Apa itu Kecelaruan Delusi?
Kecelaruan delusi ialah sejenis kecelaruan psikotik yang dicirikan dengan gejala utama iaitu satu atau lebih delusi.
Delusi ialah kepercayaan yang kuat pada sesuatu yang tidak benar. Kepercayaan itu bukan sebahagian daripada budaya atau subbudaya seseorang, dan hampir semua orang tahu kepercayaan ini adalah palsu.
Orang yang mengalami kecelaruan delusi sering mengalami khayalan yang tidak pelik. Delusi bukan pelik melibatkan situasi yang mungkin berlaku dalam kehidupan sebenar, seperti diekori, ditipu atau disayangi dari jauh.

Delusi ini biasanya melibatkan salah tafsir persepsi atau pengalaman. Pada hakikatnya, situasi tersebut sama ada tidak benar atau dibesar-besarkan. Delusi bukan pelik adalah berbeza daripada delusi pelik, iaitu kepercayaan yang mustahil dalam realiti kita.
Kecelaruan delusi agak jarang berlaku. Biasanya mereka yang menghidap kecelaruan ini bermula pada usia yang lebih lewat berbanding skizofrenia, dan tidak menunjukkan dominasi jantina.
Jenis-jenis Kecelaruan Delusi
Terdapat beberapa jenis delusi yang berlaku. Antara jenis delusi yang paling kerap ditemui adalah:
- Cemburu delusi: Pasangan seksual seseorang itu tidak setia.
- Delusi Pelik: Satu khayalan yang melibatkan fenomena yang mustahil, tidak dapat difahami, dan tidak berkaitan dengan kehidupan normal.
- Delusi grandios (besar diri): Keyakinan tentang bakat, penemuan, nilai diri yang tinggi, kuasa, pengetahuan, atau hubungan dengan seseorang yang terkenal atau dewa.
- Delusi kianat: Kepercayaan seseorang yang tidak berasas bahawa terdapat individu atau organisasi yang cuba mengkhianati, menjalankan konspirasi atau ingin menganiayanya.
- Delusi erotomania: Satu khayalan bahawa orang lain, lebih kerap seseorang yang lebih tinggi statusnya, jatuh cinta dengan individu tersebut.
- Delusi somatik: Delusi yang melibatkan fungsi badan dan sensasi.
- Delusi bercampur: Tiada tema tunggal yang khusus.
- Delusi penyiaran fikiran: Kepercayaan bahawa fikiran seseorang dapat didengari oleh individu lain seolah-olah disiarkan ke udara.
- Delusi penyelitan pemikiran: Kepercayaan bahawa fikiran individu yang lain atau kuasa luaran berada dalam minda seseorang.
Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda dan gejala awal kecelaruan delusi adalah seperti berikut:
- Delusi bukan pelik atau aneh.
- Perasaan dieksploitasi.
- Keasyikan terhadap kesetiaan atau kebolehpercayaan rakan.
- Kecenderungan untuk membaca makna yang mengancam ke dalam ucapan atau peristiwa yang baik atau mesra.
- Berterusan menyimpan dendam.
- Halusinasi yang berkaitan dengan delusi.
- Kesediaan untuk bertindak balas terhadap hinaan yang dirasakan.
Punca dan Penyebab
Banyak keadaan biologi seperti penggunaan bahan, keadaan perubatan, keadaan neurologi boleh menyebabkan delusi.
Seperti kebanyakan kecelaruan psikotik yang lain, punca sebenar kecelaruan delusi belum diketahui. Tetapi penyelidik melihat beberapa faktor lain seperti faktor genetik, biologi, persekitaran atau psikologi yang mungkin menjadi penyebab kepada kecelaruan ini.
- Genetik: Kecelaruan delusi lebih lazim bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami kecelaruan delusi atau skizofrenia.
- Biologi: Kawasan otak yang tidak normal yang mengawal persepsi dan pemikiran mungkin dikaitkan dengan gejala delusi.
- Psikologi: Tekanan atau stres juga boleh mencetuskan kecelaruan ini. Pengasingan sosial, iri hati, ketidakpercayaan, syak wasangka dan harga diri yang rendah juga merupakan beberapa faktor psikologi yang boleh menjurus ke arah delusi.
- Persekitaran: Penyalahgunaan dadah dan alkohol turut boleh menyumbang kepada delusi.
Rawatan
Rawatan untuk kecelaruan delusi selalunya terdiri daripada psikoterapi dan ubat, tetapi kecelaruan delusi sangat tahan terhadap rawatan dengan ubat sahaja.
Orang yang mengalami kecelaruan delusi selalunya tidak mendapatkan rawatan untuk keadaan mereka sendiri kerana kebanyakan daripada mereka tidak menyedari bahawa delusi mereka bermasalah atau tidak betul. Kemungkinan besar mereka akan mendapatkan bantuan kerana keadaan kesihatan mental yang lain seperti kemurungan atau kebimbangan (keresahan).
Bagi mereka yang mengalami gejala-gejala yang teruk dan berisiko mencederakan diri sendiri atau orang lain, mereka perlu dimasukkan ke hospital sehingga keadaan mereka stabil.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan utama yang digunakan untuk membantu merawat kecelaruan delusi dipanggil ubat antipsikotik (neuroleptik). Ubat-ubatan tersebut terdiri daripada:
- Ubat antipsikotik generasi pertama seperti chlorpromazine, fluphenazine, haloperidol, thiothixene, trifluoperazine, perphenazine dan thioridazine.
- Ubat antipsikotik generasi kedua seperti risperidone, clozapine, quetiapine, ziprasidone dan olanzapine.
Ubat-ubat lain yang mungkin turut dipreskripsi adalah seperti ubat antidepresen untuk merawat kemurungan dan ubat antiresah (anxiolytics) untuk merawat keresahan yang teruk atau masalah tidur.
Psikoterapi
Psikoterapi ialah istilah untuk pelbagai teknik rawatan yang bertujuan untuk membantu pesakit mengenal pasti dan mengubah emosi, pemikiran dan tingkah laku yang mengganggu.
Melalui terapi, orang yang mengalami kecelaruan delusi boleh belajar menguruskan gejala-gejala mereka, mengenal pasti tanda amaran awal relaps dan membangunkan rancangan pencegahan relaps. Relaps ialah kemunculan semula penyakit dalam tempoh tertentu selepas kelihatan sembuh.
Jenis-jenis psikoterapi adalah seperti:
- Terapi tingkah laku kognitif (CBT): Melalui terapi jenis ini, pesakit boleh meninggalkan pemikiran dan tingkah laku negatif dan belajar mengamalkan corak dan tabiat pemikiran yang lebih sihat.
- Psikoterapi individu: Terapi jenis ini boleh membantu seseorang mengenali dan membetulkan pemikiran asas yang telah menjadi herot.
- Terapi berfokuskan keluarga: Terapi ini melibatkan psikopendidikan mengenai kecelaruan delusi, latihan peningkatan komunikasi dan latihan kemahiran menyelesaikan masalah.
Rujukan
- Joseph SM, Siddiqui W. Delusional Disorder. [Updated 2022 Mar 30]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Delusional Disorder. Cleveland Clinic.