Diagnosis awal dan rawatan skizofrenia meningkatkan peluang pemulihan yang berjaya. Mengetahui tanda-tanda awal skizofrenia adalah penting dalam mengenal pasti permulaan skizofrenia dan mendapatkan rawatan.
Skizofrenia adalah penyakit mental yang serius di mana orang menafsirkan realiti secara tidak normal. Skizofrenia boleh mengakibatkan beberapa kombinasi halusinasi, khayalan dan pemikiran dan tingkah laku yang sangat tidak teratur yang menjejaskan fungsi harian.
Skizofrenia biasanya berkembang dengan perlahan, dengan tanda amaran awal berkembang sebelum episod teruk pertama. Episod teruk ini juga dirujuk sebagai psikosis.

Umur di mana seseorang menghidap skizofrenia didapati mempunyai kesan ke atas simptom yang akan dialami oleh pesakit tersebut.
Begitu juga dengan jantina, lelaki dan wanita mempunyai kadar skizofrenia yang hampir sama. Tetapi mereka cenderung untuk mengalami keadaan itu pada usia yang sedikit berbeza.
Tanda-tanda Awal dalam Kalangan Kanak-kanak
Kanak-kanak yang didiagnosis dengan skizofrenia akan mempunyai pelbagai masalah perkembangan berbanding mereka yang didiagnosis pada lewat usianya.
Tanda-tanda awal atau amaran skizofrenia yang perlu diberi perhatian adalah: [1]
- Perkembangan motor yang lewat: Contohnya seperti tidak berjalan sehingga umur melebihi 18 bulan.
- Perkembangan percakapan yang lewat: Contohnya, tidak bercakap atau menyebut dua atau tiga frasa perkataan sehingga usia lebih daripada 36 bulan.
- Kecacatan pada perkembangan sosial pada awal usia: Contohnya tidak menggunakan gerak isyarat semasa berkomunikasi atau gagal untuk mengawal ekspresi muka.
Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa tanda-tanda ini tidak semestinya secara mutlak menjadi petanda kepada skizofrenia kerana ia juga boleh berkait dengan penyakit lain.
Tanda-tanda Awal dalam Kalangan Remaja
Bagi remaja pula, sebelum bermulanya skizofrenia mereka lazimnya akan membentuk perubahan dalam kelakuan.
Tanda-tanda awal skizofrenia bagi remaja adalah seperti berikut: [2]
- Kesunyian
- Kemurungan
- Agresif
- Sukar untuk memberikan tumpuan
- Peningkatan introversi
- Kemerosotan fungsi yang tidak dapat dijelaskan
- Mencuri
- Kelakuan luar biasa
- Berfikir untuk membunuh diri
Skizofrenia sukar untuk didiagnosis dalam kalangan remaja kerana kebanyakan tanda-tanda awal adalah perkara biasa yang boleh berlaku bagi remaja yang dalam proses membesar.
Tanda-tanda Awal dalam Kalangan Dewasa
Skizofrenia biasanya berlaku pada usia awal dewasa. Permulaannya dicirikan oleh perubahan tingkah laku dan kemerosotan fungsi dalam kehidupan seharian.
Tanda-tanda awal skezofrenia bagi orang dewasa adalah: [3]
- Kemurungan
- Keresahan
- Gementar atau gelisah
- Sukar untuk memberikan tumpuan
- Kurang keyakinan diri
- Bimbang
- Kurang tenaga
- Penurunan prestasi kerja yang membimbangkan
- Pengasingan diri
- Tidak selesa berada bersama orang lain
- Penurunan prestasi pembelajaran yang membimbangkan
Terdapat satu kajian yang dijalankan terhadap individu yang berumur 16-50 tahun melaporkan bahawa tanda atau simptom awal yang paling kerap berlaku adalah gangguan dalam tingkah laku sosial seperti fungsi kehidupan yang terjejas dan pengasingan diri. [4]
Selain itu, perubahan angin (mood) seperti keresahan, kemurungan, mudah marah, rasa curiga dan sukar untuk memberikan tumpuan juga merupakan tanda-tanda awal skizofrenia yang lazim dilaporkan.
Bilakah Tanda atau Simptom Skizofrenia Bermula?
Tanda atau simptom-simptom skizofrenia biasanya bermula pada awal kedewasaan, iaitu antara lewat remaja dan awal usia 30-an.
Secara spesifiknya, simptom-simptom biasanya muncul antara lewat remaja hingga awal usia 20-an bagi lelaki dan antara awal usia 20-an hingga awal usia 30-an dalam kalangan wanita.
Walau bagaimanapun, terdapat juga pesakit yang membentuk simptom-simptom pertama selepas umur 40 tahun.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Skizofrenia lazimnya tebentuk secara berperingkat dan agak sukar untuk mengenal pasti bila perubahan tingkah laku bermula atau adakah perubahan tersebut harus dibimbangkan.
Sekiranya terdapat ahli keluarga atau rakan terdekat yang mengalami tanda-tanda awal skizofrenia, sila dapatkan rawatan daripada ahli profesional kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.
Rujukan
- Parellada, M. et al. (2017). Developmental Differences Between Schizophrenia and Bipolar Disorder. Schizophrenia bulletin.
- Jennifer Bartlett. (2014). Childhood-onset schizophrenia: what do we really know?. Health Psychology and Behavioral Medicine.
- Häfner, H., & Maurer, K. (2006). Early detection of schizophrenia: current evidence and future perspectives. World psychiatry.
- Chapman J. (1966). The early symptoms of schizophrenia. The British journal of psychiatry : the journal of mental science.