Air halia adalah minuman yang sinonim dengan masyarakat setempat dalam membantu merawat masalah kembung perut. Seperti halia, air halia juga mempunyai khasiat tertentu yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan badan.
Air halia atau juga dipanggil teh halia dihasilkan dengan merebus bahagian rizomnya. Air rebusan ini akan diminum kosong atau ditambah dengan bahan tambahan lain seperti madu, jus lemon atau potongan buah lemon.
Halia biasanya digunakan dalam pelbagai bentuk sama ada digunakan secara segar, dijeruk, dijadikan serbuk atau diawet. Halia ini biasanya dijual atau disediakan dalam bentuk kapsul, tablet, teh atau esktrak berair.
Halia mengandungi sebatian aktif yang mempunyai peranan penting terhadap khasiat tumbuhan ini. Kepekatan sebatian ini adalah bergantung kepada bentuk penyediaannya dan proses-proses yang terlibat.
Dalam artikel ini kita akan melihat potensi atau khasiat air halia untuk kesihatan dengan lebih lanjut yang mungkin bermanfaat untuk kita semua.
1. Mencegah Loya dan Muntah
Perubatan tradisional juga telah lama menggunakan halia sebagai bahan yang boleh mencegah loya atau muntah-muntah.
Kandungan sebatian aktif dalam halia iaitu gingerol dan shogaol dipercayai memainkan peranan dalam khasiat air halia ini.
Kajian moden melaporkan bahawa halia mempunyai kesan yang baik dalam mengurangkan loya dan muntah-muntah dalam kalangan wanita mengandung dan menunjukkan kesan yang bercampur-campur bagi pesakit yang mengalami loya dan muntah-muntah akibat kemoterapi. [1]
Air halia dilihat boleh membantu anda yang mengalami masalah penghadaman seperti loya atau muntah-muntah.
2. Membantu Mengurangkan Keradangan
Keradangan adalah tindak balas semulajadi badan akibat daripada jangkitan, kecederaan atau bendasing yang boleh membahayakan badan.
Namun, jika keradangan ini menjadi berpanjangan (kronik), ia akan mendatangkan keburukan kepada kesihatan badan. Oleh itu, perubahan gaya hidup dan pemakanan adalah penting bagi mengurangkan keradangan kronik tersebut.
Halia mempunyai sifat antiradang dan air halia mungkin mempunyai sifat yang sama. Satu kajian klinikal melaporkan bahawa halia berkesan dalam mengurangkan kesakitan otot akibat daripada senaman. Kesakitan otot boleh disebabkan oleh keradangan. [2]
Terdapat juga kajian semula yang melaporkan bahawa terdapat 9 kajian yang menyokong bahawa pengambilan halia secara makan (oral) atau sapuan berkesan dalam mengurangkan kesakitan akibat daripada sakit sendi (osteoartritis).[3]
Osteoartritis juga boleh disebabkan oleh keradangan pada bahagian sendi tulang.
3. Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi terutamanya kolesterol LDL (kolesterol jahat) adalah berbahaya untuk kesihatan kerana boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung atau strok.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang melaporkan bahawa pengambilan ekstrak halia melalui minuman menyebabkan penurunan terhadap paras kolesterol, trigliserida (lemak) dan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat). [4]
Namun, kajian lanjut masih diperlukan untuk mengetahui sama ada halia boleh mendatangkan kesan yang sama terhadap kolesterol manusia.
4. Membantu Menurunkan Berat Badan
Air halia juga boleh membantu mereka yang ingin menurunkan berat badan dan sesuai disertakan dalam menu diet.
Khasiat air halia ini dapat dilihat dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati air halia boleh membantu mengurangkan kenaikan berat badan haiwan tersebut melalui peningkatan penggunaan tenaga. [5]
Terdapat juga kajian yang lain yang dijalankan terhadap 10 orang lelaki. Kumpulan yang minum air halia panas selepas bersarapan dilaporkan berasa lebih kenyang berbanding kumpulan yang tidak minum air halia ini. [6]
Ini menunjukkan potensi air halia dalam membantu peminumnya untuk menurunkan atau mengekalkan berat badan.
5. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh membantu mencegah atau meneutralkan radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan kepada sel-sel badan.
Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung, ia akan menyebabkan tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini dikaitkan pelbagai penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, diabetes, Alzheimer, hipertensi dan lain-lain.
Halia adalah salah satu tumbuhan yang turut kaya dengan antioksidan. Ekstrak halia yang dijadikan minuman atau air halia mungkin mempunyai kesan kebaikan yang sama.
Terdapat kajian makmal yang mendapati ekstrak berair halia mempunyai ciri-ciri antihipertensi dengan mencegah pengoksidaan lemak dan enzim yang boleh menyebabkan hipertensi. [7]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa sebatian dalam halia iaitu gingerol bersifat antikanser dan boleh mencegah kanser usus. [8]
Adakah Air Halia Boleh Digunakan Sebagai Detox?
Terdapat juga amalan yang menggunakan air halia yang dicampur dengan jus lemon atau potongan buah lemon sebagai “detox“.
Tiada kajian khusus yang dijalankan terhadap kepercayaan ini.
Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mendapati ekstrak air halia mempunyai kesan antioksidan dan penyahtoksikan yang melibatkan penyalahgunaan alkohol (arak). [9]
Rumusan
Selain pengambilan halia dalam makanan atau dalam bentuk suplemen, pengambilan air halia juga boleh mendatangkan kebaikan kepada kesihatan badan.
Selain menghidratkan, air halia juga mengandungi khasiat yang mungkin bermanfaat dalam mencegah keradangan, penyakit-penyakit kronik, loya dan muntah serta lain-lain lagi.
Air halia ini mudah untuk disediakan dan anda boleh mencubanya sendiri di rumah.
Rujukan
- Lete, I., & Allué, J. (2016). The Effectiveness of Ginger in the Prevention of Nausea and Vomiting during Pregnancy and Chemotherapy. Integrative medicine insights.
- Black, C. D. et al. (2010). Ginger (Zingiber officinale) reduces muscle pain caused by eccentric exercise. The journal of pain.
- Rondanelli, M. et al. (2020). Clinical trials on pain lowering effect of ginger: A narrative review. Phytotherapy research.
- Fuhrman, B. et al. (2000). Ginger extract consumption reduces plasma cholesterol, inhibits LDL oxidation and attenuates development of atherosclerosis in atherosclerotic, apolipoprotein E-deficient mice. The Journal of nutrition.
- Sayed, S. et al. (2020). Ginger Water Reduces Body Weight Gain and Improves Energy Expenditure in Rats. Foods.
- Mansour, M. S. et al. (2012). Ginger consumption enhances the thermic effect of food and promotes feelings of satiety without affecting metabolic and hormonal parameters in overweight men: a pilot study. Metabolism: clinical and experimental.
- Akinyemi, A. J. et al. (2013). Aqueous extracts of two varieties of ginger (Zingiber officinale) inhibit angiotensin I-converting enzyme, iron(II), and sodium nitroprusside-induced lipid peroxidation in the rat heart in vitro. Journal of medicinal food.
- Jeong, C. H. et al. (2009). [6]-Gingerol suppresses colon cancer growth by targeting leukotriene A4 hydrolase. Cancer research.
- Shati, A. A., & Elsaid, F. G. (2009). Effects of water extracts of thyme (Thymus vulgaris) and ginger (Zingiber officinale Roscoe) on alcohol abuse. Food and chemical toxicology.