabkan oleh tekanan darah tinggi seperti strok dan serangan jantung.
Satu kajian menunjukkan pengambilan 3 biji buah kiwi hijau setiap hari selama 8 minggu boleh menurunkan tekanan darah secara signifikan terhadap perokok lelaki. [7]
Kajian lain pula menunjukkan pengambilan buah kiwi dapat mengurangkan tekanan darah lebih baik berbanding buah epal. [8]
6. Baik untuk Kesihatan Mata
Buah kiwi mengandungi vitamin A dan antioksidan seperti lutein dan zeaxantin. Gabungan nutrien seperti ini sesuai untuk penjagaan mata.
Pengambilan vitamin A yang mencukupi boleh mencegah daripada berlakunya kekurangan vitamin A yang boleh menyebabkan rabun malam. [9]
Di samping itu, lutein dan zeaxantin boleh membantu melindungi mata daripada penyakit mata seperti katarak dan degenerasi makular berkaitan usia. [10]
7. Boleh Membantu Meningkatkan Kualiti Tidur
Buah kiwi juga boleh dijadikan snek pada waktu malam terutamanya bagi anda yang mempunyai masalah tidur.
Hal ini demikian kerana buah kiwi didapati boleh membantu meningkatkan kualiti tidur bagi mereka yang mempunyai masalah tidur.
Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Taipei Medical University, pengambilan 2 biji buah kiwi dalam tempoh satu jam sebelum tidur dapat meningkatkan kualiti tidur. [11]
Rumusan
Buah kiwi adalah buah yang sarat dengan khasiat untuk kesihatan kita. Secara ammnya, buah ini selamat untuk dimakan oleh semua orang.
Walau bagaimanapun, bagi anda yang mempunyai alahan terhadap buah kiwi atau keluarga buah kiwi. Sila elakkan daripada memakan buah ini.
Antara gejala-gejala alahan yang boleh dikenalpasti ialah gatal kerongkong, bengkak lidah, masalah untuk menelan, muntah dan gatal-gatal.
Rujukan
- Forastiere, F. et al. (2000). Consumption of fresh fruit rich in vitamin C and wheezing symptoms in children. SIDRIA Collaborative Group, Italy (Italian Studies on Respiratory Disorders in Children and the Environment). Thorax.
- Rush, E. C. et al. (2002). Kiwifruit promotes laxation in the elderly. Asia Pacific journal of clinical nutrition.
- Chang, C. C. et al. (2010). Kiwifruit improves bowel function in patients with irritable bowel syndrome with constipation. Asia Pacific journal of clinical nutrition.
- Kaur, L. et al. (2010). Actinidin enhances gastric protein digestion as assessed using an in vitro gastric digestion model. Journal of agricultural and food chemistry.
- Skinner, M. A. et al. (2013). Effects of kiwifruit on innate and adaptive immunity and symptoms of upper respiratory tract infections. Advances in food and nutrition research.
- Karlsen, A. et al. (2013). Kiwifruit decreases blood pressure and whole-blood platelet aggregation in male smokers. Journal of human hypertension.
- Svendsen, M. et al. (2015). The effect of kiwifruit consumption on blood pressure in subjects with moderately elevated blood pressure: a randomized, controlled study. Blood pressure.
- Akhtar, S. et al. (2013). Prevalence of vitamin A deficiency in South Asia: causes, outcomes, and possible remedies. Journal of health, population, and nutrition.
- Sommerburg, O. et al. (1998). Fruits and vegetables that are sources for lutein and zeaxanthin: the macular pigment in human eyes. The British journal of ophthalmology.
- Lin, H. H. et al.(2011). Effect of kiwifruit consumption on sleep quality in adults with sleep problems. Asia Pacific journal of clinical nutrition.